Thursday, June 6, 2013

Kesal dituduh sombong



APABILA drama bersiri Adam dan Hawa menjadi fenomena setelah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton, ia turut memberi impak kepada beberapa pelakon utamanya.
Antaranya pelakon Dazrin Kamarudin yang kini sudah mula mendapat perhatian ramai. Paras rupa yang kacak menjadi satu lagi bonus untuk Dazrin melebarkan karier lakonannya.
Bagaimanapun, adat bergelar anak seni semakin meningkat popular maka semakin banyak juga gosip dan cabarannya.
Perkara itu turut berlaku ke atas pelakon kelahiran Melaka itu apabila dikatakan sudah mula bersikap sombong.
Dazrin yang ditemui semasa majlis ulang tahun pertama saluran Astro Mustika HD di kompleks beli-belah AEON Bukit Tinggi, Klang, Selangor baru-baru ini mengakui dia juga ada terdengar dakwaan yang dilemparkan terhadap dirinya itu.
“Memang ada yang menuduh saya seorang yang sombong, tetapi saya anggap tuduhan tersebut tidak berasas kerana dibuat oleh pihak yang tidak mengenali saya secara rapat.
“Sudah tentu tidak adil kalau mereka membuat tuduhan yang melulu tanpa mengenali diri saya terlebih dahulu. Kalau sudah mula kenal dan rapat, barulah orang akan tahu sikap sebenar saya,” ujar pelakon berusia 25 tahun itu.
Mendedahkan dirinya sebagai seorang yang mudah mesra dan suka membuat lawak, Dazrin tidak menolak kemungkinan raut wajahnya yang adakalanya kelihatan serius telah menimbulkan salah faham segelintir pihak.
Dazrin mengakui, terbit sedikit perasaan kesal terhadap cerita negatif itu yang sedikit sebanyak menjejaskan kredibilitinya.
Disebabkan itu, dia seboleh-bolehnya mahu mengelak daripada terbabit dalam sebarang kisah kontroversi.
“Sepanjang tiga tahun berkecimpung dalam dunia lakonan, sudah tentu saya tidak mahu dikenali sebagai seorang pelakon yang popular kerana kontroversi.
“Lebih mengecewakan apabila cerita sebegini timbul ketika saya sudah dikenali ramai. Jadi saya berharap dakwaan terhadap diri saya itu akan berlalu begitu sahaja,” ujarnya.
DAZRIN menafikan dirinya seorang yang sombong dan besar kepala.


Menceritakan tentang karier lakonannya pula, Dazrin mengakui gembira apabila semakin banyak tawaran berlakon yang diperoleh selepas drama bersiri Adam dan Hawa.
Ujarnya, sudah ada penerbit dan pengarah yang memberikan kepercayaan buat dirinya untuk memegang watak utama sama ada dalam drama bersiri atau telemovie.
“Saya bersyukur dengan tawaran berlakon yang tidak putus-putus ini. Ia merupakan satu perkembangan yang positif dan membuatkan saya mahu bekerja dengan lebih keras lagi.
“Namun begitu, dengan pencapaian yang diraih ini, ia tidak bermakna saya sudah boleh berpuas hati kerana masih banyak lagi yang perlu dipelajari dalam bidang lakonan,” ujarnya yang turut popular menerusi drama Jodoh.
Masih baik
Selesai menjawab isu bersikap sombong, Dazrin kemudian ditebak pula dengan satu lagi kontroversi baharu.
Dia dituduh sebagai individu yang mementingkan diri sendiri semasa bergandingan dengan seorang lelaki pelakon muda, Hairul Azreen dalam rancangan realiti Fear Factor Selebriti Malaysia.
Walaupun berhasil muncul sebagai juara dan berjaya memenangi hadiah wang tunai RM200,000, tetapi hubungan kedua-dua pelakon itu dikatakan mulai renggang selepas rancangan berkenaan berakhir.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Dazrin meluahkan rasa hairannya.
Ini kerana tiada sebarang masalah yang timbul antara mereka berdua, bahkan hubungan kedua-duanya masih lagi baik.
“Sudah tentu saya agak pelik apabila ada yang mengatakan saya dan Hairul bermasam muka, sedangkan kami selalu lepak bersama-sama. Cuma, sejak kebelakangan ini kami jarang berjumpa kerana masing-masing sibuk.
“Apabila saya bertanyakan tentang cerita ini kepada Hairul, dia pun agak terkejut kerana sepanjang bergandingan bersama dalam rancangan Fear Factor Selebriti Malaysia, hubungan kami sangat rapat seperti adik-beradik. Bahkan, itulah antara faktor kejayaan kami muncul juara,” jelasnya.
Bagaimanapun, Dazrin menjelaskan persepsi yang mengatakan dia mementingkan diri sendiri timbul dalam kalangan penonton yang menjadi pengikut setia rancangan realiti tersebut.
DAZRIN mengaku dia mula diberi peluang membawa watak utama selepas berlakon dalam drama Adam dan Hawa.


“Perlu diingat bahawa apa yang penonton saksikan itu sebenarnya tidak menggambarkan keseluruhan keadaan yang berlaku semasa pertandingan berlangsung memandangkan ia membabitkan banyak suntingan.
“Mungkin ada sebahagian babak yang dipaparkan itu menunjukkan saya seolah-olah membuat lawak kepada Hairul, tetapi ia disalah anggap pula oleh segelintir penonton,” jelasnya.
Kongsi kejayaan
Mengenai hadiah wang kemenangan sebanyak RM200,000 yang diraih setelah bergelar juara Fear Factor Selebriti Malaysia, Dazrin memberitahu dia sudah mempunyai perancangannya sendiri.
Salah satu perancangan terdekatnya adalah untuk menganjurkan sebuah majlis kenduri kesyukuran yang disertai anak-anak yatim.
“Dengan wang yang diperoleh itu sebahagiannya akan saya gunakan untuk berkongsi kejayaan yang diraih dengan golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim.
“Cuma, sekarang ini saya masih lagi sedang mencari lokasi yang sesuai. Kalau mengikut perancangan mungkin saya akan adakannya ketika majlis berbuka puasa nanti,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada ia akan dilakukan bersama pasangannya dalam rancangan tersebut, Dazrin menyatakan ia merupakan anjurannya sendiri.
Ini kerana Hairul akan menggunakan wang yang dimenangi itu untuk membawa ibu bapanya mengerjakan ibadah haji.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: