Demi memperoleh kehidupan dan pendapatan yang lebih baik, Ahmad dan isterinya sanggup meninggalkan keluarga di kampung halaman untuk berdepan dengan cabaran hidup di Malaysia.
EMPAT tahun lalu, Ahmad Solihin, 36, dari Jawa Timur, Indonesia tekad untuk merantau ke Kuala Lumpur.
Berbekalkan sedikit wang perbelanjaan, harapannya ke Malaysia adalah untuk mendapatkan pekerjaan.
Nasib menyelebelahi Ahmad kerana sejurus tiba di Kuala Lumpur dia ditawarkan bekerja sebagai tukang cat. Kebetulan, Ahmad mempunyai ramai kenalan di Malaysia, jadi tidak sukar baginya mendapatkan pekerjaan.
"Kawan ramai di sini, jadi tempat tinggal tidak jadi masalah. Mereka juga yang mempelawa saya untuk mencari nafkah di Kuala Lumpur.
"Selepas empat bulan berfikir, akhirnya saya nekad untuk terima ajakan itu," katanya ketika ditemui di Pasar Seni baru-baru ini.
Menceritakan kehidupannya ketika berada di tanah air sendiri, Ahmad menghela nafas panjang sambil mengukir senyuman. Lantas dia memberitahu, dulu dia hanya mempunyai basikal buruk.
Namun, kini dia berbangga kerana sudah mampu memiliki motosikal yang dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri. Itulah antara perubahan ketara hidupnya apabila dia mula bekerja di Malaysia.
"Saya bekerja ketika umur belasan tahun lagi. Tetapi, untuk beli kenderaan masih lagi tidak mampu. Sehinggalah saya datang ke Kuala Lumpur barulah saya boleh menikmati sedikit kemewahan," ungkapnya.
Kehidupan Ahmad ketika di kampung nya bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Satu pekerjaan sahaja tidak cukup untuk membantu mendapat pendapatan bulanan yang mencecah ratusan ringgit.
Kegiatan hariannya bermula selepas menunaikan solat Subuh dan bersarapan serba ringkas bersama kedua-dua orang tuanya.
Tepat pukul 6 pagi, dia sudah bersedia untuk membanting tulang mengerjakan tanaman jagung di kebun yang hanya terletak di belakang rumah.
Meskipun dia tidak perlu makan gaji dengan orang lain kerana kebun itu milik orang tuanya, Ahmad tidak pernah sesekali menganggap hasil tanaman jagung mampu mendapat pulangan lumayan.
"Tanaman sebegini bergantung kepada musim jadi saya tidak boleh mengharap sepenuhnya terhadap kebun itu. Kadang-kadang jagung tidak berbuah kerana serangan serangga dan sebagainya," jelasnya.
|
|
Bagi mendapat sepenuhnya pulangan tanaman itu, Ahmad mengambil keputusan untuk menjual sendiri buah tersebut di pasar yang letak kira-kira 500 meter dari kebun.
Anak kedua daripada tiga beradik itu terpaksa menarik kereta sorong yang diisi jagung ke pasar. Titisan peluh setiap hari amat bermakna bagi Ahmad meskipun kadangkala jagung itu tidak habis dijual.
Berada di kebun selama lapan jam, Ahmad akan bergegas ke pasar pada waktu petang. Sekitar pukul 5 petang dia akan pulang ke rumah. Rutin hariannya tidak berhenti di situ sahaja, malah dia akan mempersiapkan diri untuk menunaikan tugasan seterusnya.
Boleh dikatakan Ahmad cukup bernasib baik kerana ibu bapanya tidak pernah sesekali mengabaikan pelajarannya walaupun mereka menjalani kehidupan yang serba ringkas.
Pendidikan yang diterimanya melayakkan Ahmad menjadi guru agama di Madrasah Tarbiyahtus Sibiah, Madura, Indonesia.
"Inilah tugasan saya pada sebelah petang sehingga malam. Mengajar di sana tidak sama dengan di Malaysia kerana saya cuma mendapat upah RM15 sebulan.
"Tapi disebabkan tiada pilihan lain dan ini sahaja kebolehan yang ada, saya perlu melakukannya juga," katanya yang kehilangan bapa sejak enam tahun lalu akibat sakit tua.
Belajar berjimat
Mula mendirikan rumah tangga ketika berusia 24 tahun, ini bermakna Ahmad sudah lama memikul tanggungjawab besar.
Sentiasa berusaha melakukan perbelanjaan sebaik mungkin, Ahmad sejak kecil lagi sudah terbiasa dengan corak hidup sebegitu. Meskipun hanya berpendapatan rendah, dia sekeluarga tidak pernah sesekali berlapar dan dahaga.
Cara untuk menjimatkan perbelanjaan harian, keperluan dapur keluarganya bergantung kepada sumber laut berhampiran rumahnya dan hasil bercucuk tanam. Sikap jimat cermat itu terbawa-bawa sehingga dia berada di Malaysia.
Ahmad dan isterinya yang bekerja di butik pakaian di Damansara mempunyai azam sebelum meninggalkan Kuala Lumpur.
"Pendapatan bulanan saya dan isteri kira-kira RM1,600 jadi memang kami perlu berjimat kerana sebahagian duit itu perlu digunakan untuk bayar sewa rumah dan hantar ke kampung.
"Untuk pulang ke kampung terus itu belum tahu bila tetapi kami tidak akan pulang selagi duit yang dikumpul tidak benar-benar mencukupi. Sekurang-kurangnya kami dapat membaiki sepenuhnya rumah yang dulunya agak daif," ceritanya.
Dia berpendapat peluang pekerjaan di Malaysia memang banyak dan mudah. Ia jauh berbeza dengan Indonesia dalam beberapa aspek iaitu setiap individu yang ingin mendapatkan pekerjaan perlu membayar yuran terlebih dahulu kepada agensi.
Yuran tersebut sekurang-kurangnya sebanyak RM300. Lebih teruk lagi, sekiranya agensi tersebut masih tidak dapat mencari pekerjaan, yuran yang dikenakan itu tidak dapat diambil semula.
"Saya tidak pernah menggunakan khidmat agensi di sana kerana macam mana mahu bayar, jumlah itu terlalu tinggi. Sebab itulah ramai penduduk di sana lebih berminat bekerja sendiri atau merantau ke negara orang," katanya yang akan pulang bercuti setahun sekali.
Malah Ahmad dan isterinya juga tertarik dengan sistem pendidikan di Malaysia.
Sementara itu, lain pula dengan kisah seorang pekerja asing dari Filipina, Lourdes Cato yang mula mencari nafkah di negara ini sejak empat tahun lalu. Terpaksa meninggalkan suami dan empat orang permata hatinya, wanita itu dianggap cukup bernasib baik.
Dia bukan saja bekerja sebagai pembantu rumah sebaliknya majikannya turut mengambil berat berhubung keluarga di kampung. Dia memilih untuk bekerja di Malaysia apabila suaminya enggan bekerja untuk membesarkan anak-anak mereka.
"Ketika itu hanya saya mencari rezeki dengan bekerja sebagai kerani di daerah Luzon," jelasnya.
Melihat perubahan hidup yang memerlukan perbelanjaan besar, Lourdes, 37, mengambil keputusan untuk mencuba nasib di negara lain.
Akhirnya dia mendapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur. Majikannya merupakan seorang warganegara Jerman.
Sedih
Lourdes harus menerima hakikat bahawa dia terpaksa 'berpisah' dengan anak bongsunya yang berumur dua tahun ketika itu. Mengenang semula kisah hidupnya sewaktu tiba di negara ini, hati wanita itu cukup tidak tenang.
Dalam fikiran, Lourdes mula memikirkan bagaimana jika anak bongsunya yang ditinggalkan itu tidak mengenalinya lagi sebagai ibu.
"Setelah tiga tahun bekerja di Malaysia, saya pulang ke kampung untuk bercuti. Sebaik tiba di lapangan terbang keadaan bertukar menjadi sangat pilu apabila anak bongsu saya langsung tidak mengenali saya.
"Bertambah sedih sewaktu kakak dan abangnya memanggil saya mummy sambil lari memeluk saya, anak bongsu saya yang ketika itu berumur lima tahun hanya mampu berdiri dan menyebut perkataan aunty sahaja," katanya yang tidak dapat menahan kesedihan.
Tugas sebagai pembantu rumah memerlukan Lourdes melakukan banyak perkara iaitu menghantar anak majikan ke sekolah, memasak, membersihkan halaman rumah dan membeli keperluan di pasar.
Bagaimanapun, kesemua tugasan itu langsung tidak membebankan kerana Lourdes menerima pendapatan RM1,500 sebulan.
Lebih menarik lagi, perbelanjaan persekolahan anaknya di Filipina turut dibantu oleh majikannya.
"Rumah saya di Filipina juga kini lebih selesa. Pada masa yang sama, saya dapat menghantar wang ke kampung sekurang-kurangnya RM500 sebulan," ungkapnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: