Sunday, June 9, 2013

Gila Noh, santai Aizat



DI sebalik lirik jujur lenggok rock n roll, ada dua orang anak muda yang gigih bekerja demi kepuasan mereka. Semua idea dan reaksi spontan Noh Salleh dan Aizat Amdan itu bermula di sebuah restoran yang akhirnya membuahkan hasil manis.
Kadangkala, idea yang tidak terlintas di benak fikir boleh menjadi sebuah projek yang menyenangkan. Apatah lagi berlandaskan sinergi dan pemikiran yang sama.
"Memang kami spontan dan tidak merancang. Sewaktu lepak-lepak di restoran, saya terus bertanyakan Aizat kalau dia mahu berduet dengan saya. Lagu ini direkodkan dua bulan lalu. Vokal di studio Anas dan produksi lagu, saya buat sendiri," ujar Noh yang dalam persiapan membuat projek solonya.
Lantas Aizat memberi respons terhadap cerita Noh.
"Noh yang nak berduet. Memang ia sesuatu yang baharu dan segar. Lagi-lagi datangnya daripada Noh. Memang sebab Noh saya buat projek ini. Keserasian sudah ada dan minat kami pun lebih kurang," ujar Aizat yang sentiasa teruja dengan produk serta naskhah Noh dan grupnya Hujan.
Lalu apabila dua komponen segar dan banyak idea ini bergabung maka terhasil sebuah lagu yang lunak diterima telinga malah cepat ditangkap untuk dinyanyikan. Lagu dengan judul In Love With You sudah mula ke udara malah klip video untuk lagu ini juga telah dilancarkan di laman YouTube pada 6 Jun lalu.
Saling mengisi
Sesi temu ramah dua anak muda yang sering dikaitkan dengan lagu-lagu hit berkualiti itu lebih terarah kepada perbualan santai. Selesa berdua dan bersembang, cerita mereka banyak terarah muzik dan minat yang memang seiring.
"Aizat, kau tahu tak? Aku terus buat lagu ni lepas bangun tidur. Isteri aku, Nina tertanya kenapa bangun-bangun terus buat lagu. Aku sayang betul dengan lagu ini," ujar Noh yang selesa ber'aku-engkau' dengan Aizat tanda mereka akrab.
LAGU In Love With You hasil nukilan Noh mempamerkan kreativiti dan sinergi yang menarik antara dua penyanyi ini. Malah lagu ini juga mempamerkan keterbukaan Aizat untuk mencuba sesuatu yang baharu dalam dirinya.


"Bagi saya Aizat ini sudah ada 'benda' tersendiri. Saya tidak perlu beritahu dia apa yang perlu dibuat. Lagipun saya memang bagi ruang untuk signature dia dalam lagu ini," ujar Noh tentang lagu yang menjadi runut wajib dalam keretanya saat memandu.
Untuk Aizat, ini bukan kerjasama berpadu suara kali pertama. Sebelum ini dia muncul dengan lagu Dwihati bersama Yuna dan akan muncul lagi sebuah naskhah duet bersama Zee Avi. Namun di sebalik projek-projek duet ini, dia mengaku bersikap selektif dalam memilih 'pasangan'.
"Saya belajar cara kerja dengan mereka (rakan duet). Itu yang menariknya. Mencari keseimbangan dan kualiti. Apabila niat sudah ada, kerja jadi senang dan mungkin ini memang sudah ditakdirkan. Saya tahu Noh boleh menjadi seorang produser yang baik. Melihatkan tempat kerjanya, saya sudah tahu dia mampu menggalas tugas produser dengan bersungguh dan baik," ujar Aizat.
Lebih mendebarkan buat mereka adalah untuk berkongsi panggung dan mempersembahkan lagu In Love With You ini secara langsung kepada para penonton.
"Saya buat projek ini atas kepuasan. Saya seronok kerana kami berdua memang serasi daripada segi minat dan stail. Saya tidak sabar untuk berkongsi lagu ini dengan penonton," senyum Noh yang kini meminati haiwan gajah.
"Melihat kepada sebuah kolaborasi, secara peribadi saya melihat keterbukaan hati saya untuk perkara-perkara lain. Cara kami berkongsi idea dan mahu menunggu respons dan pendapat peminat dan penonton. Mahu juga lihat kemampuan diri sendiri," tambah Aizat yang mempelawa ayahnya, Datuk Amdan Mat Din untuk muncul dalam klip video In Love With You arahan Zul Luey daripada Luey Motion Lab.
Lalu penulis bertanyakan keperluan projek ini bagi Noh. Umum tahu pergerakannya selama ini berteraskan grup dan berlangitkan kumpulan Hujan yang sudah menempa nama dan cita rasa sendiri buat khalayak.
Kepuasan diri
"Memang Hujan itu Noh dan sebaliknya. Tetapi kalau melihat balik kepada perjalanan Hujan, grup tersebut mempunyai tiga anggota yang memberi sumbangan berbeza. Daripada segi susunan muzik pula, Hujan didominasi oleh AG kerana dia memang pakar dalam penyusunan lagu. Noh tidak pernah kacau dalam memberikan warna dalam Hujan. Jadi projek solo ialah Noh yang mentah. Lebih segar," jelas Noh.

NOH mengaku tampil lebih mentah dalam projek solo dan duetnya bersama Aizat.


"Untuk projek grup ini, saya mencipta lebih banyak lagu. Kerinduan untuk rock n roll juga membuatkan wujudnya projek ini," jelas Noh lagi.
"Tetapi saya akui, dulu waktu sedang berhempas pulas dengan Hujan untuk menaikkan material kami kepada khalayak, senang untuk saya berkarya. Idea datang mengalir begitu sahaja. Sekarang setelah saya mampu beli semua kelengkapan untuk buat lagu, susah pula dapat idea. Mungkin ini suatu ujian," ujar Noh namun dia bukan mengeluh.
"Lagu In Love With You ini ada unsur-unsur grup The Beatles tetapi yang seronoknya ialah sebab lagu ini tidak boleh dibanding atau disamakan secara terus dengan lagu The Beatles yang tepat. Dengar dan orang akan kata macam The Beatles tetapi tidak tahu lagu yang mana satu. Itu yang seronoknya. Malah kemelayuan dalam lagu ini juga kuat," kata Aizat yang baru sahaja selesai dengan rakaman lagu-lagu untuk grup projeknya, Go Gerila.
Salam kenal Noh, Aizat
Diminta mengimbas kembali momen mereka mula bertaut tali persahabatan, kedua-duanya dengan mudah mengingati. Ujar Aizat, mereka sering bertembung pada acara persembahan dan konsert. Pertemuan demi pertemuan membuatkan mereka mula rapat dan senang bersembang dalam gelombang muzik dan minat yang setara.
"Malaysia ini kecil sahaja, senang jumpa. Selalu sangat ada persembahan. Ditambah pula minat kami yang sama dalam rock n roll, jadi senang gel," kata Aizat yang mendalami bidang muzik di Britain pada tahun lalu.
"Kebetulan pula kami duduk di Ampang sama-sama, jadi kami selalu juga sarapan bersama. Selepas solat Subuh, kami telefon dan bertemu. Bukan sahaja kami berdua tetapi juga bersama penyanyi Altimet," kata Noh yang merupakan suami kepada penyanyi Mizz Nina.
"Keserasian dan keselesaan juga yang membuatkan Noh dan Altimet dipilih untuk program umrah Aizat dahulu," tambah Aizat yang muncul dalam program Umrah Kita bersama TV9.
Buat Aizat lagi, yang menarik tentang persahabatan mereka ini bukan hanya berlatarkan muzik tetapi sikap hormat dan memahami antara satu sama lain. Tahap setia kawan itu membuatkan mereka jadi sangat rapat dan bersahabat dengan akrab.
"Kami tahu bila waktu masing-masing tidak boleh diganggu. Secara automatik jadi tahu," ketawa Noh.
"Selalunya kalau bertiga, borak tentang apa?" tanya penulis.
"Kehidupan, topik-topik serius dan muzik," jawab Noh.
"Awek!" jerit Aizat yang masih bujang dalam kelab sahabat Aizat, Noh dan Altimet.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: