| PERNAH menimba pengalaman sebagai pelakon dan pengacara, selebriti Khairulizam Abdul Rahman atau nama komersial, Khir Rahman masih bersemangat mengembang karier seninya. |
Mungkin ada yang tidak perasan, minatnya pada bidang seni diwarisi daripada ibu bapanya, Datuk A Rahman Hassan dan Datin Azizah Mohamad yang popular menerusi kugiran Orkes Nirwana pada pertengahan 60-an. Bagaimanapun, Khir lebih cenderung pada bidang lakonan terutama teater berbanding nyanyian.
Merujuk pada lakonan, Khir lebih banyak menerima tawaran sebagai pelakon pembantu. Sebelum ini, dia pernah terbabit menjayakan beberapa filem antaranya Puteri Gunung Ledang (2004), Potret Mistik, Pontianak Harum Sundal Malam 2 dan Rock (2005), Gubra (2006), Cuci serta Los Dan Faun (2008).
Namun, dalam filem Rock arahan Mamat Khalid, Khir mula diberi kepercayaan membawakan watak utama sebagai penyanyi rock iaitu Jijo Alfonso Pareira Abdullah di samping pelakon berpengalaman lain seperti Que Haidar, Hasnul Rahmat dan Shoffi Jikan.
Katanya, dia tidak kisah mencipta nama menerusi watak sampingan sebaliknya sentiasa berusaha memberikan lakonan terbaik yang meninggalkan kesan pada penonton.
Perkembangan terbaru, Khir, 36, kini sibuk di lokasi penggambaran filem ... Dalam Botol yang diterbitkan Raja Azmi Raja Sulaiman. Berbeza dengan penampilan sebelum ini, Khir mendapat peluang besar apabila ditawarkan mengarah filem ini.
Kata Khir, dia tidak terlalu berfikir lama untuk menyatakan persetujuan pada tawaran yang diberikan kerana merasakan mengarah filem adalah impiannya.
"Pada saya, filem adalah suatu karya yang bernilai tinggi, susah untuk dibuat tetapi menyeronokkan. Ketika mula membaca skrip filem ini, saya terus tertarik dan bersetuju menggalas tanggungjawab besar ini.
"Saya melihat filem ini mempunyai 'bahan' yang bagus cuma bagaimana mahu dipersembahkan dengan menarik, ia perlu difikirkan. Malah saya sendiri berpandangan niat Raja Azmi untuk menerbitkan filem ini tidak salah dan dia juga cuba sampaikan filem yang positif pada penonton," katanya.
Khir yang pernah mengarah beberapa filem pendek seperti Selekoh dua tahun lalu mengakui faktor pengetahuan dan pengalaman dalam lakonan sebelum ini banyak membantu dirinya agar menjadi pengarah berjaya.
| |
"Saya berharap penonton tidak terlalu awal menghukum filem ini gagal kerana kisah kontroversi yang ingin ditampilkan. Namun, saya terbuka untuk terima kritikan penonton apabila filem ini ditayangkan nanti," katanya.
Filem ini dibintangi Diana Danielle bersama dua bakat baru, Azharudin Ramli (Arja Lee) dan Saiful Redzuan Abu Bakar (Wan Raja) yang tampil melakonkan watak utama. Ini adalah filem sulung Khir dan peluang ini juga diterima selepas pengarah asal, tarik diri.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: