Saturday, June 8, 2013

Raja Azmi bidas fitnah Adam


RAJA AZMI (tiga dari kiri) menampilkan beberapa individu lain yang mendakwa turut menjadi mangsa penipuan Adam Davin. (Dari kiri) Siti Najihah Nasir, Myra Zafia, Saodah Othman dan Atie Zieya.


PENERBIT filem yang sering dihimpit isu sensasi, Raja Azmi Raja Sulaiman, 53, tidak kisah jika masyarakat menggelarkan dirinya diva kontroversi.
Menurutnya, dugaan sering sahaja hadir dalam dirinya. Terbaharu, penerbit filem Anu...Dalam Botol itu difitnah oleh seorang lelaki bernama Adam Davin.
Pada minggu lalu, Adam, 25, yang sepatutnya menaja dan membintangi filem terbaharu Raja Azmi berjudul, Anak Ikan telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis, Ampang Jaya, Selangor.
Dia mendakwa dirinya menjadi mangsa fitnah Raja Azmi!
Menerusi laporan polis tersebut, Adam atau nama sebenarnya Davinder Singh Gurchran Singh, menuduh Raja Azmi telah menggunakan media sosial untuk memburuk-burukkan namanya.
Adam mendakwa Raja Azmi telah melabelkan dirinya sebagai penipu, gemar mencuri dan tidak memulangkan baju-baju tajaan yang dipinjam.
Perkara itu dikatakan berlaku selepas Adam menarik diri daripada menaja kos pembikinan Anak Ikan sebanyak RM500,000.
Membidas fitnah yang dilontarkan Adam terhadap dirinya, Raja Azmi tampil mengadakan sidang akhbar di RK Recipe Cafe, Taman Melawati, Kuala Lumpur, kelmarin.
Ia bermatlamat bagi menunjukkan bukti kukuh, selain menampilkan mangsa-mangsa yang dikatakan telah ditipu dan dimanipulasi oleh Adam untuk membersihkan namanya.
Selain itu juga, Raja Azmi tidak mahu lelaki itu menipu lebih ramai orang dengan menjaja namanya.
Ikuti temu bual Kosmo! selanjutnya bersama Raja Azmi atau mesra dipanggil sebagai Kak Mi yang turut bercerita mengenai dirinya yang bakal berkahwin dengan seorang gitaris berstatus duda.
Kosmo!: Bolehkah Kak Mi ceritakan perkara sebenar yang berlaku antara anda dan Adam Davin?
RAJA AZMI: Kak Mi mengenali Adam Davin menerusi laman sosial Instagram. Kemudian, dia memperkenalkan dirinya dan ingin berjumpa dengan Kak Mi bagi berbincang mengenai perniagaan perfileman. Adam beritahu bahawa dia anak pemilik sebuah gedung kain terkemuka dan bapanya berminat untuk bekerjasama menerbitkan filem bersama Kak Mi.
Jadi, adakah Kak Mi bertemu dan bersetuju menerbitkan secara usahasama dengan Adam?
Kak Mi akui bodoh kerana mempercayai Adam tanpa usul periksa. Kak Mi membuat perjumpaan dengannya. Dia lantas memberitahu, bahawa bapanya ingin melaburkan wang sebanyak RM500,000 untuk filem terbaharu Kak Mi berjudul Anak Ikan. Namun, dengan syarat dia (Adam) juga berlakon dalam filem itu. Dia kemudiannya mengatur pertemuan antara Kak Mi dengan bapanya tetapi malangnya pertemuan itu tidak jadi. Selepas empat kali pertemuan yang sepatutnya berlangsung dengan bapanya tidak jadi, Kak Mi mula tidak percayakan dia. Kak Mi selidik dan dapati dia bukan anak pemilik gedung pakaian terkemuka tersebut.
ADAM DAVIN (tengah) dan Raja Azmi pernah beberapa kali berbincang tentang projek filem, Anak Ikan.


Selepas itu, apakah yang terjadi?
Kak Mi mula menjauhkan diri daripada dia walaupun beberapa kali dia menghubungi Kak Mi. Selepas kejadian itu, tak sangka pula dia menggunakan nama dan populariti Kak Mi untuk menipu pengikut-pengikut Kak Mi dalam laman Instagram pula.
Berapa ramaikah individu yang telah ditipu Adam?
Setakat yang Kak Mi tahu sudah 10 orang. Semuanya mengadu kepada Kak Mi selepas ditipu. Itu sebabnya Kak Mi aturkan sidang akhbar pada hari ini (kelmarin) bagi membersihkan nama dan ia juga merupakan tanggungjawab Kak Mi supaya tiada lagi orang yang ditipu oleh Adam.
Apakah perasaan Kak Mi difitnah Adam?
Ini merupakan tamparan paling hebat dalam hidup Kak Mi. Kak Mi menyesal dengan kebodohan diri ini kerana mempercayai dirinya. Sejak dulu lagi, Kak Mi tak pernah minta sesiapa untuk menaja filem Kak Mi. Tetapi apabila ada orang yang datang ingin menawarkan pelaburan dalam filem baharu Kak Mi, kenapa harus Kak Mi tolak?
Apakah pengajaran yang Kak Mi perolehi daripada pengalaman ini?
Sebelum ini Kak Mi tidak pandai mengatakan tidak. Kak Mi mudah terima apa yang orang katakan. Selepas kejadian ini, Kak Mi akan lebih berhati-hati dan perlu lebih pandai mengatakan tidak. Ada hikmah di sebalik dugaan yang Kak Mi hadapi. Namun, ada perkara baharu yang menggembirakan hadir dalam hidup Kak Mi.
Apakah perkara gembira itu?
Kak Mi sudah bertemu dengan seseorang.
Boleh kongsikan lebih lanjut siapakah gerangannya?
Buat masa ini, Kak Mi tidak mahu mendedahkannya kerana takut tidak menjadi. Kak Mi akan buat sidang akhbar perkenalkan dirinya dan umumkan tarikh kahwin.
Ceritalah sedikit mengenai kekasih Kak Mi itu?
Dia merupakan gitaris popular kumpulan yang aktif pada era 1990-an. Dia seorang duda, berambut panjang dan kelakar orangnya.
Apakah pula perkembangan terbaharu filem Anak Ikan?
Filem itu masih diteruskan malah skripnya pun sudah siap cuma Kak Mi akui tidak cukup bajet menerbitkan filem tersebut.
Berapakah jumlah bajet untuk menerbitkan filem tersebut?
Hampir setengah juta. Kalau ada sesiapa yang sudi melabur separuh daripada jumlah tersebut pun Kak Mi sudi.
Bagaimanakah pula dengan pemilihan pelakon untuk filem itu?
Gabungan pelakon baharu dan lama.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: