MUNGKIN ramai yang tidak tahu bahawa seseorang yang berhenti merokok berdepan dengan beberapa simptom seperti selesema dan batuk.
Namun, tiada apa yang perlu dibimbangkan.
Selesema dan batuk misalnya, merupakan antara proses pembersihan oleh tubuh.
"Kalau seseorang mengalami batuk dan selesema, tidak perlu makan ubat terlebih dulu. Dahulu, ketika merokok banyak bahan kimia masuk ke dalam badan dan kini apabila sudah berhenti, badan melakukan proses pembersihan.
"Batuk kahak berfungsi untuk bersihkan paru-paru, seseorang itu hanya perlu minum banyak air kosong. Selesema pula adalah proses membersihkan kekotoran di hidung, lama-kelamaan deria bau akan menjadi lebih tajam," jelas Kaunselor Klinik Berhenti Merokok, Klinik Kesihatan Tanglin, Kuala Lumpur, Swinder Jit Jag Singh.
Tambahnya, kulit bibir juga akanmengelupas untuk memberi laluan kepada pertumbuhan kulit baharu memandangkan sebelum ini ia menjadi tempat letak rokok yang mengandungi pelbagai bahan kimia.
Menurut Swinder, lima daripada 100 orang akan mengalami simptom gusi berdarah. Apa yang boleh dilakukan ialah berkumur dengan air suam dan garam selain menggunakan ubat gigi kanak-kanak untuk memberus gigi dengan berus gigi lembut.
"Vitamin C yang dibekalkan pula bertujuan memulihkan sel-sel yang rosak. Selera makan seseorang juga akan bertambah kerana sebelum ini nikotin bertindak untuk mengekang selera mereka," ujarnya yang kerap menasihatkan pesakit mengawal pemakanan selain kerap bersenam.
Jelas beliau, mereka yang datang untuk merawat ketagihan merokok terdiri daripada kelompok yang berumur antara 20 hingga 72 tahun.
Setiap bulan, Swinder berdepan dengan 10 hingga 15 kes baharu dan 120 hingga 130 kes berulang.
"Ada yang datang ke sini sekadar cuba-cuba sahaja dan ada juga yang serius mahu berhenti merokok.
"Kesemua ubat-ubatan ini mahal, tetapi di klinik ini kita berikan secara percuma. Jadi mereka harus memanfaatkan dengan baik," jelasnya yang turut mengadakan kempen ke sekolah-sekolah.
|
Melawan gian
Gula-gula getah nikotin merupakan nikotin bersih yang diberikan menggantikan nikotin di dalam rokok yang mengandungi 7,000 bahan kimia.
Semakin lama, mereka tidak bergantung kepada gula-gula getah nikotin kerana rasa gian telah hilang.
"Konsepnya ialah sebaik sahaja seseorang masuk ke dalam bilik ini, dia harus berhenti merokok dan tidak akan merokok lagi apabila keluar dari klinik ini.
"Ia kedengaran agak mustahil, tetapi ramai yang berjaya melakukannya dengan berbekalkan keazaman yang kuat dan bantuan ubat-ubatan yang diberikan," katanya sambil memberitahu setiap klien yang hadir akan dipantau.
Kesungguhannya untuk membantu para perokok tegar berhenti merokok apabila Swinder tidak kisah memberikan nombor telefon bimbitnya andai mereka berdepan dengan masalah.
"Tidak dinafikan ada yang kecundang di tengah jalan. Mereka kembali menghisap rokok kerana tidak kuat melawan rasa gian selain terpengaruh dengan rakan.
"Saya akan nasihat, berikan motivasi dan sokongan. Mereka boleh menghantar mesej atau hubungi saya jika ada apa-apa masalah," ujarnya yang memulakan perkhidmatan di klinik berhenti merokok tersebut pada tahun 2005.
Klinik berhenti merokok dibuka sejak 10 Mei 2004 oleh Dr. Sallehuddin Abu Bakar yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Pengarah Kesihatan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Dikendalikan oleh jururawat terlatih atau kaunselor yang berdaftar, klinik berhenti merokok tersebut pernah mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Klinik Berhenti Merokok di Wilayah Persekutuan pada tahun 2005 dan 2006 sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: