Saturday, December 26, 2009

Ejen 'kenyang' setiap musim perpindahan


MANCHESTER City antara pasukan paling banyak mengeluarkan perbelanjaan untuk membayar ejen.

SELAMAT berjumpa lagi dan selamat menyambut perayaan Krismas.

Saingan Liga Perdana England nampaknya semakin sengit.

Banyak keputusan di luar jangkaan berlaku.

Pasukan gergasi tewas mudah kepada pasukan bawahan dan begitulah sebaliknya.

Bukan itu yang saya mahu kongsi bersama pengikut setia kolum ini minggu ini, tetapi saya mahu membicarakan 'aksi' yang berlaku di luar padang.

Baru-baru ini pengurus Manchester Untied, Sir Alex Ferguson telah mengeluarkan kritikan berkenaan peranan yang dimainkan oleh ejen bola sepak atau pemain.

Beberapa hari selepas itu, kapten United, Gary Neville turut mengeluarkan dakwaan serupa yang mengatakan ada ejen cuba menguasai pergerakan pemain.

Ferguson berpandangan bahawa pemain di zaman sekarang telah dijadikan alat oleh ejen-ejen tertentu.

Ekoran kritikan daripada dua individu di United ini, ia telah menjadi perhatian FA yang mula 'menghitung jari' berkenaan bayaran yang telah dibuat kepada ejen-ejen terbabit.

Akhirnya, baru-baru ini FA telah mengeluarkan jumlah yang telah dibayar kepada ejen dalam masa 12 bulan lalu bermula 1 Oktober 2008 hingga 30 September 2009.

Sepanjang tempoh tersebut, beberapa kelab dalam Liga Perdana England telah membayar berjuta-juta pound (melibatkan dua musim perpindahan) kepada ejen pemain.

Manchester City yang berbelanja besar untuk membeli pemain di bawah pengurusan Sheikh Mansour mengetuai senarai dengan perbelanjaan berjumlah RM78 juta untuk membayar ejen diikuti Chelsea (RM57.6 juta).

Liverpool, Tottenham, Wigan dan Arsenal yang tidak begitu banyak mengeluarkan perbelanjaan, tetapi tetap membayar jumlah yang agak lumayan kepada ejen.

Selain itu, pengurusan Liga Perdana juga mengarahkan semua kelab agar lebih telus dengan jumlah perbelanjaan mereka dan diarah agar menyiarkannya dalam laman web rasmi masing-masing.

Begitupun, penjelasan yang dikeluarkan oleh kelab-kelab terbabit tidak jelas kecuali Manchester City yang menjelaskan dengan terperinci gaya perbelanjaan mereka disalurkan.

Langkah yang diambil oleh FA ini adalah untuk membolehkan semua kelab agar lebih telus dengan gaya perbelanjaan mereka selain mengetahui ke mana peruntukan mereka disalurkan.

Begitupun, cara ejen ini meraih keuntungan daripada urusan perpindahan pemain ini masih menjadi persoalan.

Apa pun, inilah gaya bola sepak moden. Ejen menjalankan tugas bagi memenuhi kehendak pelanggan mereka.

Menurut Gary Neville, dia merasakan pemain di zaman ini telah memberi kebenaran kepada ejen mereka untuk menguruskan segala hal.

"Ada juga ejen yang menjalankan tugas mereka dengan baik tetapi ada juga yang mempergunakan pemain sebagai tempat mereka mengaut keuntungan," kata Neville.

Mungkin ada yang bertanyakan kenapa saya membincangkan isu ini minggu ini.

Alasannya mudah. Pada 2004, United sangat telus dengan setiap perbelanjaan mereka dan setiap mata wang yang mereka belanjakan akan dipaparkan dalam laman web rasmi mereka.

United sebenarnya sudah lama berbuat demikian, tetapi selepas kelab tersebut diambil alih oleh Glazer, cara pengurusannya juga berubah.

Ferguson sudah lama menyedari hal seperti ini dan sebab itulah dia kembali bersuara mengenai gaya pembayaran itu dibuat kepada seseorang ejen.

JOHN Dykes merupakan pengacara terkemuka Liga Perdana England selain hos program Football Focus di ESPN.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: