jangan lupa klik disini Loading page Loading page

Friday, July 31, 2009

Tiara Jacquelina diberi hak mengurus harta anak perempuannya, Hani Karmila

Aktress Datin Seri Tiara Jacquelina kelihatan gembira selepas keluar daripada Mahkamah Tinggi Syariah. Hakim membuat keputusan terhadap hak mengurus harta anaknya.

KUALA LUMPUR: Aktres Datin Seri Tiara Jacquelina telah diberikan hak mengurus dan mentadbir harta anak perempuannya, Hani Karmila Mohsin sehingga usianya mencapai 21 tahun.

Tiara Jacquelina Eu Effendi hadir bersama peguamnya, Ahmad Nazib Johari, di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan bagi perbicaraan kes permohonan penjagaan harta Hani Karmila Mohsin hari ini.

Hakim Syarie Mahkamah Tinggi, Mohd Shakir membuat keputusan ini di bawah Seksyen 90 Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan yang membenarkan ibu diberi hak mengurus harta anak mereka.

Ketika ditemui selepas keputusan dibuat, penerbit dan aktres terkenal itu berkata harta itu akan digunakan untuk menampung perbelanjaan anaknya yang berusia 12 tahun.

Dalam perbicaraan itu, Hakim bertanya Tiara, adakah bekas suaminya, Allahyarham Hani Mohsin ada meninggalkan wasiat, beliau menjawab tiada.

Hakim kemudian bertanya adakah anaknya itu mempunyai ayah saudara atau penjaga lain, Tiara menyatakan sepanjang pengetahuannya, "tiada".

Tiara juga memberitahu yang Allahyarham Hani Mohsin merupakan anak tunggal dan kedua ibu bapanya sudah meninggal dunia.

PM Lancar Amanah Saham 1Malaysia

KUALA LUMPUR, 31 Julai Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia), dana untuk semua rakyat Malaysia yang diurus oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata AS 1Malaysia ialah dana ekuiti harga tetap iaitu RM1.00 seunit, dengan saiz dana berjumlah 10 bilion unit, tawaran dana terbesar oleh PNB setakat ini.

"AS 1 Malaysia dibuka kepada langganan awam mula 5 Ogos, 2009 -- penawaran 30 hari mulai 5 Ogos, 2009 hingga 3 Sept, 2009," katanya pada taklimat media Jumaat.

Pelaburan awal minimun bagi AS 1Malaysia ialah 100 unit manakala pelaburan tambahan minimum sebanyak satu unit.

Hamad Kama Piah berkata dana itu akan dilaburkan dalam syarikat-syarikat Malaysia dengan petunjuk pasaran mengikut pulangan kerajaan Malaysia 5 tahun yang kini berkisar antara 3.7 dan 4.0 peratus.

"Sepanjang tempoh penawaran, langganan unit adalah tertakluk kepada peruntukan 50 peratus untuk Bumiputera, 30 peratus Cina, 15 peratus India dan baki lima peratus untuk minoriti lain," katanya.

Bagi memastikan penyertaan yang lebih luas daripada orang ramai, beliau berkata had pelaburan maksimum sepanjang tempoh 30 hari penawaran ditetapkan pada 50,000 unit bagi setiap pemegang akaun yang berumur 18 hingga 55 tahun.

Had pelaburan maksimum bagi mereka yang berusia lebih 55, ditetapkan 10,000 unit bagi setiap pemegang akaun, katanya.

Skim Amanah Saham 1Malaysia Bantu Rangsang Ekonomi Negara

KUALA LUMPUR, 31 Julai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata skim Amanah Saham 1Malaysia (AS 1Malaysia) akan memberi suntikan dana baharu dalam merangsang pasaran saham tempatan dan instrumen pelaburan yang lain.

Selain itu, skim ini juga akan meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat, katanya ketika melancarkan dana Amanah Saham 1Malaysia, tabung dana amanah baharu yang diuruskan oleh Permodalan Nasional Bhd (PNB), di sini hari ini. "Melalui rangsangan ekonomi ini, kerajaan berharap kegiatan dalam sektor-sektor penting ekonomi negara dapat ditingkatkan melalui penerokaan modal-modal baharu yang mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia," katanya.

Sehingga ini, Najib berkata PNB telah berjaya melaksanakan program perkongsian perniagaannya bersama semua rakyat Malaysia melalui syarikat-syarikat pelaburannya.

"Kaedah perkongsian ini juga telah menyediakan peluang pekerjaan langsung kepada lebih 135,000 orang, dan ramai lagi rakyat mendapat manfaat perkerjaan secara tidak langsung melalui syarikat-syarikat ini," katanya.

Syarikat-syarikat terkemuka yang bernaung di bawah PNB seperti Maybank, Sime Darby, UMW dan lain-lain, telah dan akan terus memperkembang aktiviti-aktiviti melangkaui sempadan negara seperti di China, Indonesia, Australia, bahkan ke Eropah, kata Najib.

"Ini sejajar dengan aspirasi negara untuk menjadikan negara luar ini sebagai "hinterland" untuk arena pelaburan baharu bagi syarikat-syarikat Malaysia," kata Perdana Menteri.

Najib berkata pelancaran dana AS 1Malaysia juga merupakan suatu kejayaan penting untuk PNB melangkah ke hadapan dalam mengurus dana-dana yang jauh lebih besar, setaraf dengan sysrikat-syarikat pelaburan antarabangsa.

Beliau juga mengharapkan penyertaan daripada seluruh rakyat Malaysia yang tidak terhad kepada dana AS 1Malaysia, malah penyertaan dan penerimaan PNB dalam aktiviti perniagaan tempatan dipertingkatkan.

"Sokongan yang saya maksudkan ialah supaya kalangan perniagaan dapat memberi ruang kepada PNB untuk melabur atau menambah pegangan dalam syarikat-syarikat baharu yang berpotensi dan mampu memberi pulangan yang tinggi," katanya.

Perdana Menteri berkata pengumpulan dana rakyat ini bukanlah simpanan wang yang hanya akan memanfaatkan pelabur individu, bahkan akan membantu negara membangunkan lagi industri pelaburan dengan perbelanjaan yang lebih teratur.

50,000 siswa dapat saham percuma '1Malaysia'

Seramai 50,000 pelajar tahun pertama di institusi pengajian tinggi awam dihadiahkan 100 unit percuma Amanah Saham 1Malaysia, demikian diumumkan perdana menteri sewaktu pelancaran tabung itu.
Datuk Seri Mohd Najib Razak berkata pemberian saham tersebut melibatkan mereka yang mendaftar di institusi berkenaan pertengahan tahun ini.

"Ia merupakan satu pertimbangan khas, yang pencen pun dapat, dan yang bakal mewarisi kepimpinan negara pun dapat pertimbangan khas itu," katanya sewaktu merasmikan saham amanah terbaru bersempena nama slogannya "1Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" di Kuala Lumpur pagi ini.

Tambahnya, saham amanah ini bernilai 10 bilion unit dengan harga RM1 seunit.

Mohd Najib berkata peruntukan saham tersebut mampu untuk memberi suntikan kepada ekonomi negara dan pasaran ekuiti di Malaysia.

Permohonan saham tersebut terbuka untuk dilanggan oleh rakyat Malaysia yang berumur atas 18 tahun bermula pada 5 Ogos ini, tambahnya.

Saksi cuma 'syaki' Memey-Norman berkhalwat

Norman Hakim dan Memey semasa kes perbicaraan pada 3 Julai 2009.

GOMBAK: Keterangan saksi hari ini sukar untuk membuktikan yang pasangan tertuduh, aktres Memey Suhaiza dan aktor Norman Hakim melakukan kesalahan di bawah Seksyen 29 1 (a) dan (b) membabitkan berkahlwat.

Saksi, Abdul Rahman Lai dalam perbicaraan kes itu berkata dia hanya mengesyaki pasangan Memey-Norman melakukan kesalahan itu sekitar pukul 2 hingga 2.30 pagi ketika disoal oleh Timbalan Pendakwaraya.

Rahman juga memaklumkan dia bersetuju dengan soalan peguam syarie yang dia terjumpa Memey pada pukul 2.45 pagi di tingkat bawah manakala Norman di tingkat atas pada pukul 3 pagi sekali gus tidak menunjukkan mereka melakukan kesalahan itu.

Rahman yang bertugas sebagai ketua operasi di Jabatan Agama Islam Selangir itu juga mengaku tidak mengabil sebarang barang bukti kes di lokasi kejadian termasuk gambar sewaktu menahan pihak tertuduh.

Berdasarkan fakta kes, Norman Hakim atau Mohamed Norhakim Zaidon, 33, ditemui di bilik atas, manakala Memey atau Suhaiza Suhaimi, 21, ditemui di tingkat bawah iaitu sedang duduk atas kerusi di kaunter pada masa yang berbeza.

Abdul Rahman yang juga saksi pertama pihak pendakwaan memberi keterangan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, hari ini.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Syarie, Muhamad Nazri Basrawi. Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Salehudin Yatim

Norman dan Memey tidak mengaku bersalah atas tuduhan berkhalwat di pejabat beralamat 4-1A, Jalan UP 1/2 Taman Ukay Perdana, Hulu Klang, jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Rahman juga mengaku tidak pernah memberikan sebarang kenyataan akhbar selepas melakukan tangkapan itu supaya kenyataan itu tidak diputarbelitkan dan bimbang bercanggah dengan fakta.

Dia juga tidak mengetahui sama ada salah seorang anggotanya, Khairul Nizam memberiksn kenyataan dalam sebuah rancangan TV.

"Saya tak tahu (Khairul Nizam memberikan kenyataan media) dan biasa menonton program itu," katanya.

Intan Azura tolak watak jahat


SEPI tanpa publisiti bukan bermaksud pelakon Intan Azura Sulaiman sudah tidak mendapat tempat di persada seni tanah air.

Malah, pelakon yang sudah menghambakan diri lebih sepuluh tahun dan membintangi lebih 200 drama bersiri dan telefilem ini masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah drama sampai hari ini termasuk memegang watak utama.

Kata Intan, secara peribadi dia tidak bimbang dengan kemunculan ramai artis baru yang bagaikan cendawan tumbuh sekarang. Malah yakin peminat boleh menilainya menerusi sumbangan pada industri seni setakat ini.

“Cerita peribadi saya juga tidak banyak dipaparkan di akhbar kerana fokus saya pada kerjaya seni. Dari awal pembabitan saya dalam bidang lakonan sampai sekarang, saya sangat mementingkan kualiti dan bukan kuantiti lakonan. Mungkin sebab itu, saya mampu bertahan dalam industri seni sampai sekarang.

“Sebenarnya, bukan saya tidak pernah terfikir untuk mencuba bidang pengiklanan dan perhubungan awam tetapi tawaran berlakon yang datang termasuk tawaran watak utama menghalang saya untuk berbuat demikian,” katanya.

Intan, 30, yang juga pemegang Diploma Pemasaran dan Perhubungan Awam (Stamford College) dan Diploma Penyiaran Akademi TV3 berkata, watak Fatiha lakonannya dalam drama bersiri sebanyak 26 episod, Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin meninggalkan kesan mendalam.

“Saya bawa watak utama, Fatiha dan bergandingan dengan Siti Shahrizah atau Eja (watak Azrin). Cerita ini mengisahkan Fatiha dan Azrin bersahabat baik sejak kecil. Mereka tinggal di kawasan ladang tebu dan tempat mereka bermain pondok-pondok sejak kecil itu dikenali sebagai `wadi'.

“Apa yang mencabar, saya banyak bermain dengan emosi dalam cerita ini seperti menjayakan babak sedih perpisahan Fatiha dan Azrin kerana Fatiha melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Antara babak menarik lain ialah apabila Fatiha berkahwin di luar negara tanpa restu keluarga dan akhirnya terpaksa menerima hakikat suaminya sudah berubah apabila dia mengalami keguguran dan seterusnya bercerai.

“Saya juga memutuskan untuk berehat sementara waktu dari berlakon selepas penggambaran drama ini selesai,” katanya.

Intan berkata, dia dan kru drama itu terpaksa berkampung selama empat bulan di lokasi penggambaran drama Wadi Unung. Penggambaran selesai pada Mac tahun lalu membabitkan lokasi di Alor Star, Kedah dan Perth, Australia. Drama ini juga dijangka menemui penonton pada Ramadan nanti untuk saluran Astro Prima.

Terbaru, Intan menjayakan drama Puteri Aurora Beradu untuk slot Lagenda di TV3. Wataknya hanya pembantu, Rita yang juga pembantu kepada watak jahat (lakonan Norish Karman).


“Sekalipun bukan watak utama, saya tertarik apabila melihat perjalanan cerita dalam Puteri Aurora. Saya sudah mencuba pelbagai watak dalam drama sepanjang berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Antaranya dalam drama bersiri sebanyak 13 episod untuk saluran RTM, Milik Siapakah Hati ini, saya bawa watak baik dan dikelilingi ramai lelaki,” katanya.

Selepas penggambaran drama Milik Siapakah Hati Ini, Intan terus menyambung penggambaran drama bersiri Puteri Aurora Beradu. Drama lain Terminal Cinta di mana Intan memegang watak utama bergandingan dengan bintang Akademi Fantasia (AF), Khai yang membawa watak gangster dalam cerita ini.

Sekalipun sudah lama berlakon, Intan tetap mengutamakan keluarga dalam segala hal. Katanya, dia melangkah kaki dalam bidang seni dengan restu keluarga.

“Justeru, sampai hari ini, saya tetap menjaga amanah dan nama baik keluarga sebaik mungkin termasuklah dari segi watak ditawarkan dalam drama.

“Setiap kali mendapat tawaran berlakon, saya akan berbincang dengan keluarga terlebih dulu. Contohnya, saya pernah ditawarkan watak jalang yang dilakonkan Nabila Huda dalam filem Akhirat tetapi saya terpaksa menolaknya kerana memikirkan perasaan keluarga,” katanya.

Sementara itu, dalam usia mencecah 31 tahun, Intan Azura mengakui dia sudah bersedia untuk mendirikan rumah tangga. Namun, sayangnya kata Intan, dia belum bertemu calon sesuai lagi.

“Memang saya pernah putus cinta, tetapi saya tidak serik untuk bercinta lagi. Pada masa sama, saya juga berkawan dengan ramai orang tetapi soal jodoh, saya serahkan kepada ketentuan tuhan,” katanya.

Winnie putus cinta lima kali


IMPIAN penyanyi Winnie K untuk muncul dengan album penuh berbahasa Melayu sudah pun menjadi kenyataan, tahun lalu.

Malah, album Winnie atau nama sebenarnya Kok Mui Kuan, 28, yang berjudul Kau Ada Di Mana yang dilancarkan di Jakarta, Indonesia awal tahun lalu turut mendapat sambutan di negara jiran itu.

Namun, entah di mana silapnya, album berkenaan yang dibungkus semula untuk pasaran tempatan tidak mendapat sokongan dari stesen radio di negara sendiri.

"Saya kecewa kenapa stesen radio tempatan kurang memutarkan lagu Melayu saya di stesen mereka sedangkan pihak stesen radio dan televisyen di negara jiran, Indonesia memberi sokongan dan kerjasama yang baik kepada album saya sejak ia di pasarkan di sana.

"Sebagai artis baru berbangsa Cina yang menyanyikan lagu Melayu, saya sangat mengharapkan sokongan stesen radio tempatan.

"Maklumlah, saya juga mengambil jangka masa yang lama untuk tampil dengan bingkisan album ini.

"Justeru, sudah pasti saya mengharapkan segala kerja keras saya selama ini berbaloi," katanya.

Winnie berkata, bingkisan album Melayunya itu juga berkualiti dan menampilkan gabungan komposer terkenal dua negara iaitu Ajai, Tam Spider, Cat Farish, Dewiq dan Yudis Dwikorana.

"Saya sangat mengharapkan pihak stesen radio memutarkan sekurang-kurangnya dua lagu dari album Melayu saya iaitu Kau Ada Di Mana dan Ke Akhirnya yang menampilkan Cat Farish.

"Saya difahamkan, syarikat rakaman stesen radio berkenaan hanya memutarkan lagu artis tertentu saja.

"Tidak perlulah saya sebut nama stesen radio itu, tapi saya difahamkan stesen radio itu juga turut tidak mahu memutarkan lagu baru penyanyi lelaki terkenal tanah air," katanya. Winnie yang sudah dua tahun ditaja Celebrity Fitness ditemui di sidang akhbar Celebrity Fitness & Piklife Joint Venture di Celebrity Fitness One Utama, baru-baru ini. Lebih teruk lagi, kata Winnie, ada pihak yang berpendapat lagunya, Kau Ada Di Mana adalah lagu dendangan penyanyi popular Erra Fazira.


"Mungkin kerana lagu itu adalah lagu tema drama bersiri Mertua VS Menantu yang dibintangi Erra dan Aqasha, ramai orang fikir itu lagu dendangan Erra dan bukan lagu saya.

"Sebenarnya ada pihak yang memberitahu perkara itu kepada saya.

"Sebagai penyanyi saya tidak ingin cepat melatah dalam soal ini kerana lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif.

"Sekurang-kurangnya lagu saya itu diminati ramai walaupun ada orang yang tidak tahu saya adalah penyanyi lagu berkenaan," katanya.

Mengenai gosip terbarunya bersama vokalis kumpulan Indonesia, D'Masiv, Rian, Winnie yang sibuk mengumpul material untuk album Mandarinnya berkata, hubungannya dengan Rian hanya sekadar rakan artis.

"Sebenarnya, saya mula kenal dengan Rian, ketika kami sama-sama buat persembahan untuk stesen televisyen Indonesia sebelum ini.

"Selain D'Masiv, ada dua lagi band popular Indonesia terbabit dalam persembahan itu iaitu Sheila On 7 dan Samson.

"Malah, apabila D'Masiv buat persembahan di Kuala Lumpur, mereka juga mengundang saya untuk hadir di sidang akhbar mereka untuk memberi sokongan.

"Hubungan kami tidak lebih dari rakan artis dan saya juga tidak tahu bagaimana gosip saya bercinta dengan Rian itu boleh diperkatakan orang ketika ini?. Hakikatnya, saya sudah lima kali putus cinta dan masih mencari cinta sampai sekarang," katanya.

Air mata bercucuran menghadap Kaabah


PADA tanggal 23 Mac lalu Noorkhiriah dan suami berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan umrah. Berada di sana selama 10 hari, pelakon genit ini mengakui cukup menginsafkan dirinya.

Menurutnya, pemergian itu untuk beribadah dan sudah sampai seru ke sana.

Kata Noorkhiriah lagi, kalau melawat ke negara lain dia boleh saja pergi, mengapa bila ada rezeki lebih sikit tidak berkunjung ke tempat bermakna seperti Madinah dan Makkah.

"Pertama kali menjejak kaki di Madinah dan melihat Masjid Nabawi, hati saya sungguh sayu.

"Rasa macam tidak percaya saya dan suami akhirnya diundang Tuhan juga ke destinasi paling indah di dunia ini. Banyak negara sudah kami lawati, tetapi sama.

"Di Madinah dan Makkah sangat tenang. Bahkan, sebaik saya melihat Kaabah dalam Masjidil Haram, saya terus menangis sepanjang tujuh kali melakukan tawaf.

"Saya berasakan betapa kerdilnya manusia di sisi Tuhan dan patut taat kepada-Nya.

"Rasa insaf benar-benar terbit dalam hati kerana melihat semuanya di depan mata. Jika sebelum ini, sering mendengar cerita rakan yang menyeronokkan dan memang itulah hakikatnya.

"Tempat yang cantik dan sangat tenang untuk beribadah," katanya.

Menurut Noorkhiriah lagi, dia juga berasa insaf apabila mendengar kisah nabi yang diceritakan mutawif yang membantu jemaah umrah di sana

"Sebak hati mendengar kesusahan yang dilalui Nabi Muhammad (s.a.w) dalam usaha baginda menegakkan syiar Islam. "Malah, pengorbanan dilakukan Siti Khadijah untuk membantu suaminya yang saya jadikan teladan untuk diri sendiri dalam melayari rumah tangga.


"Dalam hati, rasa mahu juga jadi macam Siti Khadijah yang menjadi isteri terbaik untuk suaminya. Sebagai wanita, seharusnya menjadi penyokong kuat untuk suami.

"Oleh itu, kasih sayang dibina dapat dipertahankan dan Insya-Allah berkekalan hingga akhir hayat," katanya.

Sepanjang berada di Madinah, antara tempat diziarahi Noor ialah makam Nabi Muhammad dan sahabat, bersolat di Raudhah, Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Masjid 7 dan Jabal Uhud.

Manakala, di Makkah pula ialah Bukit Thaur, Bukit Rahmah, Mudzalifah, Minna dan ladang unta.

Siapa Anak Wayang sebenar?


BERHASRAT menjadikan lakonan kerjaya sepenuh masa, dua peserta Anak Wayang musim pertama, Mohd Hairi Safwan Aznan, 21, dari Kedah dan Hafiz Halim, 21, dari Selangor yang terpilih ke peringkat akhir program realiti itu bakal berentap untuk merebut gelaran juara.

Pertandingan akhir Anak Wayang malam ini disiarkan secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Serentak itu drama bersiri 50 episod, Kecuali Cintamu yang dibuat khusus untuk menonjolkan bakat peserta Anak Wayang juga tamat siaran.

Drama itu dibarisi pelakon handalan, Mustapha Kamal, Nanu Baharudin, Haleeda, Sabrina Hassan dan Zain Ruffedge.

Sebelum ini dijangka seorang lagi peserta, Nur Dayana Kamsun Baharin, 18, dari Kuala Lumpur yang akan ke peringkat akhir Anak Wayang namun undian SMS tidak menyebelahinya.

Hairi yang menuntut di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dalam jurusan teater berazam melakukan yang terbaik kerana dia bercita-cita menjadi pelakon disegani suatu hari nanti.

"Ketika diumumkan berjaya ke peringkat akhir, saya terkejut, tetapi bersyukur sangat kerana ingatkan Dayana yang terpilih. Betapa siapapun yang terpilih saya doakan yang terbaik untuk mereka.

"Anak Wayang menyediakan pentas cukup baik untuk orang baru macam saya.

"Sebelum belajar di Aswara lagi saya minat berlakon dan dengan segala ilmu yang dipelajari dengan tenaga pengajar Anak Wayang dapat menjadikan saya pelakon yang bagus.

"Mungkin sedikit kelebihan saya berbanding Hafiz kerana saya senang menjiwai watak namun kurang pengalaman beraksi di hadapan kamera.

"Bagaimanapun saya dan Hafiz selalu berbincang dan berkongsi ilmu kerana Hafiz ada pengalaman berlakon. Hafiz juga bertanya saya macam mana hendak mendalami watak.

"Saya menyertai Anak Wayang dengan matlamat untuk belajar kerana mahu jadikan bidang lakonan kerjaya sepenuh masa."Andai berjaya nanti saya mahu mengubah senario dunia lakonan tanah air agar setanding barat.


"Sebenarnya pelakon di Hollywood tidak memberikan sepenuh jiwa mereka seperti mana pelakon di sini dan Indonesia.

"Pelakon di Hollywood hanya menunjukkan kehebatan lakonan mereka dari luaran tetapi dengan teknologi dan kesan khas yang hebat, lakonan mereka kelihatan sangat bagus.

"Pelakon Indonesia memberikan sepenuh perasaan ketika berlakon. Oleh itu saya mahu pelakon Malaysia berikan yang terbaik, berlakon dari hati dan zahirkan pada karakter yang dibawa," katanya.

Selain itu, kata Hairi, dalam Anak Wayang mereka dididik dengan disiplin ketat.

Selepas solat Subuh dan sarapan terus berlatih. Hidup mereka juga tanpa telefon bimbit dan dilarang merokok.

Hafiz pula berkata, dia gementar menghadapi peringkat akhir Anak Wayang dan perlu melalui tiga cabaran sebelum diumumkan juara.

"Ada satu cabaran itu saya kena berlakon dengan Hairi. Biasanya pada setiap minggu untuk segmen itu kami beraksi dengan pelakon jemputan.

"Saya dan Hairi susah hendak serius jadi tak tak tahulah macam mana kami hendak berlakon bersama nanti.

"Waktu belajar dulu saya ada banyak cita-cita. Macam-macam benda saya nak jadi.

"Tetapi yang nyata saya minat berlakon dan suka benar dengan tajuk program ini, Anak Wayang. Terasa satu penghormatan apabila anak seni digelar anak wayang.

"Sebelum ini saya menimba sedikit pengalaman berlakon pak pacak dalam drama Ghost musim kedua. "Kemudian apabila menggunakan khidmat ejen, dapatlah tawaran berlakon watak pembantu dalam drama Gadis Kosmo dan terbaru berlakon dalam drama legenda Puteri Aurora Beradu.

"Tugasan yang diberi untuk peringkat akhir ini lebih mencabar termasuk menghafal skrip monolog yang panjang, menjalani penggambaran video untuk watak psiko dan tugasan ketiga berlakon drama sebabak dengan Hairi. Cabaran saya sukar menjiwai watak.

"Sebab itu apabila mood sudah datang saya akan duduk sendirian tidak mahu diganggu kerana apabila ada gangguan sekelip mata mood itu akan hilang.

"Sepanjang tiga bulan di pentas Anak Wayang saya banyak belajar. Pada setiap minggu kami disuruh menjadi orang lain, jadi gangster, pembunuh dan lelaki lemah lembut," katanya.

Tambah Hafiz, jika diberi peluang dia suka beraksi di pentas teater kerana pementasan dibuat secara langsung.

"Penghayatan berlakon teater tiada gangguan, tetapi jika berlakon drama atau filem sedang asyik beraksi tiba-tiba pengarah jerit 'cut.' Bukan senang untuk menjiwa semula watak," katanya.

Meskipun Hafiz pernah ditipu bayaran, tetapi dia tidak serik meneruskan minatnya dalam bidang lakonan.

"Pengalaman tidak dibayar itu menjadikan saya lebih berhati-hati," katanya.

Juara Anak Wayang akan menerima hadiah kereta Honda Jaaz bernilai RM109,800, berlakon 60 episod drama di Astro, dua tiket penerbangan ke Los Angeles, Amerika Syarikat, satu unit kamera Canon, rawatan kecantikan di Aster Spring selama setahun, wang tunai RM10,000 dan trofi.

Naib juara mendapat televisyen KCD, wang tunai RM5,000, satu unit kamera Canon dan trofi.

Penampilan istimewa Kid


SELEPAS empat lokasi berjaya ditawan, kini Konsert Di Awan Biru Search bakal menghiburkan penghuni kota apabila dipentaskan di Polo Pavillion, Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur, esok jam 8 malam.

Tentu saja konsert itu bakal mencipta sejarah baru dalam karier seni Search yang dianggotai Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, Nasir Daud, Yazid Ahmad, Hillary, Kid dan Din kerana sebelum ini lebih senang menjadikan Stadium Merdeka sebagai lokasi untuk beraksi.

Vokalis Search, Amy berkata, dengan keluasan tapak konsert yang mampu menampung kapasiti lebih 20,000 penonton, tentunya konsert itu nanti menjadi sebuah persembahan cukup gemilang.

"Konsert Di Awan Biru Search membabitkan produksi yang sangat besar dan menuntut perancangan cukup teliti. "Berhubung pemilihan Polo Pavillion sebagai lokasi, saya melihat dengan kapasiti yang luas dapat menampung lebih ramai penonton.

"Lebih ramai penonton yang datang ditambah pula penggunaan penata bunyi yang hebat termasuk persembahan Search sendiri, konsert ini tentunya lebih memberi kepuasan bukan saja kepada kami sebagai penghibur, tetapi seluruh peminat," katanya ketika berkunjung ke Balai Berita, baru-baru ini.

Dalam kunjungan untuk mengedarkan tiket konsert, Amy turut mendapat kejutan dengan kek sempena menyambut ulang tahunnya yang ke-51 pada 28 Julai lalu.

Antara yang hadir Pengarang Metro Ahad, Sharifuddin Mohamed; Pengarang Rencana, Roslan Ibrahim; Penolong Pengarang Hiburan, Hartati Hassan Basri dan Pengarang Berita Metro Ahad, Tuan Mohd Asri Tuan Hussein serta wartawan Harian Metro dan Metro Ahad.

Amy tidak menafikan seawal perbincangan pihaknya memilih untuk melangsungkan konsert di Stadium Merdeka sebagai mengembalikan nostalgia kegemilangan mereka.

Namun, disebabkan stadium sedang mengalami pengubahsuaian akhirnya mereka mencari lokasi lain.

"Kalau boleh, kami memang mahu beraksi di Stadium Merdeka, tetapi hendak buat macam mana stadium itu sedang diubah suai.

"Justeru, tidak kira di mana lokasi sekalipun kami berharap peminat hadir beramai-ramai memeriahkan konsert ini."Kemudahan tempat letak kereta turut di sediakan dan pihak pengurusan Pusat Sains Negara membenarkan tapak mereka digunakan sebagai tempat letak kereta yang boleh memuatkan 2,000 kenderaan.


"Saya juga ingin memaklumkan tiket berharga RM58 dan RM88 masih lagi dijual dan peminat boleh membelinya di kaunter tiket yang terletak berhampiran pintu masuk konsert. Sementara tiket berharga RM150 sudah habis dijual," katanya.

Konsert dibawakan syarikat telekomunikasi terkemuka, Celcom itu dimulakan dengan lokasi pertama di Seberang Prai, Pulau Pinang pada 2 Mei, diikuti Johor Bahru, Jengka dan Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, lokasi di Kelantan, Sabah dan Sarawak terpaksa ditunda atas masalah serta sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan.

"Kami akan merencana semula jadual siri jelajah ini sebaik selesai menjayakan konsert kemuncak Sabtu ini. Mengikut perancangan, kami akan ke Sabah dan Sarawak selepas sambutan Aidilfitri.

"Di atas permintaan ramai, Search memutuskan untuk menambah satu lagi lokasi persembahan iaitu di Batu Pahat dan diharapkan ia mendapat sambutan hebat sebagaimana di Johor Bahru," katanya.

Seperkara yang menarik mengenai persembahan di Polo Pavillion, bekas gitaris Search, Kid turut beraksi buat pertama kalinya sepanjang siri konsert jelajah ini diadakan.

"Istimewa buat peminat Search, kami tampilkan kembali Kid yang akan mengiringi persembahan Search malam itu untuk sekitar enam lagu daripada tempoh dua jam persembahan," katanya.

Noor tidak lupa diri


SELEPAS 10 tahun berusaha keras menggilap bakat lakonannya, kini dia puas.

Tidak hanya terikat dengan watak air mata, berilah apa saja watak, pasti Noorkhiriah Ahmad Shapie tidak mengecewakan.

Semuanya, gara-gara minat yang mendalam pada lakonan.

Sanggup angkat kaki meninggalkan kampung halamannya di Raub, Pahang demi satu cita-cita, Noorkhiriah yang mesra dipanggil Noor mengakui bukan senang bergelar anak seni. Pelbagai onak duri terpaksa ditempuhi sebelum namanya dikenali ramai.

Mengimbau secebis kenangan lalu, pelakon berusia 33 tahun ini ternyata tidak berselindung apatah lagi berasa malu untuk bercerita.

Katanya, sebelum mula berlakon, dia pernah menjadi artis budaya di Istana Budaya (IB) selama tiga tahun bermula 1997.

"Memandangkan di IB ketika itu lebih mengutamakan tarian, jadi saya nekad berhenti kerja.

"Saya mahu cuba berlakon kerana sangat minat pada teater. Namun, sudah rezeki agaknya saya dilamar pelakon dan pengarah, Ahmad Tarmimi Siregar.

"Barangkali, beliau percaya saya boleh berlakon selepas menilai uji bakat ketika menyertai IB dulu. Saya diberi peluang membintangi drama An-Nur arahannya. "Kemudian, saya dilamar pula Bright Network Sdn Bhd berlakon dalam Neraca Kasih.

"Bergandingan di sisi Zulkifli Azahari (Ijoi), tidak sangka ia menjadi. Maklum sajalah ketika itu masih budak baru belajar.

"Malah, banyak benda di set penggambaran yang saya tahu termasuk mengenai pergerakan kamera. Mujur, Ijoi sudi membantu."Sejak itu saya mula menerima tawaran berlakon walaupun watak tambahan dan pembantu. Bahkan, saya juga tidak berkira soal bayaran.


"Berapa yang diberikan, itulah yang saya terima dengan seikhlas hati. Apa yang penting, ada kerja," katanya.

Menurut Noor, ketika di zaman kesusahannya dulu, dia banyak belajar mengenai disiplin diri.

Akui wanita yang kini mengandung lima bulan itu, hakikatnya disiplin bukan sekadar dipraktik di sekolah, tetapi sangat penting dalam perjalanan karier diceburi.

"Ditambah pula, sebagai anak seni. Tuntutan masa di lokasi penggambaran bukan saja lama, namun amat mengutamakan waktu.

"Umpamanya, jika pengarah kata penggambaran dibuat jam 8 pagi maka seawal jam 5 pagi kena ada di lokasi.

"Teringat masa tiada kereta dulu, bila ada penggambaran pagi saja, jam 4 pagi lagi saya sudah siap menunggu van produksi datang jemput di rumah.

"Masa itu, cukup atau tidak waktu tidur jangan diambil kira. Apa yang utama di kepala, kerja," katanya.

Noor juga berkata, dia perlu berusaha gigih untuk merealisasikan minatnya dalam lakonan kerana mendapat kata dua daripada ibunya, Noraini Sadan, 52.

Ketika itu, katanya, dia pernah diragut sebanyak dua kali dan ia menyebabkan ibunya risau.

"Saya pun pernah bertekad, jika diragut sekali lagi mahu terus balik ke kampung. Namun, sudah rezeki agaknya tawaran berlakon semakin bertambah.

"Jadi, nampaknya usaha saya tidak sia-sia dan Alhamdulillah sampai sekarang berlakon lagi.

"Malah, paling saya tidak sangka bila berpeluang memenangi Anugerah Artis Komedi Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), April lalu.

"Dalam hati ini, saya tidak pernah terfikir akan menang kerana saingan yang sengit.

"Lagipun, saya mengagak Kenchana Dewi yang menang. Tetapi, ternyata rezeki buat saya sudah sampai. Terima kasih kepada peminat yang menyokong selama ini. Bagaimanapun, ilmu saya dalam lakonan masih sedikit dan perlu ditimba lagi," katanya.

Kata wanita yang juga meraih anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin 2007 ini, walaupun ramai mengatakan lakonannya bagus dan berkesan, tetapi tidak bagi suami, Azfaizul Ahtan, 32, yang dianggap pengkritik tetap.

"Selepas menonton drama dilakonkan, saya mesti tanya pada suami. Katanya bolehlah, namun belum mampu menyentuh hati.

"Melihatkan reaksinya itu, saya tidak tahu hendak berlakon macam mana lagi untuk pastikan dapat sentuh hatinya.

"Bagi saya, sudah melakukan yang terbaik. Namun, saya tahu suami kagum dengan mutu lakonan ditampilkan. Cuma, mungkin dia enggan memuji di hadapan saya. Takut nanti, isterinya ini jadi lupa diri, berlagak dan sombong kerana sudah glamor.

"Apapun, Alhamdulillah hingga ke hari ini saya masih Noorkhiriah yang dulu. Di hati dan kepala saya sentiasa ingat pesan suami supaya tidak lupa diri. Maklumlah, hidup ini ibarat roda yang mana tidak selamanya berada di atas. Sampai masa di bawah juga," katanya.

Melihat lakonan mantap Noor sebagai Suria dalam drama Matahari di samping Lisdawati, jelas menunjukkan bakatnya semakin matang.

Tidak lagi hanya terikat dengan watak baik atau 'ratu' air mata, Noor sudah berani menjadi antagonis.

Watak hitamnya dalam Matahari nyata menyerlahkan lagi kehebatan lakonan wanita genit ini.

Kalau dulu, namanya hanya 'cebisan kecil' di persada seni tanah air, kini siapa tidak mengenali pelakon bertubuh kecil yang bernama Noorkhiriah.

Kata Noor, dia seronok dapat mencuba pelbagai watak. Jika drama Keranamu Saerah, dia memegang watak gadis cacat bernama Nomi, dalam telefilem Kepompong arahan Rashid Sibir pula, Noor menjadi pelacur.

Menurutnya, dia wajar mempelbagaikan watak.

"Takkan mahu peminat mengenali diri dari aspek baik saja, manakala jahat dilupakan. Hakikat sebenarnya, manusia memang ada yang baik dan jahat.

"Justeru, sebagai pelakon seharusnya saya perlu berani menyahut cabaran mencuba apa saja watak.

"Nampaknya, langkah yang saya betul kerana peminat sekarang memang sudah pandai menilai. Mereka sentiasa ingin melihat kemampuan sebenar pelakon diminati. Ditambah lagi, saingan industri hari ini sangat sengit, jadi saya perlu bertindak awal," katanya.

Air sama air menjadi satu, sampah ketepi juga...

Isu video lucah Farawahida heboh diperkatakan selepas dia buat laporan polis.

GENTASNYA segala perlakuan yang dulu dianggap menjengkelkan tetapi di akhir zaman ini sudah boleh diterima. Bila foto lucah dianggap milik peribadi dan laporan polis mempertahankan maruah pula tidak lebih dari satu hak ekslusif untuk menutup kelemahan diri.

Ketika membaca rententan detik peristiwa Farawahida-Julfekar. Amelina-Ravi, foto 'bogel' Mawi, isu londeh seluar anggota band Indonesia memprotes bom di Jakarta dan banyak lagi, terdetik di hati tua ini siapakah di antara mereka yang berkata benar dan apakah cerita di sebalik cerita.

Namun bukan hak kita untuk menghukum mereka. Yang penting semua peristiwa di depan mata cukup untuk memberi pengajaran bagi kita.

Bila usia semakin meningkat, nilai berita yang dituntut lebih dari yang dapat dibaca oleh mata kasar. Jika dapat, sub teks dan hikmah kenapa dan mengapa ingin terus dicari.

Terlintas juga.... agak-agaknya berapa banyak ketepatan fakta yang tertera di dalam artikel yang dihidangkan. Dan Kakak Tua percaya, seberani mana pun pihak media, masih ada lagi sifat keperimanusiaan untuk tidak terus mendedahkan keburukan secara keseluruhan.

Namun, lidah manusia itu senantiasa tidak bertulang justeru akan ada suara sumbang yang akan terus mempersalahkan media dan akan dilabel 'jahat' bila artikel yang dikeluarkan tidak senada dengan apa yang mereka inginkan.

Walaupun sekadar menulis untuk memberi iktibar dan pengajaran, bukan semua yang dapat menerima.

Ada saja hati yang tidak sedap mula persoalkan motif. Mencelah pula pihak bijak pandai lagi bistari, seolah dapat menyelam hati manusia dan terus membuat tafsiran nawaitu artikel tersiar. "Tentu saja ada niat jahat dan malice..." kata mereka.

Mawi juga tidak terkecuali daripada diaibkan apabila foto bogelnya dikatakan tersebar di Internet.

Kebenaran akan datang juga dan semua prasangka dan persepsi buruk pihak-pihak tertentu ini akan dipandang sepi. Sememangnya sensitiviti itu amat sukar diukur.

Apa yang dianggap sensitif oleh satu pihak, tidak pula dianggap sedemikian oleh pihak lain. Kehidupan 'bermasyarakat' menuntut kita bersabar, bertoleransi dan berkompromi.

Walaupun begitu, seandai kita ni jenis yang mudah terasa dan mudah sensitif sekalipun, salah laku dan kemungkaran tidak boleh dianggap mudah.

Dan menuduh orang yang tidak sealiran dengan puak yang berjiwa sensitif sebagai kolot dan ketinggalan zaman adalah tidak tepat.

Manusia bisa terkhilaf, kalau tidak masakan 'buah amra disangka kedondong' dan sukar sekali menyatukan orang yang berbeza pendapat tidak ubah seperti hendak kepal pasir kering sampai bila pun tidak mungkin.

Kakak Tua rasa kagum bila membaca sepotong mesej "Induk semang" di laman Twitter "Lets move on..." (maksudnya kurang lebih lupakan saja dan teruskan kehidupan). Pesanan itu ditulis oleh seorang penulis tersohor berbangsa Cina dan beragama Kristian yang terpanggil untuk mengulas tentang perselisihan pendapat tentang satu isu akhir-akhir ini.

Banyak kebenaran yang tersemat dalam pesanan itu. Walaupun datang dari orang yang bukan seagama, kemuliaan pesanan itu cukup besar ertinya bagi mereka yang mahu mendengar.

Mudahnya kita memulakan sengketa sedangkan hidup ini begitu singkat sekali. Dan bila terfikir, nyawa ini sekilas 'kelipan mata' mengapa masih mahu bersengketa dan menyemat kebencian. Tidak ada siapa yang sempurna dan tiada jiwa yang kekal.

Siapa yang benar dan siapa yang salah bukan kita yang layak menghukumnya. Dan dalam keghairahan menegakkan prinsip dan 'kebenaran' kita menghina pula pihak yang satu lagi. 'One man's meat is another man's poison'....jadi tidak perlulah sampai bermasam-masam muka, hina menghina dan saling menjatuhkan hanya sekadar satu perbezaan pendapat. Sebenarnya, perbezaan pendapat itu adalah satu hikmah. Telinga saja pura-pura mendengar tapi hati tertutup tidak guna juga.

Sikap yang ditonjolkan pula adalah cermin peribadi kita. Kalau asyik bertelingkah saja, sampai bila pun jiwa kita tidak akan aman.

Juara Gadis Melayu Aida dikritik kerana "sempoi"

ANGGUNNYA GADIS MELAYU.... Khairul Noormaidah Zali atau Aida.

SEBAGAI juara 'Gadis Melayu' musim pertama, Khairul Noormaidah Zali atau Aida dilabel sebagai si cantik manis bertudung, lemah gemalai dan kontemporari.

Tutur katanya beradab, kaya dengan adat resam orang Melayu, berperilaku mulia dan pandai membawa diri selaras dengan identiti Aida - ikon gadis Melayu.

Apabila Aida membawa personaliti yang menyimpang jauh daripada status Gadis Melayu dalam program 'Apa ke hal' terbitan TV9, kritikan pedas dihamburkan kepadanya.

Hancur luluh empunya diri .....siapa yang tahu melainkan Aida sendiri.

"Saya kena menyampuk... bila orang tanya, saya kena jawab. Jadi, sesetengah penonton tidak menerima perilaku saya sebegitu kerana mereka menganggap saya telah melanggar norma-norma kemelayuan.

AYU... Aida

"Dalam laman web, bertubi-tubi saya dikritik.. ada yang menuduh saya "sempoi" dan macam-macam lagi. Namun, saya menganggapnya sebagai pengalaman baru," kata Aida yang merupakan hos bersama Abang Syamsul Ghau Ghau, Os dan Din Beramboi dalam program 'Apa ke hal' tersebut.

Juara Gadis Melayu musim pertama itu ditemui semasa mengacarakan sesi pengenalan 12 peserta Gadis Melayu musim kedua di Hotel Istana, Kuala Lumpur, semalam.

Merasai debaran cabaran kritikan demi kritikan penonton pada peringkat awal, Aida mengakui, dia hanya dapat menyeka linangan air mata yang bercucuran.

Bagaimanapun, dia faham itu adalah sebahagian sepak terajang yang perlu dilalui dalam industri hiburan dan dia berusaha untuk memperbaiki dirinya.

Sesetengah penonton mungkin tidak memahami personaliti sebenar Aida. Berkesempatan menemuramahnya, Aida ialah seorang jelitawan yang lemah-lembut dan persis Gadis Melayu sejati.

Apa yang dilakonkan dalam program "Apa ke hal" itu tidak mencerminkan keperibadian mulia Aida. Para penonton nampaknya lebih suka Aida mengacarakan program seperti 'Wanita Hari Ini' dan 'Nyonya' yang lebih menonjolkan sifat femininnya.

"Program "Apa ke hal" jauh berbeza dengan Nasi Lemak Kopi O dan Wanita Hari Ini.... Nyonya... Saya melihatnya sebagai satu permulaan yang baik. Sekurang-kurangnya lakonan saya itu berjaya mengabui mata para penonton.

Sesi pengenalan 12 peserta 'Gadis Melayu' musim kedua di Hotel Istana, semalam.

"Kritikan-kritikan tetap ada dan saya tak boleh nak menutup mulut orang lain. Sebaliknya, saya jadikan kritikan tersebut sebagai pembakar semangat," ujar Aida yang, diam tak diam, telah menghoskan program "Apa ke hal" untuk hampir enam bulan.

Berhenti bercakap sebentar, Aida merenung kembali saat dia menerima cabaran Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Datuk Farid Ridzwan untuk memegang watak yang bercanggah dengan status Gadis Melayu.

Dia kemudiannya menggeleng-geleng kepalanya dan tersenyum sipu-sipu kerana menyedari dia telah 'dewasa'. Lebih penting ialah dia tidak menyesal kerana sahutan cabaran itu melebarkan sayap kerjayanya selepas ini.

Misalnya, Mei lalu, Aida yang berkelulusan Diploma Bahasa Arab dan Tamadun Islam dari Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Universiti Utara Malaysia diberi kepercayaan oleh TV9 untuk mengacarakan dokumentari khas Aidilfitri 'Kembara Gadis Melayu di Afrika Selatan'.

"Sebagai hos, saya sama seperti "Travelogue" yang mengupas tentang bagaimana masyarakat Melayu di seberang menyambut Hari Raya di Afrika Selatan," kata Aida yang menghabiskan masa 10 hari di situ.

Bagi peserta-peserta Gadis Melayu musim kedua, Aida menitipkan sekelumit nasihat kepada mereka untuk dijadikan bekalan mengharungi hari-hari mendatang dalam pertandingan itu.

"Gelaran itu kurang penting, apa yang lebih penting ialah ilmu dan pengalaman yang ditimba. Semua pengalaman itu akan menjadikan diri kita lebih yakin, kuat pegangan agama dan kontemporari.

"Ingatlah, kesempatan ini merupakan satu permulaan kepada usaha yang besar. Mereka harus bersedia dari segi mental dan fizikal," ujar Aida.

Mencari 'Gadis Melayu' kontemporari, lasak dan pandai sediakan masakan kampung!

12 peserta program realiti 'Gadis Melayu' bakal berentap untuk menjadi ikon gadis Melayu.

SIAPAKAH yang layak menjadi pelapis Normala Samsuddin, antara wanita Melayu tercantik? Apakah kriteria-kriteria seorang gadis Melayu?

Pencarian 'Gadis Melayu' musim kedua diteruskan untuk mencari satu dalam sejuta gadis istimewa itu.

Penerbit rancangan Gadis Melayu, Shukri Ibrahim berkata: "Pencarian calon Gadis Melayu musim kedua bukan sahaja sekadar mengetahui budaya Melayu, malah turut diuji dari segi kebijaksanaan, kreativiti, serta mempunyai pengetahuan am. Selain itu, mereka diuji dengan pelbagai aksi lasak."

Ujar beliau lagi, seiring dengan konsep baru TV9 yang 'urban', pencarian Gadis Melayu musim kedua ini mengutamakan aspek Gadis Melayu yang kontemporari, aktif, lasak serta mempunyai latar belakang pendidikan yang baik.

Tambah Shukri, Gadis Melayu sewajarnya memelihara tatasusila dan keayuan sebagai Gadis Melayu.

"Calon-calon yang telah dipilih telah dinilai dari segi kecantikan, kemahiran, personaliti dan keagamaan.," katanya.

Shukri berkata, selebriti dan pelakon turut diundang sebagai juri pada sesi uji bakat musim kedua ini.

Antara pelakon yang diundang sebagai juri Gadis Melayu 2 ialah Fauziah Nawi di lokasi Johor Bahru, Jehan Miskin (Pulau Pinang), Rusdi Ramli (Shah Alam), Zulhuzaimi dan Maizurah Hamzah (Ipoh) serta Nurfarahin Jamsari, Sharifah Syawati Syed Mohd., Datuk Mahadzir Lokman dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh (Kuala Lumpur).

PESERTA-PESERTA

Seramai 12 peserta Gadis Melayu diperlukan untuk menyahut cabaran musim kedua ini.

Mereka ialah Raja Nur Juliana (Kuala Lumpur), Norfarizan Mohamad (Banting, Selangor), Shazfinaz Hashim (Shah Alam, Selangor), Hafiza Bustanul Ariffin (Kuala Lumpur), Hazlin Hussain (Kajang, Selangor) dan Sharifah Jasmine Soraya Syed A. Jalil Jamalullail (Shah Alam, Selangor).

Lain-lain peserta termasuk Nadiah Adrianna Mohd. Akbal (Subang Jaya, Selangor), Putri Noor Nawal Haji Ramlan (Shah Alam, Selangor), Rahimah Ibrohim (Kuala Lumpur), Robeaha Ramza (Kota Bharu, Kelantan), Sri Sharinnie Rizal (Damansara, Selangor) dan Siti Nur Syafiqa Amirol Melvin (Parit Buntar, Perak).

Antara cabarannya ialah para peserta akan disediakan wang saku dan diminta untuk menyediakan masakan kampung.

Sekiranya wang tersebut tidak mencukupi, mereka haruslah pandai mencari sendiri ulam-ulaman yang hendak disediakan. Secara tidak langsung, tugasan ini akan menguji para peserta sama ada mengenali ulaman kampung atau tidak.

Rancangan realiti selama sejam ini memaparkan pelbagai aksi dan cabaran yang berbeza pada setiap minggu. Para peserta akan diuji dari aspek penampilan diri, kecantikan, kebijaksanaan, keperibadian, kebolehan berkomunikasi, asas sains rumah tangga dan seni serta budaya.

Pun begitu, karakter merupakan perkara sebenar yang dicari. Pencarian Gadis Melayu haruslah memiliki karakter diri serta bakat dan personaliti tersendiri.

IKON GADIS MELAYU

Ini penting untuk memastikan pemenang benar-benar layak untuk menjadi ikon kepada gadis Melayu serta menjadi inspirasi kepada mereka untuk mewarisi budaya dan tradisi orang Melayu.

Gadis Melayu 2 akan dikendalikan oleh pengacara wanita, Sharifah Shawati Syed Mohd yang juga perunding imej Adamaya Image Consultancy Malaysia.

Dari segi pemarkahan untuk setiap tugasan yang diberikan, 50 peratus datangnya dari undian penonton manakala 50 peratus lagi akan dinilai oleh juri tempatan yang berbeza dalam setiap episod.

Rancangan realiti Gadis Melayu ini diterbitkan oleh Shukri Hj. Ibrahim, dibantu oleh penolong penerbit, Siti Rohkhaida Abdul Khalil serta Muhamad Faizal Muhamad Jamil.

Turut sama membantu ialah wartawan Mohd. Yuzri Mohd. Noh dan Mohd. Amirul Haswendy.

Rancangan realiti Gadis Melayu musim kedua bakal bersiaran setiap hari Khamis, jam 9.30 malam bermula pada 6 Ogos, 2009 hanya di saluran 'Di Hatiku', TV9.

Sementara itu, Ketua Pengurusan Jenama, Komunikasi Korporat TV9, Noor Almy berkata, Gadis Melayu musim pertama merupakan antara program TV9 yang mencatat rating tertinggi iaitu 1.3 juta penonton.

SRI SHARINNIE RIZAL

"Gadis Melayu ialah platform ke arah bidang pengacaraan. Ia banyak membina keyakinan diri saya. Jika dipilih sebagai Gadis Melayu, saya ingin memberikan motivasi kepada kanak-kanak dan pelajar-pelajar terutamanya di luar bandar.

"Kalau boleh, saya tidak ingin mereka berada tercorot dari aspek pendidikan dan sebagainya."

PUTRI NOOR NAWAL HAJI RAMLAN

"Tiada apa-apa strategi untuk menjadi Gadis Melayu kecuali menjadi diri kita sendiri. Gadis Melayu haruslah bersemangat dan bertenaga serta kontemporari."

SHARIFAH JASMINE SORAYA SYED A. JALIL JAMALULLAIL

"Walaupun saya berdarah kacukan Melayu dan Cina, saya Gadis Melayu sejati kerana saya memahami dan mempraktikkan budaya dan adat Melayu.

Lan tubuh Azlan & The Type Writer bagi elak kontroversi?

Azlan & The Type Writer (ATTW).

TERTUBUHNYA band baru digelar Azlan & The Type Writer (ATTW) maka tercetusnya visi dan misi baru dalam hidup vokalisnya, Lan yang sebelum ini dikenali menerusi band Meet Uncle Hussain (MUH).

Seperti band-band lain, ATTW juga mengimpikan sesuatu yang lebih baik berlaku dalam bandnya nanti.

Seiring dengan pemilihan nama ATTW, Lan atau nama sebenarnya Norazlan Roslee memberitahu dia mengaitkan nama mesin taip dengan band itu.

Menurutnya, nama ATTW mempunyai maksud yang tegas kerana setiap perkara dan risiko yang berlaku dalam band itu akan ditanggung olehnya sendiri.

Sementara mesin taip pula memberi simbolik kepada muzik yang turut bertapak seiring dengan era tahun 70-an.

“Kalau boleh kami juga nak main muzik satu dunia dengan membuat lagu dalam versi bahasa Inggeris.

“Sebab apa Michael Chemical Romance boleh bawa muzik mereka ke sini (Malaysia), kerana bahasa Inggeris.

“Oleh itu, kami tidak malu untuk bertanya dan belajar antara satu sama lain dengan band-band yang ada sekarang seperti macam mana nak dapat ‘show’ dan apa prosedur untuk ke luar negara,” kata Lan yang mengenali rapat dengan band Hujan dan Pesawat.

Selain itu, Lan sudah mengatur strategi tersendiri dalam ATTW dengan membawakan genre rock alternatif serta mengekalkan perjalanan band yang bergerak secara indie.

“Kami akan menekankan dari segi susunan muzik dan lirik yang berbeza iaitu lirik lagu-lagu kami tidak terlalu berterus-terang tetapi lebih mendalam.

“Pendengar perlu menghayati bait-bait lirik itu baru faham. Kami menjadikan kumpulan BPR sebagai idola kerana kami akan menjadikan mereka sebagai contoh dan lenggok bahasa kami akan menjadi lebih kurang sama dengan mereka,” ujar Lan.

Jelas Lan, dia tidak mengharapkan lebih tetapi hanya mahukan semua peminat boleh menerima muzik ATTW termasuk band lamanya, MUH.

“Kami gunakan peluang ini untuk menolong antara satu sama lain. Ia merupakan jalan terbaik untuk saya keluar daripada MUH.

“Bukannya sebab saya tak tahan dengan kontroversi tetapi arah tujunya. Jadi, kami ingat mahu ATTW lebih fokuskan ke arah muzik dan tidak terlalu mendedahkan peribadi seperti masalah dalaman kumpulan.

“Jika ditanya tentang perkara peribadi pun, seperti saya bertunang mungkin boleh jawab itupun tengok dulu bagaimana soalannya. Saya akan cuba jawab kalau berpatutan.

“Bukan apa, saya tidak mahu membuka pekung band..,” luahnya yang menggayakan pakaian tajaan butik Astigerzzz ketika sesi fotografi itu.

Dengan perancangan yang telah diaturkan, ATTW akan tampil dengan album ‘Peta Minda’ mulai hujung tahun atau awal tahun depan.

“Kami sedang menyiapkan album penuh yang sudah siap 70 peratus dan baru menjalani proses ‘mastering’ dan ‘mixing’ dengan memuatkan 11 buah lagu.

“Antara lagu-lagu itu adalah single pertama, ‘Kelibat Si Penyair’, ‘Jiwa’ dan ‘Lipstik, Plastik, Kosmetik’ yang digubah oleh saya dan produser Lake.

“Dianggarkan kami telah menggunakan bajet sebanyak RM40,000 untuk menyiapkan album itu,” beritahu Lan yang sudah mengumpul lagu-lagu sejak bulan Mei lagi.

Selain Lan, band yang secara rasminya tertubuh pada Julai 2009 ini turut dianggotai oleh tiga orang pemuzik ‘sessionist’ iaitu Din sebagai gitaris, Pak Ku (bass) dan Jimy (drum).

Bercerita tentang bagaimana tertubuhnya ATTW, Lan berkata dia mula memikirkan idea untuk menubuhkan band itu dengan mengajak rakan-rakan yang dikenalinya sebelum dia dengan MUH lagi.

Din atau nama sebenarnya Safarudin Rusli, 28, berkata dia bagaikan tidak percaya dengan ajakan Lan yang dikenalinya sejak tahun 2000 itu sewaktu mereka sama-sama belajar di Kolej CGE dalam bidang Teknologi dan Pengurusan.

Menurut Lan, Din juga mempunyai bandnya sendiri iaitu Ferry The Bottle sebagai vokalis.

Sementara Pak Ku atau nama sebenarnya Ku Afzainizam Ku Majid, 33, akui mengenali Lan ketika di studio sejak tahun 2001.

“Kami dah biasa ‘jamming’ seperti membawakan lagu-lagu Nirvana. Saya nak tunjukkan dari mana datangnya masalah.

“Biar orang cakap apa pun selepas ini kerana semua tanggungjawab saya yang akan tanggung,” tuturnya dalam nada berkias.

ATTW dijangka akan mengadakan persembahan pertama mereka dalam sebuah sidang media untuk menerbitkan single mereka sekitar bulan Ogos ini di Hotel PJ Hilton.

Setuju Black Mentor 3 sebagai vokalis MUH

Sehingga kini, nama juara Mentor 3, Black disebut-disebut sebagai vokalis baru MUH dan apabila ditanya kepada Lan pun dia turut menyebut nama penyanyi versatil itu.

“Saya setuju jika mereka ingin mengambil Black kerana dia mempunyai vokal yang bagus dan tidak sumbang.

“Tetapi dia perlu mencari lenggok yang berbeza daripada saya dan menyanyi mengikut identiti sendiri,” ujar Lan yang pernah berjumpa dengan Black sebelum ini.

Sasar kahwin tahun ini

Selepas bertunang pada 11 Julai lalu dengan wanita berasal dari Tampoi, Johor, yang dikenali sebagai Normala, Lan berkata seboleh-bolehnya dia tidak mahu melengahkan perkahwinannya.

“Saya sasarkan untuk berkahwin pada tahun ini jika ada rezeki tetapi setelah berbincang dengan keluarga kedua belah pihak, kami memberikan tempoh dua tahun untuk mengikat tali pertunangan ini.

“Saya sangat bersedia untuk kahwin jadi sebab itu tidak mahu lengah-lengahkan masa untuk berkahwin.

“Selepas berkahwin nanti, saya tetap akan aktif dan bersikap adil untuk membahagikan masa antara dia dan muzik.

“Lagipun, muzik adalah rezeki saya..,” jelas Lan yang akan memberikan wang hantaran sebanyak RM11,111.11 kepada pengantin perempuan nanti dengan dulang hantaran tiga dari pihak lelaki berbalas lima dulang dari pihak perempuan.

Lan juga meminta maaf kepada pihak media yang tidak dijemput hadir ke majlis pertunangannya.

“Saya bukan tak nak jemput tetapi sebab majlis itu dilakukan secara sederhana dan jauh dari Kuala Lumpur iaitu di Tampoi, Johor,” ulasnya.

Yuvie & Nuno pertahan populariti di Malaysia, akui potensi 'Hujan'

LAGU Menjaga Hati sememangnya telah berjaya membuka laluan untuk band popular Indonesia, Yuvie & Nuno ini bertapak di Malaysia sekitar awal tahun lalu.

Ternyata, percaturan band yang dianggotai oleh Yovie (keyboard), Dudi Oris (vokal), Diat (gitar) dan Dikta (vokal) untuk cuba membawa muzik mereka merentas negara luar tidak sia-sia setelah melihat respon hebat yang diterima terhadap mereka daripada peminat-peminat di Malaysia.

Seiring dengan pencapaian yang diraih oleh mereka di negara ini, Yuvie & Nuno juga dilihat terus unggul di persada muzik Indonesia, walaupun industri seberang juga turut menyaksikan kemunculan begitu banyak band baru.

Terbaru, band yang berasal dari Bandung, Indonesia ini berjaya merangkul dua anugerah pada malam Anugerah Planet Muzik 2009 baru-baru ini iaitu menerusi kategori Duo/Kumpulan Terbaik dan Artis Indonesia Paling Popular.

Untuk mempertahankan gelaran 'terbaik' dan 'popular' bukanlah mudah. Bagi ketua kumpulan muzik ini, Yovie, pengiktirafan sebegitu sebenarnya adalah bonus buat band ini yang pada dasarnya lebih meletakkan keutamaan untuk memperjuangkan muzik mereka.

"Mungkin antara rahsia kejayaan kami ialah kerana band ini berbeda dengan band-band lain yang sedang berkembang. Kami sering mendengar muzik-muzik terbaru dan pada masa yang sama tidak pernah melupakan muzik yang lama.

"Anugerah-anugerah yang diterima kami anggap sebagai pembakar semangat. Apa yang pasti, pencapaian ini adalah suatu yang luar biasa. Tetapi, itu tidak bermaksud kami sudah sempurna, masih banyak lagi kekurangan yang ada pada Yuvie & Nuno.

"Malah, saban waktu, kami masih cuba memperbaiki dari segala aspek, termasuklah dari segi komposisi lagu. Apa yang pasti, kemenangan yang kami raih tidak akan membuatkan kami berubah.

"Bagi kami, apa yang penting ialah untuk cuba menghasilkan lagu-lagu yang menarik dan sebab itulah kami amat terkejut dan tidak menjangka apabila kami turut diterima di negara lain juga, terutamanya Malaysia," ujar Yovie menerusi perbualan telefon bersama media tempatan di pejabat Sony BMG Malaysia, semalam.

Menurutnya, dia dan anggota Yuvie & Nuno yang lain turut melahirkan rasa teruja kerana berpeluang mengadakan persembahan di konsert Illuminight, yang akan berlangsung pada 15 Ogos ini di Bukit Kiara Indoor Arena.

Konsert yang akan menggandingkan band ini dengan dua artis popular Indonesia iaitu Afgan dan Maliq & D'Essentials serta penyanyi jazz tempatan, Atilia itu merupakan persembahan kali pertama Yuvie & Nuno di negara ini.

"Sejujurnya, kami sangat senang dapat berkongsi pentas dengan Afgan dan Maliq & D'Essentials kerana kami memang baik antara satu sama lain. Buat masa ini, saya dan anggota lain sedang merancang persiapan khusus untuk konsert tersebut.

"Segmen kami akan berlangsung selama lebih kurang sejam dan kami akan menyampaikan antara sembilan hingga 12 buah lagu yang kebanyakannya adalah daripada album kami yang telah dipasarkan pada tahun 2007 iaitu The Special One. Akan ada juga kelainan yang akan kami cuba tampilkan nanti," tutur Yovie.

Konsert yang dianjurkan oleh Aqsara3Persada Sdn Bhd ini akan bermula sekitar pukul 7 malam dan akan dihoskan oleh pengacara popular, AC Mizal.

Diusik oleh teman media supaya tidak melakukan 'adegan' londeh seluar seperti mana yang dibuat oleh vokalis kumpulan Slank, Kaka, pada Anugerah Planet Muzik tempoh hari, sambil ketawa Yovie berkata:

"Tidak. Tapi sebenarnya, ketika kejadian itu, kami sebenarnya berada di belakang pentas. Jadi kami tidak saksikan sendiri apa yang berlaku. Namun, kami sebenarnya turut kesal dengan perkara itu."

Ditanya tentang perancangan atau projek terbaru band itu selepas ini, kata Yovie, mereka akan terlibat dengan proses penghasilan album terbaru bermula bulan Ramadan nanti.

"Kami rasa, bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk beri tumpuan pada penghasilan album baru, selain sibuk menghadiri undangan majlis berbuka puasa.

"Untuk album kali ini, ia akan dibuat 'extraordinary'. Tetapi, kami masih ingin menghasilkan lagu-lagu yang 'simple' dan mudah 'ditangkap' oleh pendengar-pendengar," ujarnya.

Yovie yang juga seorang komposer tersohor di Indonesia turut menyuarakan hasratnya untuk berkolaborasi dengan artis-artis Malaysia, jika berpeluang kelak.

"Sebelum ini, saya pernah bekerjasama dengan kumpulan Altimate dan turut menyumbangkan sebuah lagu untuk album kedua Kaer Azami berjudul Atas Nama Cinta. Kerjasama yang terjalin antara saya dan Altimate serta Kaer bermula setelah kami bertemu di Jakarta.

"Bagi saya, jika adakan kolaborasi dengan kedua-dua negara, sekaligus karier kita boleh turut berkembang di dua negara ini. Bahasa kita juga hampir sama, jadi tidak ada masalah untuk lagu-lagu tersebut popular di kedua-dua negara," kata Yovie.

Tambahnya lagi, ketika ini, ramai juga artis Malaysia yang sudah mula mencipta nama di Indonesia, yang mana Yovie merasakan, ini adalah satu tanda yang positif untuk perkembangan hiburan serantau.

"Sewaktu di Anugerah Planet Muzik baru-baru ini, saya sempat melihat persembahan Hujan dan saya akui, kumpulan itu ada potensi untuk terus berkembang dengan baik di Indonesia," katanya.

Yatt, Aidid ingin ulangi fenomena Aznil, Rina Khan

BUKAN mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos program popular, apatah lagi jika program itu sebelum ini pernah mendapat sambutan yang cukup hebat daripada penonton-penonton.

Begitu juga yang dirasai oleh dua hos baru rancangan berbentuk 'game show', Pop Kuiz iaitu Aidid Marcelo dan Yatt, yang akui perlu berdepan cabaran tersendiri apatah lagi program ini pernah mencetuskan 'fenomena' ketika dihoskan oleh Aznil Nawawi dan Rina Khan sekitar tahun 90an dulu.

"Bagi saya, setiap kerja yang saya lakukan memang akan ada cabarannya. Apatah lagi Pop Kuiz yang memang merupakan sebuah program yang cukup 'meletop' satu masa dulu.

"Peluang seperti ini ingin saya gunakan sebaik mungkin untuk buktikan bahawa saya juga layak bergelar pengacara Pop Kuiz. Mungkin kami tidak sehebat pengacara lama, tetapi dapat berada sebaris dengan mereka sudah dikira cukup baik.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan padu penerbit dan seluruh produksi ini. Malah, belum pun habis siaran musim pertama, saya dan Aidid terus ditawarkan untuk mengendalikan Pop Kuiz musim kedua yang sedang dalam proses rakaman," kata Yatt yang ditemui pada sidang media program itu, semalam.

Kata pengacara dan pelakon yang kini sedang hamil tiga bulan itu, dia juga tidak kisah andai kata ada pihak yang merasakan pembabitannya sebagai hos di dalam program ini membuatkan namanya lebih menonjol berbanding pengacaraannya dalam program-program lain.

"Ini adalah rezeki. Saya tidak berharap apa-apa pun. Malah, sebelum dipilih sebagai hos Pop Kuiz, saya perlu juga menghadiri sesi ujibakat.

"Tetapi apapun, saya seronok menjadi hos program ini. Memang tidak susah pun, malah saya dan Aidid tidak rasa tertekan langsung," kata Yatt yang juga mengacarakan program Joran dan Nasi Lemak Kopi O.

Aidid juga mempunyai pandangan yang sama terhadap program ini yang amat popular satu ketika dulu. Tuturnya, nama Pop Kuiz sememangnya cukup besar dan lantaran itu, hos program baru juga perlu memastikan kehebatan Pop Kuiz akan berterusan.

"Pop Kuiz pun sudah agak lama tidak keluar, jadi seluruh produksi perlu meletakkan usaha yang berganda kerana penonton juga berubah dan mereka ada banyak pilihan lain, tidak seperti dulu," katanya.

Menurut Aidid lagi, dia tidak kekok mengendalikan program hiburan seperti ini, walaupun sebelum ini sering mengendalikan program yang agak 'heavy' seperti Majalah Tiga.

Kata Aidid yang mula melonjak namanya menerusi program Remaja ini, dia sebenarnya memang amat menyukai program yang bercorak hiburan dan 'lifestyle' yang lebih santai.

"Chopp adalah program yang membawa saya ke dalam bidang hiburan. Bermula dari situ, 'bos' saya memberikan lampu hijau untuk saya terus kendalikan program hiburan.

"Apapun, sama seperti program-program lain yang saya hoskan sebelum ini, saya sentiasa mengambil pendekatan supaya menjadi diri sendiri. Sama juga seperti yang saya lakukan dalam Pop Kuiz," kata suami kepada personaliti popular Norzie Pak Wan Chik ini.

Tampil dengan hampir 60 peratus perubahan dalam program untuk musim ini, Pop Kuiz 2009 telah pun mula bersiaran di TV3 pada 19 Julai lalu, setiap Ahad. Menariknya, episod pertama Pop Kuiz musim ini mendapat rating awal yang cukup baik iaitu mencecah 900,000 penonton.

Pop Kuiz kali ini turut memecah tradisi kerana buat julung kalinya memperkenalkan tiga peringkat dalam program ini iaitu peringkat awal, separuh akhir dan peringkat akhir.

Bagi peringkat pusingan awal, terdapat tiga segmen yang perlu dilalui oleh peserta iaitu Cepat Jawab, Action...Cut! dan Star Pop. Cepat Jawab menguji sejauh mana pengetahuan peserta dalam bidang hiburan tempatan dan luar negara.

Segmen Action...Cut! akan menyaksikan peserta dicabar untuk menggunakan kreativiti masing-masing secara spontan dalam melakonkan satu watak dari filem atau drama dengan situasi yang berbeza mengikut arahan daripada seorang juri tetap yang digelarkan Tuan Pengarah.

Markah juga berdasarkan penilaian Tuan Pengarah tersebut. Bagi musim pertama, Khir Rahman telah diundang sebagai juri manakala untuk musim kedua yang sedang menjalani proses rakaman, aktor Harun Salim Bachik pula bertindak selaku juri untuk pusingan awal dan Khir Rahman akan kembali mengambil tugas itu untuk peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.

Bagi segmen Pop Star, seorang penyanyi tanah air akan diundang untuk menyanyikan dua buah lagu pilihan penyanyi itu sendiri. Sebaik saja lagu habis dinyanyikan, lima soalan akan dibuka berkenaan lagu tersebut. Antara penyanyi yang diundang ialah Aizat, Ezlynn, Nurul, Lan Meet Uncle Hussein dan Mus May.

Peserta yang berjaya mengumpul markah tertinggi secara keseluruhan akan berentap di pusingan separuh akhir. Pada peringkat ini, segmen bertajuk Adlib iaitu berdialog dalam skrip spontan diwujudkan.

Setiap pemenang di peringkat separuh akhir akan mara ke peringkat akhir. Peserta yang berjaya di peringkat akhir akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Barisan produksi yang menjayakan Pop Kuiz ini ialah Hanif Kassim sebagai penerbit penyelaras, Intan Suraya sebagai penerbit, Zaidy Salim selaku penolong penerbit dan Mohd Nor Fikri Mohd Taib sebagai pembantu penerbitan.

Josh Brolin tidak selesa mengucup Megan Fox dalam filem baru

Aktor Josh Brolin mempromosikan filemnya 'Jonah Hex' di Konvensyen Antarabangsa Comic-Con yang diadakan di San Diego.

PELAKON Hollywood Josh Brolin mengatakan adegan seksnya dengan Megan Fox dalam filem barunya 'Jonah Hex' bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan kerana dia terpaksa mengucup pelakon jelita itu dengan besi dilekatkatkan di bahagian sebelah mukanya.

Aktor itu menghabiskan masa tiga jam di dalam bilik solekan untuk dilekatkan prostetik (besi palsu) di mukanya.

Aktres Megan Fox bergambar disebelah poster filem barunya 'Jonah Hex'.

Dalam filem itu Josh Brolin memegang watak jahat 'Jonah Hex' yang diadaptasi daripada sebuah komik yang berkisar tentang perang saudara di AS.

"Tidak dapat saya gambarkan bagaimana untuk mengucup Megan dengan benda itu terlekat pada muka saya, secara jujur saya memang tidak selesa dengan adegan itu," kata Josh

Bukan Brad Pitt yang jadi tumpuan sebaliknya Diane Kruger

Pelakon German Diane Kruger bergambar ketika menghadiri tayangan perdana filem barunya 'Inglourious Basterds' di Berlin.

BRAD Pitt menghadiri tayangan perdana filemnya yang baru di Germany kerana tidak mahu ketinggalan mengikutnya apabila beliau sebelum ini tidak dapat hadir di London kerana menjaga anak-anaknya.

Bagaimanapun, penampilan 'seksi kaki' Pelakon Diane Kruger lah yang mencuri perhatian semua yang hadir untuk melihat tayangan perdana filem 'Inglourious Basterds' itu.

Model German bertukar pelakon itu memakai pakaian Herve Leger yang dibuat oleh pereka fesyen terkenal Max Azaria.

Diane Kruger memberikan autograf kepada peminatnya.

Pakaianya itu menyerlahkan lagi bentuk badanya yang langsing ditambah lagi dengan kakinya yang panjang.

Turut menjadi tumpuan ialah stail rambut Diane yang baru berikutan gaya rambutnya minggu lepas di London dikatakan 'membosankan'

Pengarah filem itu Quentin Tarantino memuji Diane yang memegang watak utama dalam filem itu dan menambah dia senang bekerja bersama denganya

"Diane tahu apa yang perlu dilakukanya dalam filem itu, peluang bekerja bersamanya merupakan sesuatu yang istimewa," kata Quentin.

Brad Pitt melambai kepada peminatnya di Berlin.

Filem itu diadaptasi daripada filem perang Itali tahun 1978 'The Inglorious Bastards' yang berkisarkan tentang seorang askar Amerika berbangsa Yahudi yang dihantar ke Perancis untuk membunuh tentera Nazi.

Watak yang dilakonkan Brad Pitt sebagai Aldo the Apache yang berjaya memenangi anugerah aktor terbaik di festivel filem Cannes pada bulan Mei.

Iron Man 3' akan ditayangkan pada 2012

Pengarah Jon Favareu ketika berucap mengenai filem barunya 'Iron Man 2' di Konvensyen Antarabangsa Comic-Con yang diadakan di San Diego.

PENGARAH Jon Favreau mengesahkan sekuel ketiga filem 'Iron Man' akan diterbitkan pada tahun 2012.

Jon Favreau yang mengarahkan filem 'Iron Man' yang pertama kini sedang dalam proses menyiapkan filem 'Iron Man 2' bagaimanapun beliau enggan memberitahu bila pengambaran untuk sekuel filem yang ketiga itu akan dimulakan.

"Filem 'Iron Man 3' itu sudah pasti, tapi tarikh sebenar ia ditayangkan saya pun belum tahu lagi, apa yang boleh saya katakan ia akan siap pengambaran sama dengan filem 'The Avengers' yang turut sama ditayangkan pada tahun 2012 nanti.

Watak Iron Man yang diadaptasi dari komik Marvel. Filem ini merupakan yang pertama dihasilkan oleh Marvel sendiri.

"Sama ada ia akan ditayangkan sebelum atau selepas 'The Avengers' itu pun saya tidak pasti, mengikut rancangan awal 'Iron Man 3' akan ditayangkan terlebih dahulu," kata Jon.

Filem 'The Avengers' akan menampilkan karektor Iron Man (Robert Downey Jr.), the Incredible Hulk (Edward Norton), Nick Fury (Samuel L. Jackson) dan watak-watak lain dalam komik Marvel yang akan bergabung dalam satu pengambaran yang penuh aksi.

Jon Favreau dilaporkan akan menjadi eksekutif produser untuk filem 'The Avengers' tetapi beliau mengatakan bahawa belum lagi mendatangani apa-apa kontrak mengenai perkara itu.

Paris Hilton beri amaran kepada gadis muda, jangan terlibat dengan video seks

Paris Hilton meninggalkan Mahkamah Persekutuan di Miami. Paris dituduh gagal mempromosikan filemnya 'Pledge This!' pada tahun 2006.

SOSIALIT dan aktress, Paris Hilton memberikan nasihat kepada gadis muda supaya tidak tunduk kepada kemahuan teman lelaki mereka yang mahu membuat video seks.

Paris berjanji akan menghentikan gadis muda daripada mengikuti jejaknya apabila video seksnya dengan kekasih beliau sebelum ini, Rick Salomon dijual di pasaran pada tahun 2003.

"Saya tidak mahu gadis-gadis muda sekarang berada dalam situasi yang pernah saya alami," kata model itu.

"Saya terkejut dan malu dengan apa yang berlaku, ia bukan salah saya, saya diaibkan oleh orang yang saya percaya...tapi saya belajar daripada kesilapan.

"Ia merupakan pengalaman yang pahit dan menganggu saya setiap hari," kata Paris lagi.

Pewaris rangkain hotel yang berusia 28 tahun itu dilaporkan menerima bahagian daripada keuntungan hasil jualan DVD yang bertajuk 'One Night in Paris' itu.

Noniswara nikah malam ini

Dramatis jelita, Noniswara Baharuddin, 39, bakal mengakhiri zaman ‘jandanya’ dengan buah hatinya, yang juga merupakan Pengerusi U Mobile, Datuk Rosman Ridzwan, 50. Majlis pernikahan mereka akan berlangsung di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, selepas solat Isyak, malam ini.

Nonis memberitahu, majlis pernikahannya itu akan berlangsung secara ringkas dan sederhana serta hanya dihadiri ahli keluarga terdekat kedua belah pihak sahaja. Dia yang sudah lama hidup menjanda mengakui rasa agak berdebar untuk menempuh alam perkahwinan sekali lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah menyiarkan pengakuan Nonis tentang hubungan cinta dengan pasangannya yang ketika itu digelar sebagai Datuk R. Menurut Nonis, dia sudah mengenali Datuk R sejak tahun 2007 lagi. Pertemuan secara tidak sengaja atas urusan perniagaan keluarga di Kota London ketika itu membuahkan rasa cinta di hati mereka.

Tambah Nonis, dia bukannya terpikat atas harta dan kekayaan tetapi keikhlasan hati Datuk R menerima dirinya seadanya. Sikap Datuk R yang begitu penyayang dan mesra dengan tiga anaknya, Naveer Nishon 14 tahun, Nur Erysha Emyra 9 tahun dan Nazeer Danish setahun setengah, membuatkan dia tidak teragak-agak untuk menerima lamarannya.

“Dia seorang yang sangat ‘caring’ dan memahami karier saya sebagai pelakon. Saya juga kagum dengan sikapnya yang kuat bekerja, dan sentiasa bertanggungjawab,” kata Nonis yang majlis resepsinya berlangsung keesokan harinya, 1 Ogos pada jam 8 malam di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur.

Amy mahu hasilkan album ketuhanan

Kelmarin Kumpulan Karangkraf menerima kunjungan daripada 'otai rock', Amy Search sempena mempromosikan siri jelajah Konsert Penghargaan Search di Awan Biru yang ditaja khas oleh Celcom Sabtu ini di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara, Kuala Lumpur jam 8.30 malam.

Kunjungan Amy disambut mesra Pengarah Eksekutif Kumpulan Karangkraf, Firdaus Datuk Hussamuddin serta karyawan Kumpulan Karangkraf.

Ketika ditemui, Amy mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Kumpulan Karangkraf kerana telah banyak membantu beliau memberikan publisiti sepanjang penglibatannya dalam bidang seni selama tempoh 28 tahun.

“Sebagai sebuah band lama, wartawan-wartawan di Kumpulan Karangkraf telah banyak membantu Search untuk menghadapi liku-liku bergelar anak seni sepanjang 28 tahun melibatkan diri dalam bidang ini,” kata Amy.

“Konsert ini adalah penghargaan buat peminat Search yang banyak memberi sokongan kepada kami. Merekalah yang membantu kami untuk menjadi Search seperti hari ini,” jelas Amy sambil menyatakan bidang seni adalah sesuatu yang indah.

Menurut Amy ,setelah berakhir konsert pada Sabtu ini, Search dijangka membuat persembahan di Manchester, Ireland dan Dublin.

Amy juga menyatakan hasratnya untuk menghasilkan album solo berkonsep ketuhanan dan juga berharap suatu hari nanti beliau akan menubuhkan sebuah yayasan kebajikan untuk anak-anak yatim.

Amy turut berkongsi berita gembira bahawa dia bakal menimang cahaya mata lelaki sebelum sambutan Aidilfitri akan datang.

Jamal Abdillah kongsi suka duka

Tinggal beberapa hari sahaja lagi, konsert Jamal Kembara Seniman akan dipersembahkan di Istana Budaya. Konsert yang menampilkan persembahan istimewa dari penyanyi yang bersuara emas, Jamal Abdilah atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali ini dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan dari segenap lapisan masyarakat.

Bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya Jamal Kembara Seniman mempunyai cerita dan kisah di sebalik perjuangan Jamal sepanjang 30 tahun sebagai anak seni. Bermula dari lahir, zaman remaja, kenangan menyanyi di Pasar Minggu Teluk Anson (Teluk Intan), penyertaan dan menjuarai pertandingan Bintang RTM (1979), sehinggalah zaman kegemilangannya bergelar penyanyi.

Sepanjang tempoh tiga dekad dalam industri seni, penyanyi, pelakon dan komposer kelahiran Ipoh Perak ini juga tidak terkecuali daripada meniti babak duka dalam kehidupannya. Dengan menganggapnya sebagai pengalaman berharga yang mematangkan lagi dirinya, kata Jamal, episod-episod hitam itu akan turut dikongsi dengan penonton pada persembahannya itu nanti. Turut dipaparkan, konflik bersama Datuk Ahmad Nawab yang sedikit masa dulu pernah menjadi perhatian pihak media dan juga orang ramai.

“Konsert ini bukan sahaja memaparkan kisah kegemilangan saya sebagai penyanyi, tetapi juga turut memuatkan kisah sedih dan konflik yang pernah saya hadapi. Saya nak kongsi dengan penonton bagaimana saya ‘survive’ dan teruskan kehidupan ketika dalam keadaan tertekan. Di mata masyarakat, saya popular dan dipuja setiap masa, tapi hakikat di sebalik diri saya yang sebenar, jiwa saya kosong dan sepi.

“Saya anggap pengalaman hitam itu sebagai satu proses kehidupan yang telah memberikan pengajaran yang bermakna untuk saya teruskan kehidupan. Dan saya fikir, kenapa tidak saya buat kebaikan untuk diri sendiri. Kalau diikutkan, sudah lama saya jutawan, tapi saya tak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku dalam kehidupan saya sebelum ini. Setelah lama tersungkur, apa yang saya capai sekarang, ‘kesedaran dan kewarasan’ inilah kekayaan saya yang sebenar,” kata Jamal yang ditemui ketika majlis sidang media konsertnya itu di Istana Budaya baru-baru ini.

Ditanya tentang segmen paling istimewa dalam persembahannya itu nanti, Jamal berkata, memori di Pasar Teluk Anson (Teluk Intan) dan juga perjalanannya ketika menyertai dan menjuarai Bintang RTM adalah yang paling indah untuk dikongsi. Beliau yang pada mulanya pemuda biasa yang sering menyanyi di bawah pokok, tidak menyangka akhirnya menjadi pujaan ramai setelah menjuarai Bintang RTM ‘79.



Tanggungjawab bertambah

Mengulas tentang konsertnya yang bakal menjelang pada 5 hingga 9 Ogos itu, Jamal memberitahu, sehingga kini team produksi miliknya, Bintang Chanell dan pihak Istana Budaya masih giat melakukan kerja-kerja akhir untuk memastikan persembahannya selama lima malam itu berjalan dengan lancar. Beliau yang kini terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai

pengarah persembahan, setelah penarikan diri pelakon dan pengarah, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, tidak menganggapnya sebagai satu beban untuk menjayakan konsertnya itu.

“Setelah penarikan Ogy, saya membuat keputusan untuk memikul tanggungjawab itu (pengarah persembahan) sendiri kerana hanya saya yang lebih faham tentang diri saya, dan apa yang bakal dipersembahkan itu nanti juga adalah kisah tentang saya. Insya-Allah, setakat ini tak ada masalah. Dengan adanya khidmat dari Zainal Abidin Bujang yang merangkap sebagai pengarah persembahan dan pengarah tari, saya harapkan konsert ini akan berjalan lancar,” kata Jamal yang ada memberitahu penarikan Ogy disebabkan komitmen lain.

Selain Jamal sebagai artis utama, Jamal Kembara Seniman turut menampilkan pemenang Bintang RTM 2009, Nur Ernie, (johan) Jo-Anna Sue (naib johan) dan Nur Fatin (tempat ketiga) sebagai artis undangan. Mengulas tentang pemilihan mereka, kata Jamal, memandangkan dia juga berasal dari Bintang RTM, maka dia berbesar hati untuk bekerjasama dengan RTM, di samping memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi baru itu untuk menonjolkan bakat mereka.

“Kalau boleh saya nak panggil ramai artis, tapi budget kurang. Lagipun orang datang untuk tengok saya," kata Jamal.

Enggan jaja soal cinta...Nurul




Nurul Wahab lebih selesa menyimpan kisah peribadi, bagaimanapun mengakui sedang berkawan dengan seseorang

BIAR bertubi diasak soalan mengenai lelaki yang menghuni sudut hatinya ketika ini, penyanyi dan pelakon hitam manis, Nurul Wahab hanya memberikan senyuman sebagai jawapan.

Tidak seperti kebiasaan dirinya yang jarang berahsia terutama menyentuh soal peribadi, Nurul yang ditemui pada majlis pelancaran EP solo terbarunya, Tika Cinta mengambil pendekatan berbeza.

Anak kelahiran Pulau Pinang berusia 32 tahun ini enggan lagi berbicara telus mengenai soal lelaki. Cukup sekadar mengakui dia sedang berkawan dengan seseorang, selebihnya Nurul selesa menyimpan kisah itu menjadi hak peribadinya.

“Siapa yang tahu, tahulah kerana saya belum bersedia mendedahkan identiti lelaki itu,” jawabnya ringkas, sesekali diselubungi perasaan serba salah untuk menjelaskan kedudukan dirinya.

Menyifatkan hubungan itu masih di peringkat berkawan, Nurul bimbang pendedahan meluas media membentangkan duri kepada percintaannya.



Tegas Nurul lagi, dia banyak belajar daripada kesilapan lalu. Akur peranan media yang hanya menjalankan kerja mereka, namun Nurul berharap kisah percintaannya tidak terlalu digembar-gemburkan.

Malah, wanita yang popular dengan lagu Kerna Terluka itu memohon dirinya diberikan sedikit ruang untuk melalui fasal awal perhubungan mereka dengan aman.

Nurul bagaimanapun menerima hakikat lumrah hidup selebriti apatah lagi dengan status ibu tunggal yang digalasnya sejak tiga tahun lalu, setiap pergerakannya menjadi intaian media.

Tetapi kata Nurul, dia juga berhak menyimpan sedikit daripada bahagian hidupnya sebagai rahsia peribadi yang hanya akan dikongsi apabila tiba masanya nanti.

“Cukup apa yang saya alami dulu. Pendedahan meluas di media memberi kesan kepada perhubungan cinta saya. Terlalu banyak onak yang perlu diharungi apabila kisah percintaan saya menjadi perhatian khalayak.

“Ia memaksa saya menarik diri dan menerima hakikat antara kami memang tiada jodoh. Memang pahit namun saya akur menelan semua kepahitan itu biarpun jauh di sudut hati, saya sangat terluka,” kata Nurul.

Menyambung bicaranya, ibu kepada Ayu Nazirah itu berkata, dia tidak mempunyai ramai kenalan lelaki. Malah akui Nurul, tidak ramai lelaki yang berani mendekatinya.

“Dia antara yang berani melamar untuk mengisi kekosongan hati saya. Kami hanya mencuba kerana sebagai wanita, saya tidak pernah menutup pintu hati untuk menerima kehadiran lelaki dalam hidup ini,” katanya.

Semakin yakin menyusun langkah bersendirian, Nurul tertawa besar apabila penampilannya dengan pakaian tidak berlengan ditafsir sebagai menterjemah erti kebebasan yang dinikmatinya ketika ini.

Kata Nurul, dia mengamalkan toleransi dalam soal berpakaian. Dalam keterbukaan menerima aliran fesyen terkini dia masih menggariskan batas tertentu supaya penampilannya itu menjadi topik perdebatan.

Bagi Nurul, penampilan seksi seperti itu hanya dipraktikkan untuk sesi fotografi tetapi tidak ketika menjayakan persembahan pentas.

“Setakat pakaian tidak berlengan rasanya tiada masalah kerana saya masih menutup sebahagian bahu dengan rambut yang panjang. Rasanya apa yang saya gayakan ini tidak keterlaluan.

“Setiap apa juga tindakan saya akan berfikir baik buruknya. Saya tidak hidup bersendirian di dunia ini. Sebaliknya saya mempunyai anak yang semakin membesar dan mengerti apa yang diperkatakan umum mengenai ibunya.

“Asalkan penampilan saya tidak mengganggu emosi dan perasaan anak saya, rasanya tiada apa perlu dipertikaikan. Lagipun saya sentiasa berbincang dengan teman sepasukan.

“Sudah tiga tahun kami bersama dan komunikasi yang lancar memudahkan kami untuk menentukan imej bersesuaian untuk diri saya sebagai artis solo,” katanya.

Melerai kerinduan dengan Tika Cinta

PERNAH beberapa kali tertangguh, Nurul kini mampu menarik nafas lega album ketujuh yang mengangkat Tika Cinta sebagai judul akhirnya menemui peminat Julai ini.

Album yang memberi makna besar kepadanya, sekali gus memberikan nafas baru dalam menjenamakan semula dirinya sebagai penyanyi solo selepas memilih arah sendiri apabila perkahwinan sedekad dengan komposer dan penyanyi, Ajai berakhir, tiga tahun lalu.

Kental dengan irama pop sebagai landasan, album terbitan Metadome Sdn Bhd memuatkan enam lagu baru dan empat daripadanya ciptaan Sharon Paul.

Nurul berkata, dia berpuas hati dengan pembikinan album yang turut memuatkan lagu Tangis Syukur sebagai bonus kerana setiap sentuhan mencerminkan jiwa yang tersendiri.

Menariknya kata Nurul, buat pertama kali dia menyerahkan 100 peratus urusan pemilihan lagu kepada syarikat rakamannya kerana percaya mereka tahu apa terbaik untuk dirinya.

“Selama tiga tahun saya bekerja keras untuk menjadikan kelahiran Tika Cinta sebagai realiti dan sangat berharap peminat dapat menerima apa yang dibawakan ini,” katanya.

Nurul berkata, pembikinan mini album itu juga membawanya lari daripada kebiasaan lagu melankolik yang sinonim dengan lirik yang menceritakan lara hati.

Katanya, kekecewaan, kelukaan dan perpisahan adalah antara bahagian kehidupan yang memperkayakan khazanah hidup.

Justeru, Nurul enggan hidupnya terus dibelenggu kesedihan lantas Tika Cinta menterjemahkan keinginannya untuk mengecap sebuah kebahagiaan yang dicari.

“Saya mahu menikmati hidup ini dan menghargai setiap episod itu dengan tenang, tanpa sesal dan kesal,” kata penyanyi yang turut melayari bakat sebagai pelakon ini.

Erra makin ligat

Erra Fazira sekarang makin banyak aktiviti selepas kembali aktif daripada cuti berpantang melahirkan anak sulung. Selepas, satu datang satu lagi. Inilah masa untuk dia membuktikan namanya masih hangat.

Erra mula muncul dalam Gugu Gaga Erra bersama puterinya, Engku Aleesya dan suami sebaik sahaja selepas bersalin.

Kini Erra menjadi pengacara pula. Erra pernah jadi pengacara program kecantikan dan fesyen sebelum ini.

Kali ini Erra menjadi pengacara program bual bicara Anjung Seri. Pastinya program berkonsep rumah tangga yang memperkatakan pasal hiasan rumah.

Nampaknya Erra cuba lari daripada program yang berkonsep hiburan.

Seseorang artis tidak semestinya hanya tahu pasal dunia mereka sahaja, ada juga yang mempunyai pengetahuan dalam bidang lain khususnya yang mereka minati.

Erra juga seoarang selebriti yang mempunyai taste tersendiri dalam hiasan rumah, jadi sesuailah dengan program bual bicara Anjung Seri.

Siapa paling banyak susut?

Pengacara becok Sarimah Ibrahim dipilih menjadi pengacara program realiti membabitkan peserta negara-negara Asia yang dinamakan The Biggest Loser Asia. Makin laris nampak selepas menjanda ni.

Sarimah akan bersama-sama 30 peserta bersaiz besar yang akan berjuang menurunkan berat badan sekali gus membawa pulang US$100,000 (RM350,000) sebagai hadiah. Peserta yang paling banyak susut akan menang.

Program itu diterbitkan oleh syarikat Malaysia, Imagine OmniMedia dan akan ditayangkan di Astro, saluran Hallmark (Channel 702) bermula hujung November ini.

"Inilah show yang benar-benar memaparkan apa itu reality show," kata Sarimah pasal program yang dibawa daripada program dari Amerika itu.

Presiden Imagine OmniMedia yang juga penerbit eksekutif The Biggest Loser Asia, Riaz Mehta berkata, uji bakat untuk mencari peserta Malaysia akan diadakan pada 1 Ogos ini di pusat gimnasium Fitness First The Curve, Damansara Mutiara mulai pukul 10 pagi higga 4.00 petang.

Peserta mestilah berumur antara 18 tahun hingga 55 tahun dan boleh bertutur Bahasa Inggeris dengan baik. Selain menang, peserta juga pastinya boleh memiliki kehidupan yang lebih baik dan tahap kesihatan yang meningkat.

Pencarian Bintang LUMIX Panasonic

Pencarian telah bermula untuk mencari seseorang dengan personality ceria dan ‘cool’ juga mempunyai bakat dan paras rupa untuk mewakili imej Panasonic LUMIX.
Sebagai peneraju inovatif teknologi dalam jenama kamera, Panasonic LUMIX sedang mencari Bintang Lumix yang PERTAMA di Malaysia untuk menjadi ‘wajah’ jenama tersebut.
Pencarian Bintang LUMIX Panasonic 2009 dianjurkan bersama Pertunjukan Kamera Digital, Imej dN Media (DCIM Show).

“Kami sangat teruja untuk melancarkan kempen ini – Pencarian Bintang LUMIX Panasonic 2009. Melalui pencarian ini, peserta-peserta akan diberi peluang untuk menunjuk bakat mereka dan berpeluang untuk menjadi ‘wajah’ kepada jenama LUMIX!” kata Jeff Lee, Pengarah Eksekutif Panasonic Malaysia.

Tambah Lee: “Kami juga berbangga untuk mengumumkan kelab LUMIX Panasonic 2009 di Facebook (www.facebook.com/mylumixclub). Kami berharap dengan menggunakan platform rangkaian social ‘online’ , lebih ramai yang akan menyertai pelbagai aktiviti dan pertandingan yang telah kami rancang disamping member kesedaran tentang kapabiliti LUMIX dlama fotografi digital”

Pencarian ini menawarkan hadiah bernilai lebih dari RM 100,000.00, kontrak selama satu tahun bersama Panasonic LUMIX dan sesi fotografi untuk menghiasi wajah depan majalah T3 – majalah gajet popular di Malaysia.

Kepada para peserta yang ingin menyertai pertanfingan ini, kempen pemilihan bermula dari 29 Julai sehingga 16 Ogos 2009. Hanya 20 finalis yang akan dipilih pada 26 Ogos 2009.
Pengundian secara ‘online’ di Kelab Lumix (www.facebook.com/mylumixclub) akan bermula pada 12 sehingga 22 September 2009 untuk memilih 12 finalis.

Pencarian Bintang LUMIX Panasonic 2009 peringkat akhir (Grand Final) dijadualkan berlangsung pada 2 Oktober 2009 di Pusat Pameran Mid Valley.
Pertandingan ini dimeriahkan dengan hadiah-hadiah yang boleh dimenangi orang ramai dan para jurugambar.

Sempena dengan Pencarian Bintang LUMIX Panasonic, pertandingan fotografi akan diadakan dan Kamera Lensa mudah ditukar Digital GH1 yang akan menjadi hadiah utama untuk pertandingan Gambar Terbaik LUMIX.

Pertandingan ini dibuka kepada orang awam – mereka hanya perlu berada di Grand Final di Pusat Pameran Mid Valley, dapatkan tempat yang menarik untuk merakam dengan menghadirkan diri lebih awal, rakam dan hantarkan gambar terbaik finalis Bintang LUMIX dan berpeluang untuk menang.

Untuk syarat-syarat pertandingan dan butiran tentang Pencarian Bintang LUMIX, layari www.lumixstar.com.my , atau www.panasonic.com.my/lumixstar.
Penganjur bersama dan penaja utama untuk Pencarian Bintang LUMIX Panasonic 2009 adalah: Penganjur bersama dengan Pertunjukan DCIM (DCIM Show) ; Dandanan rambut dan Solekan oleh Taisu; Couture oleh Beatrice Looi; Fotografi dan Studio oleh Velocity Studios.

Jee di sisi Shidi




ADA kening yang berkerut-kerut dan ada juga yang menyembunyikan rasa lucu apabila Shidi hendak memulakan aksinya di pentas latihan Muzikal Tun Abdul Razak, lebih tiga minggu lalu.

Namun bagi suami kepada wanita yang pernah bergelar Pelakon Filem Wanita Terbaik itu, reaksi begitu bukanlah satu tindakan yang menimbulkan rasa marah kepada Shidi. Bahkan, dia sebaliknya tumpang ketawa mengenangkan itulah pengalaman pertama di pentas teater.

"Seronok sebenarnya tengok mereka menunjukkan reaksi begitu. Itu di pentas latihan, di rumah pula, saya ada pengkritik nombor satu, isteri saya Vee (Vanidah Imran) akan buat muka penyek bila saya mula buka mulut untuk baca skrip.

"Paling pedas, dia kata saya tak cukup emosi, suruh saya buat aksi yang besar-besar. Tapi Alhamdulillah, dia banyak bagi panduan kepada saya dan saya sendiri sangat bersyukur dianugerahkan seorang isteri yang otai bila cakap bab lakonan pentas," jelas Shidi yang menggalas watak sebagai Tun Razak menerusi teater arahan Datuk Rahim Razali itu.

Kali pertama di pentas teater, bagaimanapun tidak sukar untuk pelakon ini membiasakan dirinya dengan suasana sebuah pementasan lantaran sering menemani dan menghantar isterinya, Vee menjalani latihan teater.

"Sekarang baru saya rasa dan nikmati sendiri apa yang menjadi kegilaan Vee setiap kali terlibat dengan teater," kata Shidi mengakui dirinya sebagai peminat teater dan lakonan pentas.


JEE dan Shidi pertama kali bergandingan di pentas Istana Budaya.


Bakal menonjolkan aksinya di Panggung Sari, Istana Budaya pada 16 hingga 20 Ogos, latihan untuk pementasan muzikal itu sebenarnya sudah bermula hampir dua bulan lalu bertempat di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).

"Sampai ke tahap ini, saya sudah mula nampak struktur cerita dan siapa Tun Razak. Sebenarnya, saya bukan jenis yang pedulikan siapa dan apa peristiwa penting dalam sejarah pembangunan negara. Saya ambil tahu pasal sejarah pun masa di bangku sekolah sebab kena lulus peperiksaan.

"Semata-mata kerana teater inilah, saya mula membuat rujukan, beli buku tentang Tun Razak dan berulang kali menonton video-video ucapan sebenar Tun Razak semasa hayatnya.

"Itu bagusnya berlakon teater ini, setidak-tidaknya saya boleh bercerita tentang sejarah kepada anak-anak saya kelak," ujar Shidi yang bersetuju berlakon muzikal berkenaan kerana tiada alasan untuk menolak tawaran yang datang dari mulut Rahim Razali sendiri.

Orang kata, peluang keemasan tidak datang berkali-kali. Sekitar tahun 1999 dulu, Shidi pernah menolak tawaran untuk berlakon teater Keris Sang Puteri arahan Rahim Razali. Siapa sangka selepas berbelas tahun, tawaran daripada nama besar itu datang semula dan tanpa berfikir panjang, Shidi terus menerima tawaran menjayakan Muzikal Tun Abdul Razak tanpa berfikir panjang.

"Sampai bila saya harus menolak tawaran teater. Selain Keris Sang Puteri, saya juga pernah tolak tawaran berlakon teater Siti Zubaidah, Putera dan terakhir adalah Mahsuri.

"Faktor sebenar keengganan saya berlakon teater sebab saya tidak berani dan takut tersilap cakap. Saya ada cacat sikit, lidah pendek. Bila terlalu berhati-hati, saya akan cakap terbalik-balik. Sebab kedua, komitmen masa yang panjang. Selalunya, tawaran teater untuk saya akan bertembung dengan jadual isteri saya yang kebetulan sudah menerima tawaran yang besar. Jadi, saya harus beri laluan kepada isteri saya," kata bapa kepada sepasang cahaya mata itu optimis.


RASHIDI ISHAK


Memuja rakan sepasukannya Fauziah Latiff atau Jee yang melakonkan watak Tun Rahah, isteri kepada Tun Razak, Shidi bertuah memandangkan tuntutan muzikal berkenaan, dia banyak mendapat tunjuk-ajar daripada Jee, seorang penyanyi yang hebat di matanya.




"Setiap kali masa berlatih vokal untuk nyanyian, mulut Jee akan ternganga-nganga dan tangannya akan terangkat-angkat. Saya bukan seorang penyanyi walaupun orang kenal saya sebagai ahli kumpulan Dead Mushroom, saya pemain gitar sahaja tapi saya yang paling popular, jadi orang ingat saya boleh menyanyi.

Sebenarnya tidak, nasib baiklah melodi nyanyian saya untuk muzikal ini bercorak nyanyian berkarakter, tidaklah sukar sangat," katanya yang masih hilang punca kenapa dipilih oleh Rahim Razali selaku Tun Razak.

Dalam seloroh, bisiknya: "Mungkin Datuk nampak karakter saya ada sedikit kesesuaian untuk watak berkenaan."

Selain latihan, skrip serta tunjuk ajar daripada sang pengarah yang dikagumi ramai itu, Shidi cuba mendekatkan dirinya dengan rakan-rakan seperjuangan Tun Razak bagi mendapatkan gambaran sebenar.

"Saya ada berjumpa dengan Tan Sri Michael Chen dan kami berbual hampir sejam bercakap tentang keperibadian Tun Razak. Perjumpaan dengan keluarga Tun Razak pula masih diuruskan oleh pihak ASWARA," katanya ketika ditemui pada sidang media Muzikal Tun Abdul Razak di Istana Budaya, baru-baru ini.

Jika Shidi takut terbelit lidah di atas pentas, Jee pula berdepan sedikit kerisauan memandangkan kali ini bukan sahaja melakonkan watak sebenar bahkan tokoh bekas wanita pertama itu masih lagi bernafas dan berkemungkinan besar akan menjadi tetamu khas menjelang malam pementasan kelak.

Watak Tun Rahah yang digalasnya bukanlah watak besar menerusi Muzikal Tun Abdul Razak, biarpun begitu, watak itu dilihat sangat bermakna dan memberikan impak terhadap keseluruhan perjalanan cerita.

"Berbanding watak Rubiah, imaginasi sendiri saya terhadap perlakuan dan perwatakan Tun Rahah akan sedikit terbatas kerana itu watak realistik, bukan mitos atau ciptaan penulis liri.

"Jadi, saya bergantung kepada apa yang dibekalkan menerusi skrip dan kehendak pengarah saya yang cool. Baru-baru ini, saya dibawa bertemu dengan Tun Rahah, dia wanita yang tinggi nilai pekertinya, sikap lemah-lembut dan keibuan miliknya sangat menyerlah.

"Dia sangat manis, banyak tersenyum dan bila saya cakap dalam muzikal berkenaan Tun Rahah akan menyanyi, dia ketawa sahaja, katanya 'mana ada Tun Rahah menyanyi', kemudian ketawa lagi," jelas Jee dalam nada ceria.

Di wajah Jee sendiri, sudah terbayang pekerti dan personaliti yang bakal direalisasikannya sebagai Tun Rahah, isteri bekas ketua negara dan bapa kepada pemimpin negara nombor satu ketika ini, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Itulah yang membuatkan saya berdebar-debar, saya lakonkan watak orang yang masih hidup dan watak ibu kepada lelaki pertama di Malaysia.

"Tapi watak saya tidak besar, saya hanya membawakan watak seorang isteri dan lebih kepada penghayatan jalan cerita. Jadi saya hanya perlu menghayati watak seorang isteri dengan baik kerana penceritaan teater berkenaan memfokuskan kepada Tun Razak," katanya yang sedang mengumpulkan sepenuh perhatian bagi menjayakan watak Toh Puan Rahah Mohd. Noah.

Sedia dikritik dan ditegur, Jee menganggap dirinya tidak lebih daripada seorang pelajar, sama seperti pelajar-pelajar ASWARA yang turut sama terlibat menerusi teater berkenaan.

Akui Jee juga, dunia lakonan sebenarnya masih asing buatnya walaupun penglibatannya menerusi teater Rubiah, drama Kudrat Iman dan Gelora Di Hati Sara sebelum ini tidak menghampakan penonton.

"Pengalaman berlakon bersama Rosyam dan Datuk sebenarnya banyak membantu. Dari situ saya dapat bina kekuatan untuk berlakon di pentas yang saya anggap lebih besar menerusi muzikal ini. Tapi sampai sekarang, malu masih lagi menjadi masalah saya.

"Soal penat, saya tiada hak untuk mengalah atau mengada-ngada sebab semua yang terlibat dengan teater ini penat," katanya yang terpaksa menolak beberapa tawaran lakonan demi Muzikal Tun Abdul Razak.


FAUZIAH LATIFF


Kongsi ibu tunggal kepada dua cahaya mata ini, hatinya terpanggil untuk kembali beraksi di pentas teater kerana ingin berkongsi dan belajar ilmu lakonan bersama pelajar ASWARA apatah lagi, teater itu ditunjangi oleh pengarah dan pelakon yang sangat diseganinya, Rahim Razali.

Dalam bidang nyanyian pula, penyanyi yang popular dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu itu tidak pernah terfikir mahu meninggalkan dunia seni suara. Biarpun begitu, akui Jee, rezekinya dalam dunia lakonan sedang menampakkan hasil sejak akhir-akhir ini.

Selepas projek teater selesai, Oktober nanti, Jee akan turun ke lokasi penggambaran drama dan sekali lagi akan berkolaborasi dengan Rosyam dan Rahim Razali dalam siri Gelora Di Hati Sara musim kedua.

"Nyanyian mungkin satu perkara yang tidak sukar lagi buat saya, tapi lakonan, ia satu bidang yang baru dan cabarannya pula sangat berbeza. Ketika ini, saya mula faham tentang istilah yang sering dilaungkan dilokasi," katanya yang masih tidak menolak peluang jika dijemput menyerikan apa sahaja majlis nyanyian.