Friday, December 11, 2009

Saman bekas tunang RM1j


MOHAMAD FAHIZAL


SHAH ALAM - Seorang pengarah urusan sebuah syarikat menuntut ganti rugi hampir RM1 juta terhadap bekas tunangnya, seorang pegawai bank di Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam kerana memutuskan ikatan pertunangan yang baru berusia empat bulan.

Mohamad Fahizul Khairi, 53, selaku plaintif memohon mahkamah mengeluarkan perintah agar defendan, Nor Daliya Mohd. Daud, 34, membayar ganti rugi kewangan sebanyak RM871,186.57 dan ganti rugi aib sebanyak RM100,000.

Mereka bertunang pada 6 Disember 2007 tetapi ikatan itu berakhir pada 21 April 2008 sebelum tarikh perkahwinan sempat ditetapkan.

Prosiding semalam menetapkan keputusan terhadap bantahan awal defendan berhubung permohonan tuntutan ganti rugi tersebut yang ditangguhkan 1 Februari depan.

Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain yang menetapkan tarikh itu turut memerintahkan agar pihak plaintif memasukkan hujahan balas sebelum 31 Disember ini.

Dalam tuntutan tersebut, kerugian yang didakwa dihadapi Mohamad Fahizul melibatkan beberapa pembelian harta yang dibeli atas nama defendan.

Kesemua pembiayaan itu didakwa dibuat atas keyakinan plaintif dan defendan akan menjadi suami isteri.

Mohamad Fahizul mendakwa keputusan Nor Daliya memutuskan pertunangan memberi aib kepadanya untuk berhadapan dengan ahli keluarga serta rakan-rakannya.

Malah, dia mendakwa sanggup menceraikan isterinya yang dikenali sebagai Siti Zabiha pada 7 April 2008 atas desakan Nor Daliya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: