Thursday, December 24, 2009

'Kemuka bukti dulu'


INDUSTRI hiburan baru-baru ini digemparkan dengan berita pernikahan secara rahsia dramatis jelita, Zizie Izette dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin.

Berita yang menjadi tajuk utama kebanyakan akhbar arus perdana itu, jika dinilai bukanlah situasi baru yang berlaku dalam kehidupan masyarakat. Artis berkahwin rahsia, bilangannya terlalu banyak khususnya mereka yang menjadi isteri kepada individu berstatus VVIP.

Seorang lagi aktres jelita yang dikatakan melangsungkan perkahwinan secara rahsia baru-baru ini adalah Fasha Sandha. Khabar angin yang bertiup mengatakan Fasha kononnya melangsungkan perkahwinan dengan ahli perniagaan Rizal Ashram juga bekas suami kepada Nora Danish di sebuah hotel enam bintang sekitar Kuala Lumpur.

Malah, setiap tetamu yang diundang menghadiri hari bahagianya tidak dibenarkan membawa kamera mahupun telefon bimbit kerana dipercayai pihak pengantin enggan majlis itu tersebar pada media massa.

Justeru, Fasha ketika dihubungi semalam bagi mendapatkan pengesahan berhubung gosip yang tersebar meluas ketika ini, menafikan perkara itu.

"Mana ada saya kahwin senyap-senyap. Cerita ini tidak benar dan sampai saat ini saya masih bujang dan belum mendirikan rumah tangga. Jika ada yang menuduh dan fitnah saya, minta sila tampilkan bukti. Jangan setakat buat spekulasi tanpa bukti yang sah.

"Seperti yang pernah saya maklumkan sebelum ini, saya tidak akan merahsiakan perkahwinan saya bila saatnya tiba. Kalau hendak berkahwin, saya pasti mengundang Harian Metro dan itu janji saya," katanya.

Mengakui bersahabat baik dengan Rizal, Fasha menyerahkan segala jodoh pada ketentuan Yang Maha Esa sesiapapun jodohnya namun, buat masa terdekat ini dia belum nampak sebarang petanda ke arah itu (berkahwin).

Sempat bertanyakan aktiviti terbarunya, buat peminat yang merindui gadis kelahiran Pulau Mutiara (Pulau Pinang) ini Fasha akan muncul dengan drama Bagaikan Sumayyah. Drama terbitan Grand Brilliance Snd Bhd (GBSB) dan arahan Harris Fadzillah, bakal disiarkan di TV3.

"Sekarang saya berada di Kuang, Selangor bagi menyempurnakan penggambaran Bagaikan Sumayyah. Menerusi drama ini, saya memegang watak Shamsiah, wanita yang difitnah orang kampung selepas dirogol orang paling kaya di kampung berkenaan, Tuan Razak, watak dibawakan Datuk Rahim Razali.

"Shamsiah bermati-matian berjuang untuk menuntut keadilan dan haknya sebagai wanita. Malah, dia ingin membuktikan setiap manusia yang hidup di dunia ini mempunyai hak tidak kira apapun darjat mereka, miskin ataupun kaya.
"Terus terang, ini adalah watak paling berat dan mencabar pernah saya bawakan selama menjadi pelakon. Sesuatu yang saya pelajari menerusi watak ini ialah semangat dan ketabahan Shamsiah yang perlu ada pada diri setiap wanita," katanya.


Fasha juga berbangga selain berdampingan dengan pelakon veteran berkaliber seperti Rahim Razali, dia juga berpeluang menimba pengalaman bekerja dengan Wan Maimunah dan Yalal Chin serta Fauzi Nawawi, Ako Mustapha, Jue Aziz dan Puteri Sarah.

Awal 2010 nanti, Fasha terbabit pula dalam pembikinan drama 26 episod untuk Astro Prima, Nilofer. Kata Fasha, azamnya untuk tahun baru ini ialah menceburkan diri dalam perniagaan dan memperbaiki kelemahan diri.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: