Tuesday, December 1, 2009

Raja Bhumibol batal ucapan keputeraan




BANGKOK - Pemerintah Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej (gambar) dijadual muncul di khalayak umum Sabtu ini sempena hari keputeraan baginda yang ke-82, kata beberapa pegawai istana.

Namun, pegawai-pegawai berkenaan memberitahu, ucapan kepada rakyat yang biasa dilakukan pada malam menjelang sambutan hari keputeraan itu telah dibatalkan.

Seorang pegawai Pejabat Keluarga Diraja berkata, Raja Bhumibol tersebut akan berjumpa dengan kalangan keluarga diraja, menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan dan beberapa ahli politik di Dewan Takhta Diraja Amarin Winijchai di Istana Besar.

"Pastinya, baginda akan membuat kemunculan pada majlis tahunan penting ini," kata pegawai berkenaan.

Raja Bhumibol iaitu raja paling lama bertakhta di dunia, dimasukkan ke hospital sejak 19 September lalu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam pasaran-pasaran saham serantau.

Ia berikutan baginda merupakan individu yang menyatupadukan rakyat dalam sebuah negara ketika rakyatnya berpecah akibat polemik politik yang berpanjangan.

Ketidaktentuan berhubung keadaan kesihatan baginda menyebabkan pasaran saham tempatan dan mata wang baht menjunam pada 14 dan 15 Oktober namun kembali pulih setelah pihak istana mengesahkan Raja Bhumibol semakin sembuh.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: