
“Saya sangat bersyukur, akhirnya kami sah menjadi suami isteri. Sebelum ini, terlalu banyak liku ranjau dalam perhubungan kami, tapi dengan izin Allah, kami bersatu juga akhirnya. Terlalu peribadi untuk saya kongsi dengan peminat, tetapi yang pasti, saya sangat bersyukur.
“Tidak wujud orang ketiga dalam kisah cinta kami. Tapi apa yang pasti, cerita berbaur fitnah hampir memusnahkan impian kami. Memang terlalu berat dugaan itu. Kalaulah saya tahu begitu, pasti bukan dua tahun tempoh bertunang, mungkin dua bulan saja. Tapi itu semua asam garam dalam bertunang. Kami redha dan Alhamdulillah, kami sah sebagai suami isteri sekarang,” kata Lan.
Menurutnya, apa yang diharapkan rumah tangga yang dibina itu akan terus berkekalan dan tidak mahu lagi cerita-cerita negatif mengenai hubungan dan Sheila disalaherti hingga menggugat keharmonian perkahwinan mereka.
Menceritakan detik awal perkenalan mereka, Lan sememangnya tidak menyangka perkenalannya dengan Sheila yang bermula di zaman persekolahan berkekalan sehingga kini.
“Kami kenal semasa di Tingkatan 2 lagi. Saya memang dah jatuh hati setiap kali tengok dia. Daripada suka tengok, suka nak berbual, bila dah dapat nombor telefon, jari ni gatal pula nak ‘sms’. Tak sangka cinta sekolah kami akhirnya ke jinjang pelamin,” katanya tertarik dengan sikap Sheila yang lemah lembut dan memahami dirinya.
“Dalam keadaan sekarang, bukan senang nak cari wanita yang boleh terima diri kita seadanya, apatah lagi saya dan Kristal makin sibuk dengan aktiviti nyanyian dan terikat dengan program Jangan Tidur Lagi.
"Sheila juga tidak pernah menghalang atau mengongkong kerjaya saya. Dia tahu membezakan di antara kerja dan masa luang saya. Sebab tu saya sayang padanya,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: