LONDON - Satu panel Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan menyiasat dakwaan bahawa saintis-saintis Britain memanipulasi data bagi menyokong pandangan perubahan cuaca.
Ketua Panel Antara Kerajaan Berhubung Perubahan Cuaca PBB, Rajendra Pachauri menyatakan dakwaan itu dianggap serius dan perlu disiasat.
Skandal memalsukan data itu menyebabkan Ketua Unit Penyelidikan Cuaca di Universiti East Anglia, Profesor Phil Jones meletakkan jawatan.
Tindakan Jones itu dibuat selepas tersebarnya sejumlah e-mel di Internet berhubung skandal memalsukan data perubahan cuaca.
Beberapa penggodam menggodam unit penyelidikan universiti itu dan menyiarkan ribuan e-mel di Internet mengenai penyelidikan iklim termasuk daripada profesor itu.
Pendedahan itu dibuat sebelum sidang mengenai perubahan iklim berlangsung di Copenhagen, Denmark pada Isnin ini.
Unit Penyelidikan Cuaca di Universiti East Anglia di Norwich, Britain merupakan pemimpin dalam bidang kajian perubahan iklim.
Pachauri memberitahu radio Stesen Perbadanan British (BBC): "Pastinya, kami akan meneliti dan kemudian mengambil satu pendirian mengenainya.
"Kami pastinya tidak akan menyapu sebarang benda di bawah karpet. Ini merupakan isu yang serius dan kami akan menelitinya dengan terperinci."
Dalam satu e-mel yang digodam oleh penggodam itu, Jones menyatakan terdapat satu muslihat untuk menyembunyikan penurunan suhu dunia.
Perbalahan berhubung isu itu turut berlaku di Kongres Amerika Syarikat (AS).
Beberapa anggota yang ragu-ragu dengan isu perubahan iklim itu mahu menghalang pelaksanaan undang-undang mengenai cuaca.
|
|
Pemimpin kumpulan yang dikenali sebagai pihak yang meragui klimatologi, James Sensenbrenner dari Parti Republikan berkata, jika e-mel itu tulen, ia sesuatu yang membimbangkan kerana ia melibatkan persoalan sains mengenai perubahan iklim.
Menurut kebanyakan anggota Parti Republikan, suhu global kemungkinan panas disebabkan fenomena semulajadi.
Mereka berhujah, kos penguat kuasa untuk menangani kesan pengeluaran gas hijau akan menjadi tinggi.
Semasa perbalahan mengenai isu e-mel itu memuncak, seorang pegawai kerajaan Arab Saudi menyatakan kes tersebut akan memberi kesan besar pada sidang kemuncak mengenai iklim di Copenhagen, Denmark pada 7 hingga 18 Disember ini.
Persidangan itu bertujuan untuk mencari perjanjian baru bagi menggantikan Protol Kyoto yang akan berkahir pada 2012.
"Ia kelihatan seperti tidak ada kaitan antara aktiviti manusia dengan perubahan cuaca," kata perunding ketua iklim dari Arab Saudi, Mohammad Al-Sabban kepada BBC.
"Iklim berubah sejak ribuan tahun lalu kerana fenomena semulajadi dan bukannya sebab-sebab manusia," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: