Friday, June 7, 2013
Bulan Pengguna Kebangsaan gegar Batu Burok
OMBAK di pesisir pantai Batu Burok, Kuala Terengganu, Terengganu tetap menghempas pantai seperti biasa. Sesekali angin menderu memberi ketenangan buat para pengunjungnya.
Bagaimanapun, pemandangan biasa buat orang ramai yang sering berkunjung ke situ baru-baru ini bertukar meriah apabila Batu Burok menjadi lokasi sambutan Bulan Pengguna Kebangsaan 2013 (BPK 2013) minggu lalu.
Bermula dari 30 Mei sehingga 1 Jun lalu, karnival yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dengan kerjasama akhbar Kosmo! sebagai media rasmi BPK 2013 berlangsung secara meriah.
Apatah lagi ia turut dijayakan dengan sokongan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan lain.
Dengan lebih daripada 90 gerai mengambil bahagian, BPK 2013 bukan sahaja menampilkan pameran berkaitan kepenggunaan, malah pelbagai aktiviti lain seperti permainan interaktif, jualan produk, gerai makanan, pertandingan memasak dan persembahan artis.
Pada hari pertama, pertandingan dekorasi sayuran serta buah-buahan segar telah berjaya menarik perhatian pengunjung. Demonstrasi menumbuk emping makanan tradisi menambahkan lagi kemeriahan program.
Gelagat para peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan yang bekerja keras menumbuk emping makanan berjaya memperlihatkan sifat kerjasama dalam diri mereka.
Diserbu pengunjung
Kehadiran pengunjung yang semakin bertali arus dimeriahkan lagi dengan persembahan pentas daripada penyanyi terkenal Alyah, Leez AF4 serta Farawaheeda, selain dihiburkan oleh dua pelawak tanah air, Mat Over dan Imuda.
Hari BPK 2013 kemudiannya diserikan dengan majlis perasmian yang disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek pada pukul 11 pagi 30 Mei. Hasan turut meluangkan masa untuk melawat setiap gerai yang mengambil bahagian termasuklah gerai Kosmo!.
Yang pastinya, gerai Kosmo! turut diserbu oleh pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang untuk merakamkan gambar kenang-kenangan di studio mini yang disediakan.
“Disebabkan saya ialah pembaca setia Kosmo!, saya berasa teruja untuk datang ke gerai ini. Saya merakamkan foto di sini bersama keluarga sebagai tanda kenangan,” kata salah seorang pengunjung, Nor Laili Abdullah, 34.
Dikir barat kepenggunaan
Pada hari kedua, seawal pukul 8 pagi, pesisir pantai Batu Burok diwarnai dengan gelagat kaki-kaki pancing yang mencuba nasib dalam pertandingan memancing pantai.
Bagi para pengunjung yang meminati elemen kebudayaan dan warisan pula, mereka dihiburkan dengan pertandingan dikir barat yang mengangkat tema kepenggunaan.
Elemen adat warisan negeri itu kemudiannya diteruskan lagi dengan pertandingan wau bulan tradisional yang berjaya mendapat lebih daripada 100 penyertaan.
Bagi salah seorang peserta pertandingan wau naik, Ahmad Khairi Ali, 23, meskipun masih muda, namun minatnya yang mendalam dalam seni permainan wau bulan membuatkan dia sering memasuki pertandingan seumpama itu.
“Generasi muda perlu menyambung tradisi bermain wau bulan ini kerana dikhuatiri ia akan hilang ditelan zaman jika tidak dipelihara,” katanya.
Pada sebelah malam pula, ada ceramah kepenggunaan Islam yang disampaikan oleh penceramah bebas terkenal, Kazim Elias yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim. Ceramah itu berjaya menarik minat pengunjung untuk memenuhi pekarangan pentas utama.
Ceramah yang bertajuk ‘Pengguna Cermat, Hidup Berkat’ itu turut diserikan lagi dengan persembahan nyanyian nasyid oleh kumpulan Rabbani.
Pada hari terakhir BPK 2013, pelbagai aktiviti menarik telah diadakan seperti bola sepak pantai serta sesi gotong-royong bersama artis-artis terkenal, cabutan bertuah, kuiz pengguna dan acara lelong barangan peribadi artis.
Kesemua aktiviti tersebut diserikan dengan kehadiran artis-artis terkenal tanah air seperti Syed Aiman, Black, Danny X-Factor, Ridzuan Hashim, Dynaz, Wan Sharmila, Almy Nadia, Azrul dan Jihan Raja Lawak.
Penyelaras BPK 2013, Zalinah Mohd. Yusof ketika ditemui berkata, penganjuran BPK 2013 berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk melahirkan masyarakat yang memahami hak mereka sebagai pengguna.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: