Julie teruja kehadiran kakak ipar hadiah istimewa Krismas
BAKAL muncul dengan program I Can Do This yang berkisar mengenai aktiviti lasak serta Step It Up bersama Qi pertengahan 2010, Julie melihat 2009 sebagai tahun yang sempurna untuk perjalanan kariernya.
Tidak pernah dia menduga, percubaan pertama berlakon menumpahkan pelbagai rezeki lain malah memacu dirinya untuk meniti tangga selesa.
“Siri Blogger Boy adalah lakonan pertama saya, namun memberi pendedahan yang cukup besar untuk kerjaya saya. Jujurnya ketika menghadiri uji bakat, saya sendiri tidak tahu apa perlu dijangkakan.
“Sangkakan ia cuma sebuah cerita biasa, tetapi apabila ramai yang mengikuti dan siri ini semakin diperkatakan saya dapat rasakan drama ini memberi impak besar dalam kerjaya saya,” katanya.
Sering kata Julie, dia dan Qi akan duduk berbincang serta merangka bagaimana mahu mencorakkan perjalanan karier mereka.
Biasanya Julie akan mengambil tugasan menyempurnakan kertas kerja dan skrip, manakala Qi melengkapkannya dengan membentangkan perancangan mereka kepada pihak produksi dan stesen televisyen.
Akui gadis berzodiak Cancer itu, perbualan mereka juga lebih terarah kepada karier membuatkan ramai tertanya hala tuju yang ingin mereka bawa dalam hubungan yang mula serius terjalin sekitar enam bulan lalu.
“Qi sibuk. Begitu juga saya malah untuk bertemu kami perlu membuat temu janji dulu kerana sering bergerak ke sana ke mari.
“Saya tidak kisah, malah rasa seperti dirahmati kerana semua datang tepat pada masanya. Ini adalah rezeki, mengapa perlu kami berdua merungut?,” katanya.
Cuma bercuti dua hari untuk sambutan Hari Natal, Julie berkata, tahun ini diraikan sedikit berbeza kerana abangnya bakal melangsungkan perkahwinan sehari selepas meraikan Krismas.
“Selalunya ia diraikan ringkas, sekadar makan malam bersama keluarga serta menghabiskan masa bersama kerana Krismas memberi peluang kami sekeluarga berkumpul semula.
“Cuma tahun ini sedikit meriah untuk meraikan perkahwinan abang. Selalu rumah kami sepi kerana saya tinggal berdua dengan ibu.
“Abang kini menetap di Singapura manakala ayah pula mengusahakan perniagaan di Sabah. Jadi kesempatan berkumpul begini memang sering dinanti,” katanya.
Tidak pernah menyesal
NAMANYA pernah hangat suatu ketika dulu apabila foto dirinya yang cuma berpakaian dalam untuk sesi fotografi sebuah majalah terbitan Australia tersebar di alam maya. Tidak mengelak, sebaliknya Julie Woon pantas mengakui foto itu dirakamkan ketika usianya masih mentah serta tercari arah untuk memperkenalkan dirinya.
Tetapi semua itu sudah berlalu. Kisah itu juga sudah dikunci kemas, tanpa perlu disentuh lagi. Memang Julie terbuka untuk berbicara apa saja topik namun ada bahagian silam hidupnya yang mahu dilupakan dan permintaan itu harus dihormati semua.
Berbicara dengan gadis kelahiran ibu kota ini menyerlahkan kecintaannya yang mendalam untuk menekuni bidang seni.
Kata Julie yang fasih berbahasa Melayu, dia tidak pernah bermimpi untuk meraih peluang besar kerana apa yang dilakukan dulu sekadar mencari wang poket ketika masih menuntut di negara itu.
“Keluarga tidak suka saya menjadi anak seni. Latar keluarga saya mengutamakan pendidikan, jadi saya penuhi juga permintaan orang tua dengan menamatkan pengajian di peringkat tinggi.
“Selepas menggenggam ijazah, keluarga masih menyuarakan rasa bimbang kerana sukar meramal masa depan. Tetapi saya cuba buktikan dan syukur perlahan-lahan usaha saya mula menampakkan hasil,” katanya.
Senyum Julie pada satu pertemuan di Hotel One World, Bandar Utama, ketika ini tumpuannya lebih terarah kepada pengacaraan dan lakonan.
Selepas berjaya dengan siri Blogger Boy yang disiarkan di 8TV, karier lakonan gadis berusia 25 tahun itu meluncur pantas dengan beberapa tawaran baru.
Sempat menyempurnakan telefilem Rembak di samping Fouziah Ghous dan Kamal Adli siaran RTM, sebahagian besar masa Julie kini terisi dengan tugasannya sebagai perantara 8TV Quickie.
“Dalam seminggu, saya perlu bersiaran antara empat hingga lima hari berselang seli dengan Prem dan Zher. Ada juga beberapa tawaran berlakon diterima tetapi saya perlu teliti dulu kesesuaian masa.
“Quickie menuntut sebahagian besar masa saya. Cuma Januari nanti, baru saya ada sedikit lapang apabila beberapa muka baru akan menyertai program itu,” cerita Julie akan kesibukan jadualnya namun senang melaluinya.
Akui kekasih Qi atau Qushairi Razali yang juga pasangannya dalam Blogger Boy ini, usia mudanya dipenuhi dengan mengejar cita-cita dan dia tidak kesal memilih jalan itu.
Baru menyelesaikan rakaman musim kedua Motosports @ Petronas yang membawanya mengembara ke Russia, Switzerland, Jerman dan Jepun, Julie berkata, dia selesa biarpun masa untuk dirinya sendiri terbatas.
“Mungkin kerana saya sendiri berjiwa aktif dan dahagakan cabaran membuatkan saya tidak pernah mengeluh. Saya suka mencuba perkara baru, malah senang bertemu ramai orang.
“Hanya dengan kerjaya ini saya berpeluang memenuhi minat itu, jadi mengapa perlu menyesal sedangkan ini yang saya mahukan,” katanya.
INFO:
- Nama : Julie Woon
- Umur : 25
- Zodiak : Cancer
- Asal : Kuala Lumpur
- Pendidikan: Sarjana Muda Ekonomi dan Pemasaran dari Curtin University, Australia
- Profesion : Pelakon, pengacara di 8TV
- Rancangan TV Kegemaran : Dexter
- Pelakon tempatan Kegemaran : Michelle Yeoh, Qi Razali, Nas-T
- Genre Muzik Kegemaran : Jazz
- Artis Kegemaran : Diana Krall
- Rancangan TV : Motorsports @ PETRONAS, 8TV Quickie, I Can Do This dan Step It Up
- Drama: Blogger Boy dan Rembak
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: