
KUALA LUMPUR - Institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang gagal memaklumkan status pelajar asing mereka yang hilang atau tidak dapat dikesan akan dikenakan tindakan.
Jika terbukti bersalah, mereka dilarang mengambil pelajar asing untuk mengikuti pengajian di tempat mereka.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, masalah timbul apabila pihak IPTS gagal memaklumkan kepada pihak imigresen tentang ketidakhadiran pelajar asing mereka ke kelas.
"Ramai pelajar asing yang terlibat jenayah sebenarnya menyamar dan bukan pelajar yang tulen," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis upacara pecah tanah kampus baru Kolej Teknologi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) IT-WEB berharga RM30 juta di Cheras semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah penaung YPC, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi YPC, Datuk Syed Ali AlHabshee dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.
Dalam pada itu, Khaled menyeru IPTS meningkatkan keupayaan masing-masing kerana kerajaan berhasrat untuk menambah bilangan pelajar asing seramai 150,000 orang menjelang 2025.
Katanya, industri pendidikan tinggi mampu meraih pendapatan lumayan dan menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: