Tuesday, June 11, 2013

Romantika rasa di Romanza

DEKORASI dan pencahayaan minimum menghidupkan suasana romantik restoran ini.


MEMBELOK kenderaan ke simpang kanan Jalan Ampang dari arah pusat bandar raya Kuala Lumpur bakal menemukan anda dengan Lorong Nibong. Ada sesuatu yang menjentik keterujaan di sebalik kesepian Lorong Nibong itu.
Di kiri kanan lorong sempit itu berdirinya beberapa restoran eksklusif yang menjadi pilihan kebanyakan golongan ekspatriat. Cukup bertuah perniagaan restoran fine dining di situ. Mana tidaknya, hampir keseluruhan kawasan tersebut dipenuhi pejabat kedutaan pelbagai negara.
Barangkali masyarakat tempatan sedikit gentar untuk berkunjung ke barisan restoran di situ. Bimbang harganya tidak menepati isi poket yang dibawa. Namun persepsi itu ternyata tidak benar. Cuba anda melangkah ke dalam Romanza Le Restaurant yang telah beroperasi sejak setahun lalu.
Saat pintu restoran itu ditolak, pandangan pasti terpukau dengan dekorasi berkonsep klasik dari segenap sudut. Gambar-gambar legenda ternama dunia seperti Andrea Bocelli, Aishwarya Rai dan Charlie Chaplin menghiasi dinding restoran tersebut.
Inspirasi
“Saya perlu berterima kasih kepada penyanyi kegemaran saya, Andrea Bocelli yang banyak memberi inspirasi kepada hiasan dalaman Romanza. Muzik-muzik romantisnya juga mencetuskan idea saya menamakan restoran ini sebagai Romanza yang bermaksud romantik dalam bahasa Itali.
“Susun atur, pemilihan perabot sehinggalah kepada napkin dan hiasan dalaman restoran ini saya lakukan sendiri,” jelas pemilik Romanza, Shena Mohamed, 33, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

DUCK confit merupakan antara hidangan utama di Romanza.


Sesudah melabuhkan punggung di atas kerusi empuk restoran itu, anda boleh terus menelaah menu yang diberikan pelayan. Untuk pembuka selera, anda disarankan memesan chicken caesar salad yang menjadi antara kegemaran pelanggan di Romanza.
Hirisan kepingan dada ayam bersama salad mentega rangup yang dihidangkan dengan aioli ikan bilis pasti memberikan keenakan berganda kepada tunas rasa.
Jika bosan dengan juadah ayam atau ikan, apa kata tukar kebiasaan itu kepada itik. Duck confit hidangan Romanza sangat enak apabila diadun bersama rempah dan sos buatan mereka sendiri.
Sempurnakan makan malam romantik anda bersama pencuci mulut istimewa seperti chocolate marquis atau raspberry sorbet. Manisan eksotik itu mampu meninggalkan momen indah anda di Romanza.
Setiap resipi di Romanza dipilih dan ditetapkan oleh Ketua Chef, Steven Kruger yang diterbangkan dari Afrika Selatan. Bagaimanapun, Shena masih terlibat secara langsung dalam penetapan menu yang ingin disajikan.
Anda juga jangan terkejut dengan harga berpatutan yang ditawarkan Romanza. Walaupun berstatus restoran fine dining, Romanza sebenarnya sangat bertimbang rasa dalam soal penetapan harga. Nyata perbandingan harga dengan servis, bahagian makanan dan suasana yang diterima menjadikan pelaburan di Romanza amat berbaloi.
Sebagai contoh menu chicken caesar salad dalam hidangan besar cuma berharga RM23.
Selain dibuka bagi pengunjung restoran pada waktu malam, Romanza turut menawarkan servis katering.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: