Sunday, June 2, 2013

Raja Ilya yang lurus




NAMA Raja Ilya naik dalam industri ekoran kontroversi demi kontroversi yang melanda dirinya. Hasil kerjanya belum lagi mengatasi cerita-cerita panas yang diterbangkan mulut ke mulut.
“Mana ada artis yang tidak pernah dilanda kontroversi. Kontroversi juga salah satu daripada cara orang ramai mengenali artis tersebut. Mungkin juga ada peminat yang suka artis disebabkan kontroversi yang melanda diri artis tersebut,” ujarnya yang menganggap dirinya naif dalam menjawab soalan media.
Lantaran sifat naif dan lurus bendulnya itu, dia banyak tidak berselindung. Sebaliknya segala pertanyaan dijawab jujur, tanpa berlapik dan ini menjadi ratahan berita untuk bahagian gosip tempatan.
“Saya jenis gadis yang lurus bendul. Apabila disoal media, semua perkara ingin dikongsikan. Ini termasuklah mengaku saya hampir membunuh diri dahulu,” ujarnya yang pernah didesak rasa itu kerana kecewa putus tali pertunangan selepas gambar kontroversinya bersama seorang lelaki tersebar.
Sedar akan kenaifan membawa padah dalam dirinya, Raja Ilya atau nama sebenar Raja Ramilah Raja Muhammad mengambil sikap lebih berhati-hati dalam pertuturan. Malah dia berharap tahun ini bakatnya lebih terserlah berbanding cerita peribadi dirinya.
Sebagai langkah mula yang betul untuk bergelar aktres, dua naskhah lakonannya sekarang sedang ditayangkan di dua saluran berbeza.
Wajah cantik pelakon berusia 28 tahun ini boleh dilihat dan bakatnya boleh diukur melalui drama untuk slot Samarinda iaitu Episod Cinta Khirana yang kini ditayangkan di saluran TV3 pada setiap hari Selasa hingga Khamis pada pukul 10 malam.
Lakonannya sebagai Haliza dalam drama Dahlia yang kini ditayangkan di saluran Astro Mustika HD (saluran 134) pada pukul 10 malam mendapat respons ramai. Walaupun dibenci lantaran membawakan watak hitam berdampingan bersama Dira Abu Zahar, Faizal Hussein dan Hans Isaac namun reaksi ini sekurang-kurangnya merupakan penjelasan kepada watak pembawaannya.
Menurutnya, dalam drama Dahlia, watak antagonis yang dibawa memaparkan dirinya dari sudut yang elegan dan bergaya manakala dalam drama Episod Cinta Khirana dia membawa peranan sebagai model yang seksi.
Kerap menerima peranan antagonis, Raja Ilya mengakui berasa tidak selesa, tetapi akhirnya sedar sebagai seorang pelakon dia harus menerima apa jua tawaran yang diberikan.
“Tidak sangka juga lakonan saya menerusi drama-drama memberi kesan kepada penonton sehingga ada yang melemparkan kata-kata negatif. Tapi saya tidak risau kerana mereka mengutuk Haliza, bukan saya.
“Tidak mudah untuk membawa watak antagonis tetapi bila terima respons sebegini, maknanya watak Haliza tu berjaya,” ulasnya jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: