
Malah sejujurnya, sepanjang menonton filem ini, penulis dapat rasakan ketakutannya kerana setiap saat mahupun setiap adegan yang dipaparkan sarat dengan unsur-unsur seram yang pastinya membuatkan penonton tidak senang duduk. Sudah diklasifikasikan sebagai filem di bawah kategori 18PL, maka Santau juga tidak digalakkan ditonton oleh pesakit jantung mahupun ibu-ibu mengandung.
Santau mengisahkan tentang sepasang suami isteri, Halim (Esma Daniel) dan Nina bersama anak perempuan mereka Ecah yang hidup dalam keadaan selesa di sebuah perkampungan. Namun kejayaan Halim dan kebahagiaan mereka sekeluarga rupanya tidak disenangi oleh individu lain. Selepas didatangi jiran baru, Man (Zul Handy Black) dan Arfah (Lisdawati), anak dan isterinya sering diganggu perkara-perkara mistik.
Lebih menghairankan kejadian itu berlaku ketika Halim tidak berada di rumah. Disebabkan terlalu sibuk dengan kerjanya, Halim meminta jiran baiknya, Usin (Riedzman Khuzaimi) dan Lyana (Michelle Melodi) untuk memerhatikan isteri dan anaknya. Bagaimanapun, hari demi hari, isterinya semakin berkelakuan aneh. Dia yang tidak percayakan kepada perkara mistik itu, akhirnya menyaksikan sendiri isterinya dirasuk.
Setelah membawa isterinya berjumpa dengan bidan, dia diberitahu yang isterinya telah disantau dan dinasihatkan agar mendapatkan rawatan dengan orang yang benar-benar mahir dalam bidang itu. Akhirnya, ia telah membongkar satu rahsia yang amat mengejutkan Halim sekeluarga.
Bagi pengarahnya, Azhari Zain atau lebih dikenali sebagai Zack, bukan mudah untuk menghasilkan filem seram, apatah lagi dirinya sendiri tidak mempunyai keberanian untuk berdepan dengan perkara-perkara mistik. Namun atas dorongan penerbit, David Teo, dia akhirnya nekad untuk mengarah filem seram itu. Malah bersyukur dengan kerjasama yang diberikan oleh para pelakon serta seluruh team produksi akhirnya memudahkannya untuk menyiapkan naskhah Santau ke layar perak.
“Santau merupakan kisah benar yang pernah berlaku ke atas seorang kaki tangan MIG. Semasa berkongsi cerita ini, saya sendiri pun rasa seram dan kebetulan pula masa itu, suasananya pun juga seram.
“Saya sudah cuba yang sebaik mungkin untuk memberikan gambaran sebenar filem ini dengan menghidangkan pelbagai elemen seram dan juga menjijikkan. Saya harap filem ini akan menjadi satu fenomena dan dapat diterima masyarakat,” katanya yang ditemui seusai pratonton filem tersebut di e@Curve, Damansara, baru-baru ini.
Jelas Zack lagi, Santau bukan sekadar filem seram semata-mata, tetapi juga satu kritikan terhadap segelintir orang Melayu yang masih mengamalkan ilmu hitam untuk menjatuhkan seseorang. Dengan adanya filem sebegini, Zack berharap agar ia dapat membuka mata serta menyedarkan golongan itu agar tidak terus terpesong.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: