Wednesday, December 2, 2009

Reka bentuk jadi punca runtuh


ALIMUDDIN



KERATAN Kosmo! 28 Oktober.


KUALA LUMPUR - Tragedi jambatan runtuh berhampiran Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Selatan, Perak pada 26 Oktober lalu dipercayai berpunca daripada pembinaan yang tidak berasaskan reka bentuk kejuruteraan dan spesifikasi yang baik.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, jawatankuasa siasatan mendapati jambatan gantung itu runtuh disebabkan kegagalan blok konkrit tambatan di 'Pylon A' yang tidak berupaya menampung 'uplift force' yang meningkat daripada 'back-stayed cable'.

"Pihak kontraktor juga tidak membuat permohonan bagi mendapatkan kelulusan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Parit dan Saliran sebelum pembinaan dilakukan.

"Berdasarkan perkiraan Jabatan Kerja Raya, beban maksimum yang mampu ditanggung jambatan itu oleh blok tambatan sedia ada hanyalah 0.08 kN/m atau anggaran lapan orang jika setiap murid memiliki beban sebanyak 35 kilogram," katanya pada satu kenyataan di sini semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Siasatan memberitahu, jambatan gantung itu dibina hasil sumbangan pihak swasta selepas permohonan sumbangan terhadap pembinaannya dikemukakan oleh seorang pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

"Pihak swasta itu kemudiannya melantik kontraktor bagi melaksanakan projek," katanya.

Katanya, kementerian akan mendapatkan pandangan daripada Kementerian Kerja Raya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan polis dalam menentukan tindakan yang wajar ke atas pihak-pihak yang terlibat.

Alimuddin berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam selepas selesai acara 'ice-breaking' di tapak perkhemahan.

"Guru bertugas melepaskan murid-murid mengikut kumpulan menaiki jambatan gantung untuk minum malam di Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang di seberang sungai.

"Kumpulan itu dianggarkan di antara 14 dan 17 orang tetapi sebilangan murid yang terlebih dahulu melintas telah berpatah balik ke tapak perkhemahan untuk mengambil bekas minuman.

"Pertembungan ini menyebabkan pertambahan beban di atas jambatan lalu runtuh," ujarnya.

Katanya, disebabkan air sungai deras dan paras air tinggi kerana hujan lebat, jambatan menjadi senget menyebabkan sebilangan murid yang berpaut pada kabel jambatan terlepas pegangan dan dihanyutkan arus.

"Beberapa individu termasuk Kem Komandan, jurulatih, urusetia, guru pengiring, pengawal keselamatan dan pekerja penyedia makanan terjun ke sungai menyelamatkan mangsa," katanya.

Dalam kejadian itu, tiga murid, N. Dina Deve, 11; M. Devatharshini, 11, dan V. Divyashree, 12, mati lemas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: