LOS ANGELES Stesen rangkaian Fox bakal mengumumkan tempahan untuk lebih banyak musim bagi program televisyen American Idol, sama ada dengan atau tanpa hakim paling popularnya, Simon Cowell.
Kontrak semasa rangkaian itu dengan produser Idol iaitu 19 Entertainment dan FremantleMedia akan tamat pada akhir 2011. Namun, rangkaian itu kini sedang berusaha mendapatkan perjanjian baru yang merangkumi tiga lagi musim Idol, meskipun angka itu mungkin berubah.
Satu pengumuman dijangka dilakukan bagi menunjukkan komitmen Fox terhadap program paling popularnya, tatkala Idol berdepan dengan cabaran terbesarnya setakat ini.
Francais Idol telah digoncang oleh khabar angin mengatakan Cowell akan meninggalkan rancangan itu selepas musim depan.
Beliau dikatakan mahu memberi tumpuan memperkenalkan siri X-Factor iaitu pertandingan muzik popular di United Kingdom ke Amerika Syarikat.
Adik kepada Cowell, Tony mengumumkan Selasa lalu bahawa Simon akan meninggalkan Idol pada akhir 2010.
Tindakan itu akan mempunyai dua impak terhadap Idol iaitu kehilangan personaliti pentingnya dan kemunculan rancangan baru yang akan bersaing dengan Idol.
Namun sebelum apa-apa dimuktamadkan, Cowell masih perlu menandatangani kontrak baru dengan pemilik Factor iaitu Sony Music. Hanya selepas ia dimeterai, barulah Sony boleh membenarkan Cowell berurusan dengan Fox untuk membawa Factor ke AS.
Fox mungkin lebih cenderung untuk memasukkan sekali perjanjian Factor dengan klausa untuk Cowell muncul bagi semusim lagi dalam Idol.
Tetapi dengan meninggalkan Idol, Cowell akan menjadikan penyertaannya dalam Factor sebagai acara yang lebih besar.
Satu jalan tengah yang mungkin boleh diambil ialah dengan Cowell memainkan peranan lebih kecil dalam Idol pada 2011 iaitu tidak terlibat dalam sesi uji bakat tetapi sekadar menghakimi pertandingan di Hollywood.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: