Budak hilang dilarikan 'tomboy'
Rokiah menangis setiap kali melihat foto anak bongsunya, Nur Zazila yang didakwa dilarikan 'tomboy' dikenali sebagai Along.
TUMPAT – Gerak hati seorang ibu yakin anak perempuannya, Nur Zazila Ibrahim, 10, yang hilang sejak seminggu lalu dilarikan seorang 'tomboy' yang menumpang tinggal di rumahnya di Kampung Jejulok, di sini.

Rokiah Awang, 41, berkata kehilangan anaknya disedari pada jam 11 malam pada 27 Mei lalu apabila Nur Zazila tidak pulang selepas keluar membeli gam (alat tulis) di kedai runcit berhampiran.

“Saya syak dia dilarikan oleh 'tomboy' tersebut dikenali Along kerana pada malam itu saya nampak kelibat Along membawa keluar motosikal milik anak saya.

“Mereka hilang serentak dari rumah ini dan sehingga ke hari ini tiada khabar berita dari mereka,” katanya.

Along yang berasal dari Pengkalan Kubor di sini merupakan kenalan kakak mangsa, Nurul Huda, 18 dan menumpang tinggal di rumah keluarga ini sejak dua minggu lalu.

Sepanjang dua minggu tersebut, Along begitu mesra dengan Nur Zazila.

Sementara itu, Nurul Huda berkata, dia ada menghubungi telefon bimbit Along untuk bertanyakan di mana adiknya berada tetapi tidak diangkatnya.

“Saya juga ada mencari adik saya di rumah Kak Nor merupakan pengasuh anak along di Kampung Tujoh.

“Kak Nor tidak tahu apa-apa pasal adik saya, dia juga tidak mengetahui di mana Along berada,” katanya.

Sehubungan dengan itu Nurul Huda memberitahu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Simpangan pada Selasa lepas mengenai kehilangan adik bongsu daripada lima beradik itu.

Nurul Huda merayu sesiapa yang ternampak adiknya bersama motosikal jenis EX5 berwarna merah nombor pendaftaran DBV 5347 miliknya diminta menghubungi 0139157986.

“Kami sekeluarga bimbang keselamatan Nur Zalila dan merayu Along pulangkan kembali adik saya itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Zaharudin Rasip ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit.