Friday, December 11, 2009

Kejohanan Perahu Layar di Langkawi


PRESIDEN Persatuan Pelayaran Malaysia, Tan Sri Muhammad Ali Hashim (tengah) bersama ahli jawatankuasa kejohanan pelayar IODA Asian 2009.


PERSATUAN Pelayaran Malaysia (MYA) bakal menjadi tuan rumah kejohanan pelayar International Optimist Dinghy Association (IODA) Asian 2009 di Pusat Latihan Layar Kebangsaan, Langkawi, Kedah.

Diadakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan, acara itu juga mendapat kebenaran IODA dan International Sailing Federation (ISAF).

Dianggarkan seramai 140 atlet dari 30 buah negara akan menyertai kejohanan itu. Antaranya New Zealand, Australia, Itali, Belgium, Perancis, Korea, Thailand, Indonesia, Singapura dan Malaysia.

Dalam acara itu, Malaysia akan menurunkan 14 pelayar terbaik dari MYA untuk bertanding dalam dua kategori utama iaitu Optimis Individu dan Berpasukan.

Menurut Presiden MYA, Tan Sri Muhammad Ali Hashim, seramai 21 pelayar tempatan yang menyertai kejohanan itu ialah atlet pelapis kebangsaan.

"Di Malaysia, kami ingin memberi galakan kepada kanak-kanak sekolah rendah untuk terlibat dalam sukan ini. Kami mahu mereka bermula dari bawah," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada sidang media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kejohanan tersebut akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di Dataran Lang, Langkawi pada 13 Disember ini pada pukul 8 malam.

Mengharapkan aksi cemerlang daripada pelayar tempatan yang bertanding, MYA juga menyasarkan gelaran johan berpasukan dan acara individu untuk mengharumkan nama negara.

Terdahulu dalam kejohanan Perahu Layar Optimis IODA Dunia 2009 yang berlangsung di Niteroi, Brazil pada 4 hingga 14 Ogos lalu, tiga atlet tempatan berjaya menduduki tangga 10 terbaik dunia atau tiga terbaik Asia.

Mengulas lanjut katanya, Malaysia telah diberi kepercayaan untuk menganjurkan kejohanan yang lebih besar pada tahun depan.

"Dalam acara ini nanti, seramai 300 pelayar dari 60 buah negara akan bertanding untuk menjadi yang terbaik daripada yang terbaik," ujarnya.

Kejohanan perahu layar yang bakal berlangsung itu mendapat tajaan sebanyak RM1.5 juta daripada KFC Holdings (Malaysia) Bhd.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: