|
BAGI yang mengikuti kisah percintaan antara Sharnaaz Ahmad dan Shila Amzah, mungkin ramai yang beranggapan bahawa ia seperti perjalanan cerita sebuah drama atau telemovie.
Tambahan pula dengan rentetan kontroversi yang membelenggu hubungan kedua-duanya, tetapi akhirnya takdir telah menentukan ikatan cinta yang terjalin antara Sharnaaz dan Shila menemui titik noktahnya.
Berkesempatan bertemu Sharnaaz ketika pelancaran filem terbaharu arahan Bade Haji Azmi iaitu Sindiket minggu lalu, dia meminta supaya kisah cintanya yang lepas tidak perlu diungkitkan lagi.
Bagaimanapun, sesuatu yang wajar dipuji apabila pelakon itu tetap tenang dan ceria menjawab setiap soalan yang diajukan serta sanggup meluangkan sedikit masa untuk ditemu bual wartawan, meskipun terpaksa bergegas kerana mempunyai urusan lain.
"Biarlah apa yang berlaku dahulu menjadi satu pengajaran yang paling bermakna buat diri saya. Kalau boleh saya tidak mahu lagi bercerita tentang kisah cinta saya yang sudah berlalu.
"Sekarang ini saya mahu memberi fokus kepada kerjaya lakonan sahaja. Saya bersyukur kerana tawaran berlakon yang diterima makin banyak dan perlu menghargai peluang yang telah diberikan ini," ujarnya yang mengambil pendekatan untuk tidak mahu mengulas panjang.
Menurut pelakon kelahiran Pulau Pinang itu, segala kontroversi yang pernah melanda dirinya sebelum ini langsung tidak menjejaskan kariernya sebagai seorang pelakon.
Ujarnya, dia percaya dengan menunjukkan kesungguhan dan komitmen terhadap tanggungjawab yang diberikan, ia menjadi bukti kepada penerbit dan pengarah yang dia sememangnya bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam bidang lakonan.
"Sudah tentu saya tidak perlu fikir lagi dan lupakan sahaja semua masalah yang pernah berlaku. Lagipun dengan peluang yang diberikan ia tidak seharusnya disia-siakan dan kini lebih gembira dengan kehidupan sekarang," ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia masih lagi berhubung dengan bekas kekasihnya itu atau tidak, Sharnaaz menyatakan mereka tidak lagi berhubung kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.
Menurutnya, biarpun sudah tidak lagi mempunyai sebarang ikatan percintaan, tetapi ia tidak bermakna mereka perlu bermusuhan kerana sudah ditakdirkan memang tiada jodoh antara mereka berdua.
Terus berkisar tentang cinta, pelakon tersebut juga diminta mengulas desas-desus yang mengaitkannya dengan seorang pelakon wanita kelahiran Singapura iaitu Elfaeza Ul Haq.
Ujar Sharnaaz, dia agak terkejut kerana memang tiada sebarang hubungan istimewa yang terjalin bersama Elfaeza. Sebaliknya, mereka berdua bergandingan bersama-sama dalam drama bersiri Mukhlis baru-baru ini.
"Demi Allah saya dan Elfaeza tidak menjalinkan hubungan cinta seperti yang diperkatakan. Rasanya semua orang tahu yang saya ini bukanlah jenis individu yang suka berahsia.
"Sebelum ini pun saya tidak pernah merahsiakan kisah percintaan dengan Shila dahulu. Kalau betul kami ini bercinta, saya akan berterus terang kepada semua orang," jelasnya yang kini masih belum menemui pengganti.
Ujarnya, biarpun kini tidak lagi mempunyai kekasih, ia tidak bermakna dia sudah menutup pintu hatinya kepada wanita lain, namun dia merasakan lebih baik sekiranya dia fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.
Masalah selesai
Selain kisah cintanya yang menjadi tumpuan ramai, Sharnaaz turut terpalit dengan sebuah lagi kontroversi tentang persengketaannya dengan penerbit filem Darah Panas iaitu S. Baldev.
Persengketaan tersebut terjadi apabila dia dikatakan telah meninggalkan lokasi penggambaran dan bergaduh dengan salah seorang kru produksi sehingga dikenakan tindakan saman.
Mengulas mengenai perkara berkenaan, pelakon itu menjelaskan bahawa persengketaan yang terjadi sudah pun selesai dan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat untuk menyelesaikannya di luar mahkamah.
"Menerusi perbincangan yang dilakukan kami mengambil keputusan menerusi win-win situation (situasi menang-menang) dan berpuas hati dengan apa yang telah diputuskan.
"Jadi, saya anggap perkara ini sudah selesai dan berakhir dengan cara baik dan pada bulan Julai ini saya akan terbabit dengan proses dubbing untuk filem itu," jelasnya.
Selain itu, Sharnaaz telah meluahkan hasratnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang mengaitkan dirinya dengan penggunaan nama Lan Todak di laman Twitter yang dikatakan telah memaki keluarga Shila Amzah.
Tegas Sharnaaz, dia langsung tidak ada kena-mengena dengan nama itu dan beranggapan ia dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan namanya.
"Ia merupakan satu fitnah kalau ada yang beranggapan nama Lan Todak dalam Twitter itu adalah saya. Sudah tentu saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan selanjutnya kepada mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab itu," ujarnya.
Turun padang
Berkenaan dengan kes buli yang telah berlaku baru-baru ini, Sharnaaz meluahkan rasa kesalnya apabila ada pelajar yang terpengaruh dengan wataknya sebagai Lan Todak dalam filem Juvana The Movie yang ditayangkan pada awal tahun lalu.
Ujarnya, dia sangat terkejut dan tidak sangka watak Lan Todak itu telah memberi impak negatif terhadap segelintir pelajar sehingga dikaitkan dengan kes buli.
"Saya melihat penayangan filem-filem yang berkaitan dengan kenakalan pelajar-pelajar sekolah ini dapat memberikan pengajaran yang berguna kepada masyarakat.
"Sebaliknya, masalah lain pula yang berlaku dan secara peribadi saya ingin meminta maaf kepada semua pihak sekiranya watak yang saya bawa itu memberi kesan buruk," ujarnya.
Menyedari bahawa kes buli yang berlaku itu merupakan satu masalah yang cukup besar, Sharnaaz menyatakan kesudiannya untuk turun padang memberi ceramah dan motovasi kepada pelajar-pelajar sekolah tentang buli.
"Kalau ada mana-mana pihak yang berminat mahu memanggil saya memberikan ceramah, saya tidak kisah sekiranya ada kelapangan dan berharap supaya tidak ada lagi pelajar sekolah yang terpangaruh dengan filem tersebut," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: