Sunday, June 2, 2013
Izzue Islam bergelar suami
TANPA terkait kontroversi besar-besaran mengenai percintaan, penyanyi dan pelakon Izzue Islam pada hari ini akan menjadi suami kepada pengurus peribadinya sendiri, Awin Nurin. Biarpun sering dilihat berkepit sebagai artis dan pengurus sejak lima tahun lalu, kedua-duanya bijak mengunci kisah cinta itu apabila ramai yang melihat mereka rapat atas kapasiti bekerja.
Dalam diam juga, ahli kumpulan Fourteen yang berusia 23 tahun itu telah mengikat tali pertunangan dengan Awin pada Jun tahun lalu sehinggalah membuat pengumuman untuk bernikah dan mengedarkan kad kahwin beberapa minggu lalu.
Diadakan dalam majlis tertutup yang dihadiri saudara-mara, rakan terdekat dan wakil media di lokasi rahsia di Shah Alam, Selangor, kedua-dua mempelai dijadualkan dinikahkan pada pukul 9 pagi ini.
“Seperti lelaki lain yang mahu melangkah ke alam berumah tangga pastinya perasaan berdebar-debar itu ada. Tetapi perasaan tidak sabar dan gembira lebih lagi,” kata Izzue kepada Sensasi Bintang.
Majlis resepsi turut diadakan di Shah Alam pukul 1 petang hari ini yang dihadiri oleh tetamu-tetamu jemputan.
Dalam majlis itu, pihak pengantin lelaki memberi lima dulang hantaran berbalas tujuh. Izzue bagaimanapun belum memutuskan untuk berbulan madu.
“Lokasi berbulan madu masih difikirkan kerana saya akan kembali meneruskan penggambaran drama bersiri Sahabat pada Selasa ini.
“Mungkin memikirkannya selepas hari raya nanti kerana jadual sedikit lapang pada ketika itu. Pada Aidilfitri nanti juga akan diadakan majlis kecil-kecilan di kampung saya di Kelantan sempena semua sanak saudara balik kampung,” kata anak kelahiran Kota Bharu itu.
Menyingkap semula kisah cintanya bersama Awin, pemilik nama penuh Muhammad Izzul Islam Mazlan itu menjelaskan, dia mula rapat sejak mengenali wanita itu lima tahun lalu.
“Sejak mengenali dia, hubungan kami semakin rapat tetapi tidak pernah terfikir untuk menamatkan zaman bujang.
“Namun, apabila jodoh sudah ditentukan bersama, saya memilih Awin sebagai isteri,” kata pelakon drama Sebenarnya Saya Isteri Dia itu.
Walaupun sudah bergelar suami, perjalanan karier nyanyian dan lakonan pelakon filem 29 Februari dan Chikaro itu dijadualkan berjalan seperti biasa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: