Friday, December 11, 2009

Drama penyingkiran Idola Kecil


PESERTA Idola Kecil menangis kerana Sam mahu menggantikan tempat Nurul terkeluar daripada program itu.


SETELAH beraski selama lima minggu di pentas Idola Kecil 2, anak-anak cilik yang terdiri daripada 10 orang itu akhirnya perlu menerima hakikat bahawa seorang rakan mereka terpaksa meninggalkan pentas program realiti TV itu.

Jika dua minggu lalu mereka semua terselamat apabila tiada penyingkiran berlaku kerana juri tetap Idola Kecil 2 iaitu Atilia mempertahankan kedudukan mereka lantaran menampilkan persembahan yang mantap.

Namun, minggu lalu mereka perlu menerima hakikat perpisahan.

Pada minggu kelima Sabtu lalu mereka telah melalui cabaran yang paling sukar apabila peserta-peserta diberi tanggungjawab membawakan lagu-lagu Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Pujian perlu diberi kepada Sam yang merupakan satu-satunya peserta berketurunan Cina kerana berjaya menyentuh hati penonton dan mendapat tepukan gemuruh penonton. Sam berjaya menjiwai lagu yang sememangnya sukar untuk dibawakan oleh kanak-kanak berusia 12 tahun iaitu Merisik Khabar.

Begitu juga dengan Azzam yang berjaya menyentuh hati semua yang hadir sehingga ada yang menitiskan air mata ketika mendendangkan lagu Pelangi Petang.

Penyampaian dan persembahan yang menyentuh perasaan itu juga turut menitiskan air mata pengacara Aliff serta dua juri Atilia dan Liza Hanim.


JURI tetap, Atilia dan juri jemputan, Liza Hanim pada aksi minggu kelima Idola Kecil 2.


Setelah dua jam bersiaran, akhirnya Aliff dengan hati yang berat telah memanggil dua peserta yang mempunyai markah yang paling rendah.

Nurul dan Maulud amat berdebar apabila Aliff memanggil mereka untuk tampil ke hadapan.

Baik Maulud mahupun Nurul, masing-masing belum mahu pulang biarpun akan menggenggam wang tunai bernilai RM1,000. Mereka mahu terus kekal kerana masih belum puas untuk menunjukkan bakat.

Akhirnya Maulud diumumkan akan terus bersama-sama dengan rakan-rakannya yang lain di Idola Kecil 2 dan hanya tangisan mengiringi pemergian Nurul.

Aliff cuba menenangkan keadaan dan sempat bergurau dengan bertanya: "Ada sesiapa yang ingin menggantikan tempat Nurul?"

Belumpun sempat Alif menyambung kata-katanya, Sam terus mengangkat tangan dan dengan secara sukarela ingin mengambil alih posisi peserta tempat terakhir.

Jeritan nama Sam dapat didengar dengan nyaringnya apabila peserta-peserta Idola Kecil 2 merayu supaya Sam tidak membuat keputusan tergopoh itu. Namun, Sam tetap dengan keputusannya sehingga membuat Nurul tergamam dan terpinga-pinga! Sam memegang bahu Nurul dan rakan-rakan lain berterusan menangis.


MAULUD mendendangkan lagu Hoore Hoore.


Kini Maulud tiada lagi rakan untuk berbual dalam bahasa Mandarin. Maulud dan Sam akrab ketika berada di rumah Idola Kecil kerana hanya mereka pandai berkomunikasi di dalam bahasa tersebut.

Tiada lagi gelak tawa daripada Sam, seorang peserta yang sentiasa murah dengan senyuman. Inilah kali pertama krew penerbitan melihat Sam menangis! Studio pada malam itu sarat dengan emosi duka.

Sambil menitiskan air mata, Sam menyanyikan semula lagu Merisik Khabar sambil dipeluk oleh Airil, Azzam dan Maulud.

Apa pula gelagat di luar jangkaan yang bakal disaksikan pada minggu hadapan? Untuk mengetahui kejutan-kejutan seterusnya, jangan lupa untuk bersama TV9 pada setiap Sabtu jam 9.30 malam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: