SEPANJANG menyaksikan sesi latihan teater Nyonya & The Gang, tidak dapat dinafikan kemantapan gandingan lakonan Mardiana Alwi dan Taiyuddin Bakar.
Kedua-dua pelakon lulusan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu membuktikan bahawa kebolehan mereka setaraf pelakon lima bintang di Malaysia.
Mereka dipertanggungjawabkan untuk menangani naskhah karya penulis Indonesia, Wisran Hadi yang kaya dengan metafora dan sindiran terhadap sikap masyarakat.
Mardiana dan Taiyuddin atau Tai masing-masing memegang watak Nyonya dan Tuan.
Ternyata, ia sebenarnya bukan suatu tanggungjawab yang mudah buat Mardiana dan Tai yang mula mencipta nama di layar kaca dan perak.
"Watak Tuan iaitu seorang pedagang barangan antik amat mencabar kerana ia melibatkan dialog yang panjang dan saling 'sambut menyambut' dengan watak Nyonya.
"Dalam hal ini, kami perlu sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal akibat kata bual yang mempunyai maksud tersirat," kata Tai yang memiliki pengalaman luas dalam bidang teater.
Gandingannya bersama Mardiana diibaratkan sebagai peluang keemasan memandangkan mereka dilahirkan dari institusi pendidikan yang sama.
Penglibatan Tai dalam teater memperlihatkan kebolehannya sebagai pelakon versatil.
Ia terbukti melalui teater Gerimis Mengundang, 3 Maulana, Opera Ayu Cendana, Wajah Lumpur, Malam Jahanam, Awal dan Mira, Selamat Jalan Anak Kafir, Sirah Junjungan, Sri Mersing, Semerah Padi, Interview, Trem Bernama Desire, Tanda dan ShortEye.
"Bagi saya, watak Tuan mudah dilihat daripada pandangan mata kasar. Namun jika kita menganalisa secara terperinci, ada banyak perkara yang boleh dicungkil dan dipersembahkan kepada penonton.
"Contohnya, Tuan bukan sahaja seorang pedagang barangan antik, malah dia seumpama 'memperdagangkan sesuatu' seperti mencari cinta baharu dan tipu muslihat," tambahnya yang pernah muncul antaranya menerusi filem Mukhsin, Sini Ada Hantu, Pungguk Rindukan Bulan dan Hantu Bonceng.
Sementara itu, bagi Mardiana, 25, cabaran paling hebat yang perlu dihadapinya sudah tentu untuk merealisasikan watak Nyonya itu dalam acuannya yang tersendiri.
|
Lakonannya pasti dibandingkan dengan pelakon lain yang pernah membawakan karakter yang sama.
Watak Nyonya sebelum ini pernah dilakonkan oleh Juhara Ayob, Tania Zainal dan Sherry Abdullah ketika dipentaskan masing-masing pada 2004, 2007 dan 2011.
"Setiap pelakon pentas mempunyai kemahiran dan trick mereka yang tersendiri yang mana hal-hal ini menjadi bahan bantu bagi memberikan persembahan terbaik. Sejak awal, saya telah memilih cara dan teknik tersendiri bagi memperlihatkan kelainan lakonan saya ketika bergandingan dengan Tai," ujar pelakon yang pernah muncul dalam teater seperti Sri Mersing, Bukan Dejavu, Bangsawan Tun Fatimah, Bangsawan Malim Deman dan Teater Tyickoouns ini.
Pelakon yang berasal dari Johor itu berjanji akan membawa penonton mengenali siapakah sebenarnya Nyonya yang terpaksa berhadapan dengan godaan Tuan dan serangan jahat anak- anak saudara suaminya yang gilakan harta pusaka.
Baginya, penonton tidak seharusnya melihat 'selapis' sahaja cerita Nyonya, sebaliknya perlu membuka hati dan pemikiran mereka terhadap banyak perkara yang cuba dibawakan menerusi nukilan skrip pementasan tersebut.
Nyonya & The Gang arahan bersama Rosminah Mohd. Tahir dan Siti Rohayah Attan turut menampilkan pelakon Mi- sha Omar (sebagai Keponakan Cantik), Amy Mastura (Keponakan Anggun), Fara Fauzana (Keponakan Beautiful) dan Kiah Propa (Isteri).
Turut ditampilkan ialah Syed Atiq Wan Long dan Muhd. Maaruf Zamani Lim dari kumpulan Kelawak yang lahir dari program Bintang Mencari Bintang.
Tidak ketinggalan Mohamad Md. Noor, Nazurah Hanoom Hanafie, kumpulan Don Dang Crew, Zeppo Younsterz Crew dan Secrets Crew.
Penyanyi terkenal, Anuar Zain pula akan membuat penampilan khas dalam teater ini pada 19 dan 20 Jun nanti.
Teater ini diterbitkan oleh CTRA Production dengan kerjasama akhbar Kosmo!, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara dan Jatimas.
Tiket boleh didapati di kaunter tiket Istana Budaya atau hubungi 03-6186 6592/017-2004 249/017-8716 060.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: