Buntu anak hilangkan diri
Sarimah menunjukkan laporan polis dibuatnya.
PADANG TERAP - “Baliklah sayang, kami semua rindu dan risaukan keselamatan Minah,” demikian rintihan seorang ibu yang hidup dalam keadaan tidak tenteram berikutan anak gadisnya yang dipanggil Minah menghilangkan diri dari rumah kira-kira sebulan lalu.

Sarimah Mat Daud, 45, berkata, anak gadisnya Nur Alia Aqila Yusof, 15, tidak pulang ke kediaman mereka semenjak keluar meninggalkan rumah di Kampung Rambutan, Kuala Nerang, dekat sini, pada 8 Mei lepas.

“Pada hari kejadian, saya tiada di rumah sebab perlu bekerja syif malam dari jam 8 malam hingga 8 pagi. Hanya ayah dan adik beradiknya berada di rumah. Namun, dia tidak menunjukkan sebarang tanda untuk keluar rumah.

“Malahan, sebelum saya pi kerja kira-kira 7.30 malam, Minah seperti biasa akan memeluk dan membancuh kopi. Dia langsung tidak tunjukkan sebarang tingkah lalu pelik, sehinggalah kehilangannya disedari apabila pulang ke rumah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, Minah dipercayai keluar sehelai sepinggang dengan membawa telefon bimbit semata-mata bagi berjumpa dengan kenalan lelakinya, namun apabila dihubungi nombor telefonnya panggilan berkenaan seolah-olah sengaja tidak dijawab.

Menurutnya, mereka langsung tidak berselisihan faham pada hari kejadian mahupun sebelumnya, malahan hubungan mesra seperti biasa menyebabkan punca kehilangan Minah menjadi tanda tanya hingga menimbulkan ketakutan dan kerisauan pada dirinya mengenai keadaan Minah kini.

“Pulanglah, kalau Minah takut mak marah. Mak janji tak marah, tapi tolonglah balik sebab kami semua bimbangkan Minah. Angkatlah telefon bagitau Minah kat mana, mak nak pastikan Minah selamat,” katanya.

Katanya, pelbagai usaha dilakukan untuk menjejaki anak gadisnya itu termasuklah mencari sendiri, meminta saudara dan kenalan menjejakinya, bertanya kepada orang ramai dan membuat laporan polis, bagaimanapun sehingga kini masih belum menerima sebarang berita.

Menurutnya, beberapa kenalan di sekitar Kuala Nerang ada memaklumkan kepadanya bahawa mereka pernah melihat Minah bersama dengan beberapa lelaki selepas kehilangannya, namun apabila dicari anak gadisnya tidak ditemui.

“Tiap-tiap malam, saya, ahli keluarga bersama sahabat handai pasti keluar mencarinya di merata tempat. Namun, kami tak jumpa hingga membuatkan saya buntu berikutan bimbang anak menjadi mangsa perkara tidak elok,” katanya sayu.

Sarimah berkata, dia memohon kepada orang ramai yang mengetahui mahupun pernah melihat anak keenam dari sembilan beradik itu supaya menghubunginya di talian 019-5694815 ataupun mana-mana polis berdekatan.