Friday, December 25, 2009

Kisah Krismas empat selebriti ntv7


CERIA... Empat selebriti ntv7 meraikan Krismas dengan semangat 1Malaysia.


SEPERTI sambutan perayaan agama lain, Krismas atau Hari Natal disambut oleh penganut beragama Kristian di negara ini dengan penuh warna-warni dan meriah.

Malah, simbolik bertukar-tukar hadiah dan menghias pokok pain dengan pelbagai aksesori berwarna-warni, bagaikan cukup sinonim dan sememangnya tidak pernah lekang daripada perayaan ini.

Bagi keempat-empat selebriti ntv7, Daphne Iking, Will Quah, Melissa Ong dan Grace Ng, perayaan tersebut selain mengeratkan silaturahim antara keluarga dan rakan taulan, ia juga membawa erti pembaharuan kepada kehidupan dan harapan.

Bertemu keempat-empat selebriti tersebut pada sesi bergambar yang di atur di pekarangan pusat membeli belah, Pavilion baru-baru ini, masing-masing menyatakan hasrat ingin meraikan sambutan tersebut dengan semangat muhibah, 1 Malaysia.

Dalam sibuk membuat pelbagai persiapan terakhir meraikan hari Natal, selain perhiasan rumah peragawati dan pengacara terkenal, Daphne yang berasal dari Sabah itu sebenarnya lebih menumpukan persiapan untuk anak tunggalnya, Isobel Daniella Iking, 2.

Menurut Daphne, dia membelikan beberapa pasang baju untuk Isobel dan menyediakan sebanyak 20 hadiah untuk diberikan kepada ahli keluarganya.

Mungkin, perayaan tersebut sedikit berbeza buat Daphne pada tahun ini.

Manakan tidak, berbeza dengan dua tahun lalu, kali ini dia meraikan perayaan tersebut tanpa insan bergelar suami.

"Saya masih punya keluarga dan anak. Bersama mereka masih ada kasih sayang dan rasa direstui.

"Jadi, tiada perbezaan. Saya rasa bertuah kerana masih bernafas dan mampu melakukan yang terbaik untuk orang lain," kata wanita berusia 30 tahun itu.

Daphne yang berkahwin dengan Ryan Chong pada 27 Januari 2007 bagaimanapun berpisah sejak setahun lalu.

Tidak bercuti lama, kali ini Daphne tidak pulang ke Kota Kinabalu, Sabah meraikan Krismas.

Sebaliknya, menanti kunjungan ahli keluarga dari Kota Kinabalu bertandang ke rumahnya.

Bercerita tentang menu masakan, kata Dephne, ibu dan kakaknya telah merancang beberapa menu termasuk masakan Kadazan, pinasakan, bambangan, hinava, tuhau dan ayam belanda panggang sebagai hidangan pada hari tersebut.

Will hias rumah sebulan awal

Bagi pengacara The Breakfast Show (TBS), Will Quah, keterujaan menyambut kedatangan Krismas pada tahun ini membuatkan dia meluangkan waktu sebulan lebih awal untuk menghias rumah.

Namun, pengacara kacak ini tidak mahu dikatakan membazir dalam merencana perhiasan rumah kerana dia memilih untuk mengitar semula barangan perhiasan yang pernah digunakan pada tahun-tahun lalu.

Tidak merancang bercuti kemana-mana, sambutan Krismas bagi dirinya hanyalah di ibu kota sahaja sementelah keluarganya juga menetap di Kuala Lumpur.

Bagi Will, perayaan yang penuh warna-warni itu begitu unik kerana di negara ini ia bukan sahaja diraikan oleh penganut agama Kristian malah, kemeriahan itu turut sama dikongsi oleh masyarakat berbilang kaum.

"Diraikan oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini menjadikan sesuatu perayaan yang disambut begitu unik. Malah, ia diraikan dengan semangat perpaduan 1Malaysia.

"Semua orang tidak kisah meraikannya bersama-sama, jadi ini yang membuatkan saya rasa seronok dan gembira," katanya.

Berbanding Daphne dan Will, Melissa serta rakan sejawatnya Grace dikategorikan masih lagi baru sebagai selebriti ntv7.

Bagaimanapun, kedua-duanya memasang matlamat serupa, menyambut Krismas secara bersederhana namun meriah.

Bagi Melissa, penyampai Edisi 7 kelahiran Poland ini, memilih untuk meraikan hari Natal bersama keluarganya di Petaling Jaya adalah suatu kemestian buat dirinya.

Berkumpul bersama keluarga dan bertandang ke gereja pada pagi Krismas adalah rutinnya setiap kali tibanya perayaan tersebut.

"Apa yang seronoknya, dapat berkumpul berkongsi cerita bersama ahli keluarga dan rakan-rakan membuatkan diri berasa gembira dan rilek.

"Malah, ketika itu bersama ahli keluarga yang lain saling bertukar-tukar hadiah menambah kemeriahan suasana," kata Melissa yang memulakan tugas di ntv7 pada 1 Februari 2008.

Seperti Will dan Daphne, Melissa turut menghias rumahnya sendiri. Tidak mahu berbelanja lebih, dia turut mengitar semula aksesori dan barangan dekorasi yang pernah digunakan ketika meraikan Krismas sebelum ini.

Bercuti selama seminggu, Melissa turut merancang ke Singapura bersama keluarganya pada tahun baru ini.

Sementara itu, penyampai 7 Edition, Grace yang memulakan tugas di ntv7 pada Jun lalu memilih untuk meraikan Krismas di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

Menanti kakaknya, yang menetap di Singapura pulang meraikan Krismas bersama dia dan keluarga, kemeriahan sambutan itu pada tahun ini baginya lebih dirasai.

Anak kedua daripada tiga beradik yang sebelum ini pernah bertugas di stesen radio BFM 89.9 sebagai penyampai radio dan penerbit rancangan itu, meraikan Krismas sebagai selebriti ntv7 adalah sesuatu yang tidak pernah terfikirkan sebelum ini.

"Bertukar bidang kerjaya berlaku secara kebetulan. Tidak sangka saya diterima sebagai salah seorang pembaca berita di saluran ini.

"Saya menganggap ini sebagai peluang untuk saya memperluaskan bakat dan kebolehan saya dalam bidang penyiaran,"katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: