
ISMAIL mengusahakan Taman Arnab Bukit Badong sejak empat tahun lalu.
PERJALANAN menuju ke Bestari Jaya, Kuala Selangor, Selangor yang mengambil masa setengah jam tidak begitu dirasakan.
Keindahan dan kecantikan rumah kampung tradisional yang indah selain pokok rambutan, mangga dan manggis yang sudah mengeluarkan buah di sepanjang perjalanan menyebabkan kru Jurnal tidak berasa bosan semasa berada di dalam kereta.
Namun, misi utama ke daerah yang dahulunya dikenali dengan panggilan Batang Berjuntai itu sebenarnya untuk menemui seorang pesara sebuah syarikat swasta, Ismail Padli yang berusia 56 tahun.
Lelaki yang mempunyai seorang zuriat ini khabarnya mengusahakan sebuah ladang arnab seluas 1.82 hektar dengan kapasiti 5,000 hingga 6,000 ekor haiwan itu.
Sebaik sahaja sampai ke Taman Arnab Bukit Badong, kami disapa oleh Ismail.
Struktur fizikal dan wajahnya seakan-akan 10 tahun lebih muda berbanding usianya.
“Jangan sangka yang bukan-bukan, bukan kerana makan daging arnab saya kelihatan awet muda.
“Mungkin kerana banyak mengeluarkan peluh ketika menguruskan ribuan ekor arnab menyebabkan toksik dan penyakit yang terdapat di dalam badan semuanya keluar,” katanya sambil tersenyum seperti dapat meramalkan apa yang sedang difikirkan oleh penulis.
Memulakan bicara, Ismail mengatakan, aktiviti penternakan arnab yang diusahakannya itu bermula lebih empat tahun lalu.
“Aktiviti rutin yang biasa dilakukan oleh orang yang sudah bersara ialah menunaikan solat berjemaah di surau dan masjid, lepak minum kopi bersama rakan-rakan seusia di gerai makanan selain bermesra dengan cucu,” katanya.
Menurutnya, selepas enam bulan bersara, dia mula berasa bosan.
“Mungkin saya sudah sebati dengan tidak boleh duduk diam sejak bekerja makan gaji lagi menyebabkan saya mengusahakan ladang arnab.
“Sebelum itu, saya banyak mengikuti kursus pembiakan cacing, penternakan ayam, itik dan lembu sebelum memilih haiwan ini,” ujarnya.
RENDANG arnab rasanya agak manis dan lembut berbanding daging ayam dan lembu.
|
Rendah kolesterol
Dia bernasib baik kerana mempunyai tanah peninggalan arwah bapa di Kampung Bukit Badong.
Tambahnya, dia juga ingin menjaga rumah pusaka peninggalan bapanya.
“Rumah kampung tidak boleh ditinggalkan lama kerana jika tidak dijaga kayunya mudah dimakan anai-anai,” katanya.
“Pada mulanya saya hanya mempunyai 200 ekor arnab dan pernah mempunyai lebih 10,000 ekor.
“Sebenarnya, tidak ramai yang mengusahakan penternakan haiwan itu secara komersial kerana majoriti yang membelanya hanya sekadar hobi atau untuk masakan seisi keluarga sahaja,” jelas Ismail tentang penternakan arnabnya.
Ismail memberitahu, banyak dakwaan yang mengatakan daging arnab mempunyai kolesterol rendah, boleh mengubat asma, strok selain elok untuk dimakan oleh wanita baru bersalin.
“Namun, saya tidak boleh mengiyakan dakwaan itu kerana saya bukannya seorang pakar. Namun, saya berpendapat, kita sering berfikiran positif dan kerap berdoa kepada Allah SWT kerana setiap penyakit ada penawarnya,” jelasnya.
Lelaki yang tubuhnya agak berisi itu memberitahu, harga daging arnab sekilogram ialah RM30 hingga RM40. Harganya mahal kerana dagingnya lebih lembut dan manis berbanding daging ayam dan lembu.
Penulis sendiri ingin mengesahkan dakwaan Ismail dengan memintanya menyediakan masakan rendang arnab dan sate arnab.
Sebaik sahaja mencuba kedua-dua makanan itu, ternyata apa yang diperkatakan Ismail adalah benar.
Sebaik sahaja rendang arnab disuap ke dalam mulut bersama-sama nasi, terasa kelembutan tekstur dagingnya malah, rasanya agak manis selain tulangnya kurang kerana haiwan tersebut bersaiz kecil.
Satu kelebihan sate arnab adalah dagingnya tidak terlalu berlemak dan agak kering.
Secucuk sate daging arnab pada kebiasaannya berharga RM2 manakala rendang arnab boleh mencecah RM30 sekilogram.
Berbicara kembali mengenai penjagaan arnab secara komersial, Ismail mengatakan, haiwan itu boleh dijual sebaik sahaja mencapai berat 1.5 kilogram.
“Tempoh pembesarannya pula mengambil masa empat hingga lima bulan. Purata hidupnya lima tahun dan jika disembelih pada masa itu, dagingnya sudah liat.
“Biasalah, daging muda mesti lebih sedap berbanding daging tua,” kata Ismail.
Lelaki ini menambah, terdapat dua kategori arnab iaitu pedaging dan belaan.
“Antara jenis arnab pedaging ialah New Zealand White, Chincilla dan Lion Head manakala arnab untuk perhiasan pula ialah Netherland Dwarft, English Anggora dan Lion Head,” cerita Ismail.

ARNAB merupakan sejenis haiwan mamalia.
Sakit jantung
Dahulu, dia mempunyai seekor arnab kesayangan tetapi haiwan itu telah mati dimakan anjing liar beberapa tahun lalu.
Bercerita mengenai arnab, Ismail mengatakan, haiwan itu agak sensitif walaupun jinak.
“Macam haiwan lain, sekiranya kita sering memberikannya makan, haiwan itu akan menjadi lebih manja dengan tuannya.
“Tetapi, arnab cukup sensitif dengan bunyi bising dan guruh malah haiwan tersebut boleh mati diserang sakit jantung walaupun peratusan risiko itu agak kecil,” ujarnya.
Selain itu, panas yang agak melampau sehingga 40 darjah Celsius boleh menyebabkan haiwan itu mati selain mudah dijangkiti penyakit.
“Namun, setiap haiwan yang dibela ada risiko penyakit dan ancamannya yang tersendiri,” jelas Ismail.
Berbicara mengenai sambutan terhadap daging arnab, lelaki itu mengatakan, masyarakat lebih menggemari daging lembu dan ayam berbanding arnab.
“Mungkin kerana masih ada yang geli kerana haiwan itu mempunyai bentuk seperti kucing malah comel tetapi apa yang hendak dikhuatirkan kerana dagingnya halal dimakan di sisi agama Islam.
Ismail berkata, bulu, mata dan ekor arnab tidak dimakan.
Malah, menu masakan berasaskan arnab banyak disajikan di hotel dan restoran sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Uniknya, aktiviti fizikal arnab mempunyai maksud tersendiri yang menggambarkan sifat haiwan itu seperti marah, takut dan malu.
Sebagai contoh, jika haiwan itu mengerik gigi, ia membawa maksud sedang bergembira. Jika bunyi nafasnya perlahan ia turut membawa maksud yang sama.
Sekiranya arnab mengeluarkan bunyinya seperti mengeram, tandanya haiwan itu ingin menyerang. Jika haiwan itu mencium anda dari belakang, arnab itu memberi isyarat mahu dibelai.
Arnab atau kelinci merupakan sejenis haiwan mamalia. Matanya besar dan penglihatannya bagus pada waktu malam.
Bulu arnab juga digunakan untuk membuat pakaian dan perhiasan diri seperti topi.
Arnab Angora biasanya diternak kerana bulunya yang panjang dan halus.
Selain itu, susu haiwan tersebut juga kaya dengan protein.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: