|
APABILA disebut kentang, sudah pasti ramai membayangkan keenakan kentang goreng yang sinonim dengan restoran-restoran makanan segera di seluruh negara.
Bagi mereka yang rajin ke dapur pula, kentang merupakan salah satu bahan wajib yang perlu ada untuk dimasak mengikut kesesuaian menu. Di kampung, tanaman daripada keluarga Solanaceae itu biasanya dijadikan bahan tambahan untuk gulai lemak cili padi, masak kari dan sup.
Hakikatnya, kentang kaya dengan sumber nutrisi karbohidrat yang boleh dinikmati seisi keluarga. Menyedari populariti kentang di Malaysia, Lembaga Kentang Amerika Syarikat (USPB) tampil memperkenalkan produk mereka melalui penciptaan resipi enak berasaskan kentang.
Kualiti kentang AS
Pengurus Pemasaran Antarabangsa USPB, Susan Weller berkata, Malaysia terkenal dengan kepelbagaian sajian makanan yang terhasil daripada masyarakat berbilang kaum yang mendiami negara ini.
Justeru, penganjuran Festival Kulinari Kentang Amerika Syarikat (AS) Kuala Lumpur 2013 merupakan langkah terbaik mempromosikan ketinggian kualiti kentang AS.
“Suhu penanaman yang sesuai, tanah yang subur, teknik pemprosesan terkini dan kepakaran turun-temurun membantu menjadikan kentang sejuk beku AS yang terbaik di dunia.
“Kentang AS mempunyai kandungan pejal tinggi dan gula yang rendah sekali gus menghasilkan sajian berkualiti dengan rupa, rasa dan tekstur yang dikehendaki.
“Malah, piawaian ketat industri AS daripada Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) dan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) menjamin keselamatan dan ketinggian kualiti produk kentang sejuk beku ini,” ujar Weller sewaktu pelancaran Festival Kulinari Kentang AS Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sempena festival berkenaan, sebanyak 13 restoran di Malaysia mengambil bahagian dengan menyediakan lebih daripada 38 sajian istimewa berasaskan kentang AS untuk para pelanggan yang berkunjung ke premis mereka.
Secara keseluruhan, seramai 16 chef terkemuka menunjukkan kepakaran masing-masing untuk mencipta pelbagai resipi kreatif dengan menggunakan produk kentang AS sebagai bahan utama dalam hidangan mereka.
Ia meliputi sajian utama, pembuka selera, pencuci mulut, snek ringan dan sebagainya. Festival itu berlangsung sejak 1 Jun lalu hingga 30 Jun ini.
Menurut Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Program Sejuk Beku USPB, Marty Myers, festival tersebut bertujuan untuk menggalakkan orang ramai menikmati kentang sejuk beku AS dalam pelbagai menu yang inovatif.
“Apabila kita menyebut tentang produk sejuk beku, gambaran pertama yang terlintas dalam fikiran mungkin kentang jalur shoestring, kentang pintal curly atau kentang wedges yang sering dihidangkan bersama makanan Barat seperti stik dan burger.
“Sebenarnya, terdapat banyak lagi pilihan produk kentang sejuk beku AS yang boleh dicuba sekali gus memberikan variasi menu untuk semua,” ujar Myers sambil memberitahu Malaysia merupakan salah satu negara utama dalam pasaran kentang AS di Asia Tenggara.
Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh University Illinois, mereka mendapati sayuran sejuk beku mempunyai nilai pemakanan yang setanding sayuran segar. Ini kerana sayuran sejuk beku dipetik pada masa kematangan yang tepat dan nilai pemakanan mencapai tahap paling tinggi. Pemprosesan serta-merta ini ‘mengunci’ nutrien dan vitamin di dalamnya.
Antara menu kreatif yang dihasilkan ialah coklat jejari kentang dan popia kentang istimewa oleh Bara One Bistro.
Tidak ketinggalan salmon salai Zushi yang dibalut kulit kentang dari Jogoya serta kentang bakar dengan kek makanan laut, tongkat ali dan tuna kerabu oleh Warisan Cafe. Sementara itu, Badboy Cooks pula menampilkan sajian nasi herba Cajun di atas kulit kentang dan kentang boat gumbo oleh Secret of Louisiana.
|
Chef Restoran Halia, Mohd. Faisal Ismail memberitahu, pihaknya mengambil masa dua hari untuk mencipta tiga resipi iaitu kentang basket weaves bersama ayam dan tomato, kentang crinkle disalut telur masin dan burger kentang mini.
“Ia merupakan idea bersama chef-chef Restoran Halia di Pusat Konvensyen Sime Darby ini. Ketiga-tiga resipi ini setiap satunya menggabungkan cita rasa Cina, Barat dan Timur.
“Saya gembira kerana mendapat peluang terlibat dalam festival antarabangsa ini. Kepelbagaian kentang sejuk beku AS membolehkan kami menghasilkan menu menarik untuk disajikan pada pelanggan,” kata Mohd. Faisal kepada Kosmo!.
Sementara itu, Chef Elvin Goh dari Secret of Louisiana turut memuji ketinggian kualiti produk kentang AS.
Dia yang pernah menetap di Louisiana, AS selama lebih dua dekad mengakui banyak resipi berkhasiat boleh dicipta berasaskan kentang.
“Kombinasi kentang dan makanan laut juga menarik untuk disediakan. Justeru, saya memilih kupang biru sebagai salah satu bahan utama untuk dimasak bersama kentang AS.
“Saya harap masyarakat terutama penggemar kentang tidak akan ketinggalan untuk merasai kemeriahan festival ini dengan mengunjungi premis-premis yang terlibat,” tuturnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: