KERAP kali menonton karektor yang dilakonkan oleh Watie Sadali di televisyen pastinya kelihatan gedik dan suka membuli.
Misalnya watak itu terkesan menerusi beberapa buah drama lakonannya seperti 'Rahsia Hati', 'Gelora Di Hati Sara' dan terbaru 'Sanggar Cinta Raudhah'.
Menurut Watie, ikutkan dia bukanlah seorang yang gedik seperti digambarkan dalam drama-drama tersebut. Jadi, tidak mustahil dia sanggup belajar untuk menggedik misalnya disebabkan mahu betul-betul menjiwai watak seorang yang gedik itu.
"Saya bukan perempuan gedik. Jadi saya banyak tonton filem yang memaparkan wanita gedik seperti filem 'Confessions of A Shopaholic' yang menampilkan watak utama Rebecca lakonan Isla Fisher.
Saya cuba belajar cara-cara untuk menggedik kerana gedik bukan diri saya dalam dunia realiti. Jadi, saya tak nafikan yang ada juga peminat tidak sabar untuk menunggu cerita-cerita lakonan saya kerana faktor gedik dan suka membuli itu.
"Misalnya, ada peminat yang membuat teka-teki di FaceBook mengenai apa yang akan dilakukan oleh watak lakonan saya, Tengku Marina selepas ini," kata Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 33.
Sekarang, ibu kepada Ahmad Afif Danial, 5, ini sedang menjalani penggambaran drama 'Gelora Di Hati Sara 2' terbitan syarikat produksi aktor dan produser Rosyam Nor, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.
Watie akui kebanyakan drama lakonannya seperti 'Iris', 'Rahsia Hati', 'Rozana', Gelora Di Hati Sara'dan 'Sanggar Cinta Raudhah' merupakan terbitan Suhan.
Namun, dia juga pernah menjalinkan kerjasama dengan beberapa produser lain seperti menerusi drama 'Jodoh Oh Jodoh' dan 'Spa Q 2'.
"Saya mengaku ramai pengarah lain termasuk Rosyam Nor yang banyak membantu menaikkan nama saya. Jadi, sebab itu saya berlakon di bawah pelbagai produser dan pengarah. Tetapi saya rasa orang lain silap jika mengatakan saya banyak berlakon
drama dengan Suhan dalam setahun kerana diikutkan hanya dua buah drama," ulasnya.
Semasa majlis pratonton dua buah drama terbitan Suhan iaitu 'Sanggar Cinta Raudhah' dan 'R & R', Rosyam ada memuji Watie dan menjangkakan yang wanita ini bakal bergelar heroin terkenal dalam tempoh dua tahun lagi.
"Saya rasa seronok dengan kata-kata Rosyam. Saya rasa tanggungjawab saya semkain besar apabila dapat berlakon dengan pelakon hebat. Jadi, saya masih 'menggali-gali' kerana belum cukup ilmu. Saya anggap tempat penggambaran seperti sekolah," katanya yang mula aktif berlakon sejak muncul menerusi drama 'Haryati 1 dan 2' pada tiga tahun lalu.
Sejak dari itu, rezekinya dalam bidang lakonan tidak pernah putus. Malah, walaupun namanya semakin dikenali ramai, Watie tetap merendah diri dan akui masih 'takut' bergandingan dengan nama-nama besar dalam industri lakonan tempatan.
Namun Watie tidak pernah melupakan jasa Rosyam walaupun hakikat dirinya selalu diherdik oleh pelakon popular itu apabila tidak melakukan seperti yang diinginkan.
"Orang tak kenal dia jadi orang tak tahu dia seorang yang bagaimana. Dia menjadikan saya seorang yang pandai berlakon dan lebih berhati-hati dalam lakonan," beritahunya yang sudah lima tahun menjanda.
Baru putus cinta
Selepas baru putus cinta, Watie berkata dia akan lebih menumpukan kepada karier lakonan dan anak lelakinya, Afif yang berusia lima tahun.
Namun begitu, Watie mengaku yang dia masih berkawan baik dengan bekas teman lelakinya itu.
"Insya-Allah, saya juga akan membuka perniagaan kedai makan yang menghidangkan makanan Melayu," tuturnya sebelum mengakhiri perbualan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: