Di sana sini kelihatan berselirat dan celaru. Sama seperti cara penyambungan kabel elektrik dan telefon di sepanjang pinggir jalannya, begitulah juga perasaan penulis yang menjejakkan kaki di Ho Chi Minh City (HCMC).
Jangan terkejut jika anda disambut hiruk-pikuk bunyi hon kenderaan atas jalan raya yang dua pertiga daripadanya dipenuhi penunggang motosikal. Kota yang dahulunya dikenali sebagai Saigon itu disesakkan dengan lebih enam juta buah motosikal berdaftar. Jumlah itu makin bertambah setiap tahun gara-gara kemasukan motosikal murah yang diimport dari China.
Itu cukup untuk membuatkan seseorang menjadi panik apabila menyeberang jalan, lebih-lebih lagi seperti penulis yang berasal dari negara yang berbeza sisi pemanduan atas jalan raya.
Bukan kadar pertumbuhan ekonomi lapan peratus pada tahun 2007 hendak diceritakan kali ini. Bukan juga nilai hartanah di District 1 (kawasan paling elit di tengah bandar raya) yang telah melonjak sehingga AS$3,000 semeter persegi.
Sebaliknya, Kosmo! mahu memperkenalkan inti pati kota yang pernah dikenali sebagai Saigon itu, selain menilai impak peperangan dahsyat yang menjadi sejarah hitam negara tersebut.
|
|
Keunikan sosiobudaya
Bersabarlah jika anda mendapati keadaan infrastruktur agak mundur di beberapa kawasan tertentu. Maafkan juga kualiti perkhidmatan oleh barisan depan kaunter yang belum benar-benar mesra melayan tetamu. Vietnam sebenarnya masih dalam fasa untuk pulih kembali selepas hasrat itu terbantut akibat azab Perang Dunia Kedua.
Semua itu pastinya bukan masalah jika kedatangan ke HCMC lebih condong kepada agenda mendekati kehidupan sosial dan budayanya. Tinjau sahaja di pinggiran jalan, pasti ada yang menarik pandangan mata dan lensa kamera.
Begitu mudah menemukan penjaja yang mengayuh basikal tua, wanita penjual manisan tradisi dengan kayu pengandar, gadis manis mengenakan terendak anyaman dan persalinan ao dai yang sopan.
|
|
Itulah antara ketenangan yang ditemui di kota yang mengabadikan nama ketua pejuang revolusi komunis, Ho Chi Minh (1890-1969). Hari ini, bagi setiap langkah kaki di atas buminya, seolah-olah kita sedang menyapa roh dan semangat generasi terdahulu yang menjadi sebahagian daripada kisah jatuh bangun sebuah negara yang bakal bergelar Harimau Asia baru.
Bagi menghayati aura pentadbiran negara dalam gaya 60-an, Reunification Palace (Istana Penyatuan) yang dinamakan pada tahun 1975 sempena bersatunya Vietnam Utara dan Selatan boleh dilawati. Kompleks gergasi berpengaruh Perancis itu dahulunya merupakan tempat tinggal Presiden Vietnam Selatan. Struktur bangunan itu tersergam dalam kawasan seluas 20 hektar. Terdapat banyak bilik kebal dan rangkaian terowong bawah tanah direka atas tujuan keselamatan.
|
|
Jelas, penggemar seni bina Perancis pasti terpesona apabila mengikuti jelajah kota HCMC. Misalnya, Katedral Notre Dame yang dibina pada tahun 1845 menyerlah dengan unsur gothic pada setiap sudut binaannya. Gerbang tinggi, ukiran sarat dan kaca jendela yang dramatik mudah dikenal pasti dari luar hingga ke bahagian dalamannya.
Berdekatan dengan katedral tersebut ialah Pejabat Pos HCMC yang juga kaya dengan nilai artistik sebuah bangunan bersejarah. Turut menarik untuk dilawati ialah Muzium Peninggalan Perang dan Opera House.
Pasar Ben Thanh
Ini satu lagi lokasi persinggahan dalam senarai wajib pergi. Menyusuri Le Loi Street membawa langkah ke banyak himpunan kedai membentuk kompleks besar. Dikenali dengan nama Ben Thanh Market, ia menjual pelbagai barangan daripada cenderamata, pakaian, tekstil dan fabrik, peralatan rumah, kraf serta kopi Vietnam yang terkenal itu. Inilah juga yang membuatkan pelancong wanita (terutama gadis dan ibu-ibu dari Malaysia, Singapura dan Brunei) rambang mata dengan variasi pilihan sutera Vietnam yang murah.
Banyak ciri yang membuatkan penulis berasa lega di pasar itu. Berbanding Pasar Chatuchak di Bangkok, Ben Thanh lebih menyenangkan kerana binaan pintu masuk yang luas dari pelbagai arah, lorong laluan yang lebar serta siling yang tinggi. Satu sahaja pesanan demi mendapatkan barangan yang dihajati - di sebalik senyuman dan santun untuk memikat pemilik kedai, tawarlah harga seperti anda seorang Viet Cong yang berhati kering!
|
|
Destinasi spiritual Cao Dai digelar sebagai agama paling pelik di dunia. Sejak tahun 1926, ajaran monotheis Cao Dai menjalar subur di Thay Ninh, daerah yang sejauh tiga jam perjalanan dari HCMC. Menggabungkan pelbagai ajaran agama di dunia, dengan teraju tiganya - Buddha, Tao dan Konfusius. Ia juga mengiktiraf ajaran Saint yang diterbit daripada agama Kristian. Tidak hairanlah di dalam kuil itu, patung Jesus Christ turut menempah tempatnya.
Boleh dirumuskan Cao Dai mengekstrak nilai-nilai terbaik daripada setiap agama yang wujud dalam dunia ini. Keterbukaan ajaran itu kepada dunia membolehkan pengunjung daripada pelbagai kepercayaan masuk ke dalam kuil ketika upacara sembahyang.
"Ada yang mengambil inspirasi Islam?" tanya penulis sengaja menduga. "Ya, ada! Penghormatan terhadap agama Islam bukan sahaja tergaris pada ajaran kebaikan. Ia juga terlihat pada seni bina kuil ini. Lihat di sana itu," jawab Xuan Huong, pemandu pelancong dari Lembaga Pelancongan Vietnam.
Lantas penulis melihat ke sisi kuil, deretan gerbang berbentuk kubah jelas kelihatan seperti yang terdapat pada seni bina masjid-masjid di Malaysia.
|
|
Terowong Cu Chi
Ini adalah tarikan sebenar ke Vietnam lantaran semakin ramai yang bersetuju bahawa ia adalah antara destinasi pelancongan terbaik dunia berasaskan sejarah. Terowong Cu Chi yang terletak kira-kira 70 kilometer di barat laut HCMC membuka kembali memori hitam generasi Viet Cong yang masih wujud sehingga hari ini. Ia adalah tinggalan kisah perit dan nanah anak bangsa akibat belerang perang seawal tahun 1940 ketika Vietnam di bawah telunjuk Perancis.
Reka bentuk terowong umpama sarang labah-labah itu begitu unik dengan binaan tiga tingkat dengan tingkat paling bawah ialah laluan lepas lari ke Sungai Saigon. Dalam tempoh 20 tahun, jarak terowong yang disiapkan hanyalah sejauh 48 kilometer.
Viet Cong terus membina terowong itu sepanjang era Perang Vietnam bagi menentang Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya dari tahun 1959 hingga 1975. Ini menjadikan panjang keseluruhan terowong yang dibina mencecah 250km. Difahamkan, terdapat di antara 7,000 hingga 8,000 Viet Cong dan keluarga mereka tinggal di dalam terowong sepanjang kemelut perang yang berakhir pada 30 April 1975.
Tetamu Terowong Cu Chi berpeluang mendengar penerangan penuh emosi tentang kesukaran zaman gelap itu selain mengagumi kebijaksanaan pencetus idea dan fungsi terowong tersebut. Ironinya, sehingga kini tidak diketahui siapa.
Paling mengujakan dan meremangkan bulu roma adalah apabila pengunjung merasai sendiri pengalaman merangkak di dalam salah sebuah rentangan terowong yang sempit, dingin dan mengerikan itu.
|
|
Namun waspadalah. Anda sedang 'diintai' oleh roh-roh pejuang Viet Cong yang pernah tewas suatu masa duhulu. Dalam kegelapan itu, apa saja yang terlintas di fikiran akan mengundang histeria klaustrofobik dan jeritan kesal!
Mencari yang halal
Ramai yang bercakap tentang restoran makanan Melayu, Satay House, suatu ketika dahulu di HCMC. Namun operasinya telah ditutup. Bagi yang rindu pada masakan Melayu, Restoran Empat Musim atau Bon Mua di Thi Sach Street sedia dikunjungi.
Meskipun harga hidangan yang perlu dibayar sedikit mahal, tiada yang perlu dipertikaikan tentang keaslian rasa masakan daripada air tangan pemilik berketurunan Melayu Champa, Jakiyah Ahmad.
Selain Bon Mua, pilihan tempat makan halal bagi pelancong Muslim ialah restoran yang diusahakan oleh warga India. Keenakan menu India Utara boleh didapatkan di Tandoor (Hai Ba Trung Street), Saigon Indian Restaurant (Mac Thi Buoi Street) atau Bombay Indian Restaurant (Dong Du Street). Untuk maklumat tambahan tentang lokasi restoran halal di HCMC dan juga Hanoi, laman web www.zabihah.com boleh dilayari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: