AZRI menggunakan cara halus untuk melembutkan hati Sharmila supaya dia rujuk kembali kepadanya. - Gambar hiasan
|
PERKENALAN ketika mencari rezeki bersama-sama di sebuah kilang plastik di pinggir Selangor kira-kira 14 tahun lalu benar-benar memberikan kesan kepada kehidupan Sharmila.
Status berkawan baik itu bertukar menjadi kekasih dalam tempoh tidak sampai setahun perkenalannya bersama bekas suami, Azri. Hubungan yang dibina atas dasar suka sama suka itu akhirnya disahkan melalui ikatan perkahwinan pada tahun 2005 selepas Sharmila dan Azri menyulam kasih selama enam tahun.
“Siapa yang tidak mahu mengakhiri hubungan atas dasar cinta itu melalui ikatan perkahwinan. Hubungan kami berjalan baik dan mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga sehinggalah kami dibenarkan berkahwin.
“Bak kata orang, alam perkahwinan sememangnya indah apatah lagi kita mendirikan rumah tangga bersama si dia yang kita sayang dan saya juga tidak terkecuali. Segala-galanya berjalan lancar pada tahun pertama perkahwinan kami.
“Sudah tentu saat terindah bagi seorang wanita apabila melangkah ke alam perkahwinan ialah mengetahui diri berbadan dua selepas setahun berkahwin. Saya mengalami alahan yang teruk sehinggakan tidak larat untuk bekerja selain sering mengambil cuti sakit.
“Saya berbincang dengan suami mengenai hasrat untuk berhenti kerja disebabkan alahan teruk yang saya alami selain tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Suami ketika itu tidak membantah keputusan saya,” ujar ibu kepada dua orang anak itu.
Menganggur
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberikan tumpuan kepada kandungan pertamanya dan yakin dengan kemampuan Azri untuk menyara mereka sekeluarga.
“Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar dan saya juga selamat melahirkan bayi perempuan yang merupakan buah cinta pertama kami. Segala kasih sayang dicurahkan kepada si kecil yang baru sahaja mahu menikmati kemanisan dunia itu.
“Namun, disangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari apabila suami diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi pada tahun 2008. Mujurlah saya ada membuat simpanan daripada wang yang diberikan suami untuk membeli barangan dapur pada setiap bulan,” jelasnya yang berasal dari utara tanah air.
Menurutnya, wang simpanan itu digunakan untuk menyara mereka sekeluarga ketika Azri menunggu untuk mendapatkan pekerjaan lain.
Tambahnya, mereka juga sering bergaduh kerana kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan ketika itu.
“Berdepan situasi itu, saya terpaksa bekerja semula bagi menyara keluarga apatah lagi wang simpanan semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Saya mencuba nasib dengan bekerja sebagai pembantu restoran berhampiran tempat tinggal kami.
“Ketika itu, suami saya masih mencari kerja dan pelbagai syarikat sudah dikunjungi namun dia tetap tidak mendapat pekerjaan sehingga akhirnya dia berputus asa untuk meneruskan pencariannya itu.
SHARMILA mengalami pendarahan di hidung dan telinga akibat disantau bekas suaminya. - Gambar hiasan
|
Terkena santau
“Saya tidak kisah jika dia mahu duduk sahaja di rumah dan membantu saya menguruskan anak tetapi dia sebaliknya gemar melepak bersama rakan-rakannya sehingga lewat malam selain mula berjinak-jinak bermain judi,” katanya.
Sharmila pada mulanya dapat menerima hakikat suaminya itu sudah berputus asa untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengannya.
Sikap suaminya itu berterusan sehinggalah dia dikurniakan cahaya mata kedua.
“Sudahlah segala perbelanjaan rumah dan anak-anak ditanggung oleh saya, kini saya pula terpaksa menanggungnya setiap kali dia mahu keluar bertemu rakan untuk bermain judi.
“Saya tidak mampu bersabar lagi dengan sikapnya yang tidak bertanggungjawab itu walaupun sudah memberi peluang beribu-ribu kali kepadanya untuk berubah.
“Akhirnya, kami bercerai pada awal tahun lalu walaupun pada mulanya, dia sebenarnya tidak mahu melepaskan saya.
“Hanya Tuhan yang tahu, betapa leganya saya ketika itu, kerana tiada gunanya bersuami jika saya yang terpaksa menanggung semuanya bersendirian. Saya dan kedua-dua anak kami menjalani kehidupan seperti biasa tanpa Azri di sisi,” ujarnya.
Tambahnya, dia tetap tidak mahu rujuk kembali bersama bekas suaminya itu walaupun pujukan demi pujukan dilakukan oleh Azri. Sharmila sudah tawar hati untuk hidup bersama lelaki yang pernah dicintainya itu.
“Pelbagai cara dilakukannya untuk kami rujuk semula tetapi saya tidak melayannya menyebabkan dia bertindak melembutkan hati saya dengan menggunakan cara yang halus. Saya mula perasan, ada yang tidak kena selepas saya mengalami batuk teruk yang berpanjangan selama seminggu.
“Saya jarang mengalami batuk dan agak pelik juga kenapa keadaan saya menjadi begitu sehinggakan saya mengeluarkan serpihan kuku dari mulut. Pada mulanya, saya sendiri tidak dapat mengecam benda yang keluar dari mulut saya sehinggakan saya cuba menggigitnya.
“Melihatkan keadaan saya itu, ibu membawa saya menjalani rawatan tradisional bersama seorang ustaz dan memang benar, saya terkena santau yang dihantar oleh bekas suami.
“Pada mulanya, saya tidak percaya dengan perkara-perkara seperti itu tetapi apabila sudah terkena pada batang hidung sendiri, saya mula percaya perkara tersebut benar-benar wujud,” ujarnya.
Selepas berubat, keadaan beransur pulih tetapi sebulan kemudian, dia mula mengalami pendarahan pada bahagian hidung dan telinga. Perutnya menjadi buncit seperti wanita hamil tiga bulan sehinggakan ada saudara mara yang percaya Sharmila sedang hamil sedangkan dia baru sahaja bercerai.
“Perut saya akan berasa sakit setiap kali menjelang malam dan mujurlah keluarga bertindak cepat dengan membawa saya pergi berjumpa ustaz yang mengubati saya dahulu.
“Saya minum air penawar yang disediakan ustaz itu untuk mengurangkan rasa sakit. Saya diberitahu, saya terkena busung. Alangkah terkejutnya saya apabila banyak darah yang keluar dari tubuh badan ketika saya mandi.
“Saya merujuk perkara tersebut kepada ustaz yang mengubati saya dan dia memberitahu, darah yang keluar itu mengeluarkan benda-benda kotor yang berada di dalam badan saya selepas meminum air penawar itu,” katanya.
Menurut Sharmila, dia tidak menyangka Azri sanggup melakukan perbuatan syirik itu semata-mata kerana dia enggan rujuk semula.
“Sejak kejadian itu, saya cuba menjauhkan diri daripada bekas suami dan berjumpa sekiranya dia mahu bertemu anak-anak kami sahaja. Saya berharap dia boleh berubah bagi memberi contoh yang baik kepada anak-anak yang semakin membesar ini,” ulasnya mengakhiri bicara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: