KUALA LUMPUR: Hidupnya ibarat pelarian sejak berkahwin 11 tahun lalu kerana terpaksa berpindah-randah selepas tidak tahan dengan sikap suami yang bukan saja memukul, menampar dan menendang, malah mengugut dengan pisau.
Lebih malang, bukan sekadar isteri dan empat anak berusia satu hingga 10 tahun menjadi ‘beg tinju’ lelaki panas baran itu, malah sesiapa saja termasuk saudara atau kenalan yang cuba memberi perlindungan kepada lima beranak itu turut menerima padah.
Peliknya, lelaki kaki judi dan penagih dadah tegar berusia 30-an itu sentiasa berjaya mengesan tempat perlindungan isteri dan empat anaknya.
Terbaru, seorang saudara yang cuba melindungi wanita berusia 30 tahun itu menyaksikan sendiri bagaimana lelaki terbabit menggunakan kekerasan, malah membawa pisau ke rumahnya untuk mengajak isteri dan anaknya pulang ke pangkuannya.
| |
“Saya terkejut apabila dia datang ke rumah dan memaksa isterinya pulang ke rumahnya di Pulau Pinang. Caranya memang kasar. Tampar dan tendang anak isteri perkara biasa baginya.
“Malah, saya sekeluarga juga diugut supaya tidak masuk campur urusan keluarganya,” katanya yang menyatakan wanita terbabit kini menyembunyikan diri di tempat lain.
Bagaimanapun, usaha Harian Metro untuk mendapatkan ulasan daripada mangsa gagal kerana Zuraimi enggan memberikan alamat terbarunya atas sebab keselamatan.
Sejarah mangsa didera suami bermula sejak awal perkahwinan, 11 tahun lalu.
Zuraimi berkata, wanita itu kerap dipukul di seluruh anggota badan hingga lebam termasuk di muka selain diugut melalui SMS oleh suaminya yang akan menghantar orang mengganggu kehidupan dia dan empat anak, tiga perempuan dan seorang lelaki.
Menurutnya, walaupun mengetahui lelaki berkenaan penagih tegar serta kerap keluar masuk pusat pemulihan, wanita itu tetap meneruskan perkahwinan dengan harapan suaminya akan berubah sikap.
Katanya, wanita itu juga mengetahui kegemaran suaminya yang gila berjudi sejak zaman bercinta, tetapi mengharapkan perangai buruk itu akan berubah selepas berkahwin, apalagi mempunyai anak.
“Mungkin akibat ketagih dadah dan berjudi, suaminya mengalami gangguan perasaan hingga sanggup menjadikan tubuh isteri umpama beg tinju.
“Saudara saya itu lebam di mata baru-baru ini hanya kerana suaminya mendapat tahu dia menceritakan penderaan dilakukan itu kepada ibu bapa,” katanya.
Menurutnya, wanita itu ada membuat dua laporan polis mengenai tindakan ganas suaminya dan kini sedang berusaha memfailkan tuntutan fasakh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: