BANDA ACEH - Hampir lima tahun selepas bencana tsunami melanda Aceh, Asrama Anak Yatim Johor (AAYJ) di Desa Ajun Jeumpet di sini masih berdiri teguh menjadi saksi sumbangan kerajaan negeri Johor yang berterusan buat anak-anak mangsa bencana alam di negara jiran itu.
Asrama yang dibuka pada Oktober 2005 khusus bagi anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat bencana itu dibina oleh kerajaan negeri Johor di atas tanah wakaf berkeluasan 1,183 meter persegi.
Ia menempatkan 34 orang anak yatim lelaki dan tidak lama lagi sebuah bangunan baru akan didirikan khusus untuk anak-anak yatim perempuan pula.
Penyelaras AAYJ, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, asrama sedia ada hanya boleh memuatkan kira-kira 50 orang anak yatim lelaki dan bangunan baru asrama perempuan itu dijangka dibina di atas sebidang tanah berhampiran yang dibeli oleh kerajaan negeri Johor seluas 1,000 meter persegi.
"Sebuah bangunan baru akan dibina bagi menempatkan anak yatim perempuan selepas kami mendapat peruntukan daripada kerajaan negeri tidak lama lagi," katanya selepas majlis tahlil dan zikir bagi memperingati lima tahun tragedi tsunami di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: