|
SAAT melangkah masuk ke sebuah klinik, kelihatan beberapa orang lelaki dewasa sedang duduk menunggu giliran. Ada yang membaca akhbar dan risalah tersedia dengan penuh khusyuk sementara menunggu nama masing-masing dipanggil.
Seorang demi seorang daripada mereka diminta menghembuskan nafas menggunakan alat ujian tahap karbon monoksida, COPPM sementara jururawat bertugas mencatat sesuatu dalam buku rekod mereka.
Beberapa minit kemudian mereka dipanggil masuk ke dalam sebuah bilik seorang demi seorang. Sebaik sahaja pintu bilik dibuka, kelihatan seorang jururawat merangkap kaunselor Klinik Berhenti Merokok sedang duduk menanti kliennya.
"Awak serius nak berhenti merokok? Berapa peratus? Pernah cuba berhenti merokok sebelum ini? Tahu mengenai klinik ini daripada mana?"
Demikian soalan-soalan mukadimah yang dizahirkan oleh jururawat Swinder Jit Jag Singh kepada setiap klien yang datang menemuinya. Salah seorang perokok iaitu, Mohd. Ilham Mohd. Said, 26, tidak terkecuali menerima soalan yang sama.
"Saya serius nak berhenti merokok, mungkin dalam 85 peratus. Saya tahu mengenai klinik ini melalui kawan-kawan yang sudah berhenti merokok.
"Dahulu, mereka sama seperti saya, hisap dua kotak rokok sehari tetapi kini, mereka tidak merokok lagi," kata anak keempat daripada enam beradik yang berasal dari Rawang, Selangor itu menjawab semua soalan dengan tenang.
Swinder memberitahu Mohd. Ilham bahawa bacaan COPPM yang dilakukannya menunjukkan bacaan 10 yang disifatkan sebagai 'lampu merah'.
COPPM merupakan pemeriksaan untuk mengesan tahap karbon monoksida dalam badan pesakit.
Selepas beberapa minit sesi soal jawab berlangsung, jururawat berusia 58 tahun itu menunjukkan kepadanya carta tubuh seorang perokok.
Dalaman tubuh rosak
Menurutnya, apabila seseorang itu merokok, badannya mengandungi banyak karbon monoksida. Saluran darah kecil dan halus di hujung kaki hanya memperoleh darah yang mengandungi karbon monoksida dan bukannya darah beroksigen.
"Apabila tidak dapat darah beroksigen, saraf tersebut akan mati menyebabkan kaki terpaksa dipotong bagi mengelakkannya merebak.
"Mungkin tiada orang yang memaklumkan bahawa merokok boleh menyebabkan kebinasaan pada badan. Secara zahirnya mereka nampak biasa, tetapi dalaman mereka tidak," ujar Swinder sambil memberitahu Mohd. Ilham bahawa perokok umpama kereta yang cantik tetapi enjinnya rosak.
Swinder memberitahu, paru-paru seorang perokok seperti 'daging busuk' kerana setiap sedutan yang diambil mengandungi 7,000 bahan kimia dan salah satu daripadanya adalah tar yang menyebabkan paru-paru menjadi hitam.
Tambahnya, perokok juga akan mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti keguguran rambut, katarak, kulit berkedut, pekak, kanser kulit, pereputan gigi, emfisema dan osteoporosis.
Tidak ketinggalan sakit jantung, ulser perut, kekuningan di jari, kanser uterus, keguguran, kecacatan sperma, psoriasis, penyakit buerger dan kanser yang menyebabkan paru-paru bernanah.
"Ada rokok sekarang? Keluarkan cepat. Sekarang rokok ini 'kastam' sudah rampas," katanya kepada Mohd. Ilham sejurus dua kotak rokok sudah bertukar tangan.
Seperti seorang ibu menasihatkan anaknya, Swinder dengan nada lembut tetapi tegas mengingatkan Ilham supaya tidak lagi membeli, meminta rokok dan katakan tidak andai ada rakan yang menghulurkannya.
"Apabila nampak kawan hisap rokok dan rasa gian datang, kena ingat bahawa rasa gian itu berlaku dalam tempoh tiga minit.
"Dalam tempoh itu, kamu perlu lawan rasa gian tersebut, tarik nafas, sibukkan diri dan lama-kelamaan rasa gian itu akan menurun," ujarnya sambil memberitahu, bacaan karbon monoksida menjadi kosong jika seseorang itu tidak merokok dalam masa seminggu.
Sibukkan diri
Dalam tempoh 72 jam berhenti merokok dan meminum air kosong dengan banyak, ia mampu menyingkirkan banyak bahan tidak baik daripada badan.
Jika ada rasa ketagihan untuk merokok, apa yang perlu dilakukan adalah basuh muka, lap muka dan biarkan tangan dalam keadaan basah kerana apabila tangan basah, tak boleh nak pegang rokok.
"Tempoh dua hingga tiga minggu pertama, seseorang perokok yang mahu berhenti perlu 'menyibukkan' mulutnya dengan makan gula-gula, asam, gula-gula getah, kuaci, biskut, emping jagung dan epal hijau.
"Sibukkan diri, dua-dua tangan perlu sentiasa bergerak. Alihkan pemikiran kepada perkara lain dan apa yang penting ialah gunakan kekuatan semangat bagi melawan keinginan tersebut," katanya kepada Mohd. Ilham.
Kelihatan Mohd. Ilham mengangguk faham bait-bait nasihat Swinder kepadanya.
"Saya, Mohd. Ilham Mohd. Mohd Said berikrar dengan sesungguhnya bahawa saya akan berhenti merokok untuk selama-lamanya.
"Tarikh saya berhenti merokok ialah 23 Februari 2013," ikrar Mohd. Ilham yang membuka lembaran baharu dalam kehidupan bebas rokok.
Sebaik ikrar dilafazkan, Swinder yang menjadi saksi mengucapkan tahniah sambil memaklumkan tarikh perjumpaan seterusnya.
Posmen muda itu mula mengenali dan jatuh cinta dengan rokok sejak tingkatan dua. Mohd. Ilham mencuri-curi hisap rokok di luar pengetahuan ibu bapa. Bermula secara suka-suka atas pengaruh rakan, Ilham semakin hanyut.
"Memang ada azam untuk berhenti merokok tetapi ada dalam kalangan rakan-rakan yang memperlekehkan hasrat saya, kerana itu hasrat tersebut mati begitu sahaja.
"Kini, saya nekad untuk berhenti kerana rasa sakit dada ketika membuat kerja," katanya yang menghisap 38 hingga 40 batang rokok sehari dan membelanjakan lebih RM300 sebulan untuk rokok sahaja.
Ia menjadi tabiat yang sebati dalam dirinya sehingga jika tidak dapat rokok, ia mengundang rasa kurang selesa dalam dirinya. Lepas makan sahaja automatik Ilham akan cari rokok.
Selepas Mohd. Ilham, ramai lagi klien lain keluar masuk bertemu Swinder. Penulis berpeluang melihat dan mendengar sendiri sesi kaunseling yang diadakan.
Rata-rata menzahirkan rasa seronok mereka kerana berjaya berhenti merokok. Selera makan bertambah kerana mereka dapat merasai keenakan makanan. Bukan itu sahaja, mereka tidak lagi gemar akan bau rokok yang dahulunya menjadi 'haruman wajib' melekat di pakaian.
Setiap daripada mereka dibekalkan gula-gula getah nikotin, patch, alat sedut (inhaler), vitamin C dan balsam bibir mengikut tahap ketagihan.
|
Antara ubat yang diberikan adalah Nicotine Replacement Therapy (NRT) yang terdiri daripada Nicotine Gum, Nicotine Transdermal Patch dan Nicotine Inhaler.
"Kunyah gula-gula getah ini perlahan-lahan. Apabila rasa pudina semakin kuat simpan gula-gula getah itu di tepi pipi. Jangan kunyah laju-laju. Jika tidak, semua nikotin akan keluar dan serbu ke otak. Ia akan membuatkan anda rasa pening, loya dan muntah," terangnya kepada klien sambil memberitahu, apabila rasa pudina hilang, gula-gula getah tersebut perlu dikunyah semula.
Rutin tersebut dilakukan secara berterusan sehingga 30 minit apabila gula-gula getah tersebut tidak mempunyai rasa lagi.
Ujarnya, gula-gula getah itu dikunyah apabila rasa gian menyerang seseorang perokok. Selain itu, pesakit dinasihatkan mengambil vitamin C dan balsam bibir untuk mengelakkan bibir mereka kering.
Enam tahun bebas rokok
Dalam pada itu, seorang bekas pegawai kanan polis, Shubly Zainal Abidin, 60, memberitahu, dirinya tekad berhenti merokok pada tahun 2007 selepas 38 tahun menjadi perokok tegar.
Bapa kepada enam orang anak yang berasal dari Malim Nawar, Perak itu berkata, tindakan untuk berhenti datang sendiri selepas memikirkan sudah begitu lama dirinya terikat dan bergelumang dengan rokok.
"Ketika mula-mula datang ke Klinik Berhenti Merokok Tanglin, bacaan ujian tahap karbon monoksida adalah antara 17 hingga 18. Setelah dua minggu berhenti merokok, bacaannya turun kepada dua," katanya yang sudah enam tahun tidak merokok.
Pada peringkat awal iaitu dalam tempoh tiga bulan pertama, rasa gian untuk merokok memang kuat, namun itu semua berjaya diatasinya.
"Apabila sudah berhenti merokok berat badan saya naik mendadak daripada 70 kilogram (kg) meningkat kepada 110kg berikutan penambahan selera makan. Kini berat saya, 95kg.
"Tiada alasan bahawa, saya sudah merokok lama, mana boleh berhenti. Kalau ada keazaman yang tinggi, walaupun merokok selama 50 tahun, akan berhenti juga. Ini semua permainan mental," ujarnya sambil mengingatkan perokok supaya menjaga pemakanan dan melakukan senaman bagi mengelakkan berat badan meningkat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: