Friday, December 4, 2009

Debaran anugerah


MALAM ini semua rahsia tersimpul mengenai siapa pemenang Anugerah Skrin 2009 (ASK2009) akan terjawab. Malah, apakah persaingan kali ini lebih berpihak kepada calon senior atau bintang muda yang meningkat naik? Apapun, masing-masing tetap berpeluang.

Dalam 23 kategori dipertandingkan termasuk satu anugerah khas, hanya pemenang yang layak dipilih.

Berdasarkan kekuatan karya dan bakat diketengahkan, nyata agak sukar membuat sebarang ramalan.

Apapun, antara Zarina Zainuddin, 39, dan Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar atau Sheera, 24, siapa agaknya yang bertuah akan membawa pulang anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama kali ini? Sudah tentu, kedua-duanya menyimpan impian.

Tetapi, menang dan kalah adat bertanding. Lebih-lebih lagi, mengambil kira senarai calon bertanding semestinya semua mereka ada peluang.

Sehubungan itu, hanya seorang akan berjaya dan tewas pula tidak semestinya kurang bagus. Ia 'rezeki.'

Bagi Zarina dicalonkan dalam senarai Top 5 menerusi drama Becha Usang sudah besar maknanya.

Kata ibu kepada empat anak ini, ia juga dianggap 'anugerah' tidak terhingga buatnya.

Dalam soal ini, Zarina tidak meletak harapan terlalu tinggi kerana sedar saingannya mantap.

"Kalau menang, saya bersyukur. Namun, jika sebaliknya apa boleh buat kerana pelakon lain yang dicalonkan juga berpotensi.

"Apapun, jika menang, itu adalah penghargaan masyarakat pada saya. Namun, yang pasti tunggu sajalah ia diumumkan malam ini."Bagaimanapun, tidak dinafikan perkembangan layar skrin drama tempatan kini cukup bagus. Banyak bintang baru yang berbakat, cantik dan muda muncul untuk bersaingan dengan pelakon senior. Ia perkembangan sihat dan wajar untuk diberi sokongan.


"Sekiranya dibandingkan saya dengan mereka, rasanya tidak banyak beza. Ini kerana, saya dapati ada antara bintang baru ini memang ada bakat berlakon. Namun, tahap diri saya pula rasanya beruntung kerana sudah memperoleh pengalaman," katanya.

Menurut Zarina, penonton tempatan sekarang boleh dianggap memiliki pilihan sendiri.

Siapa pelakon disukai, kelompok peminat itu sudah wujud. Jadi, peluang ada. Bahkan, saluran televisyen semakin banyak jika dibandingkan dengan era terdahulu.

Justeru, katanya, permintaan buat pelakon, penggiat seni dan karya tempatan tetap diperlukan.

Lebih menarik lagi, apabila sekarang ini stesen televisyen peka terhadap permintaan penonton. Menerusi kajian dibuat, selera penonton sentiasa dikenal pasti.

"Dalam aspek ini, saya dapati peluang berkerja itu semakin terbuka. Cuma, kena bijak mendapat peluang dan perlu berusaha ke arah itu. Bagi saya, syukur kerana setakat ini rezeki berlakon yang datang tidak putus, tetapi kena memilih mana sesuai.

"Ia disebabkan saya sudah berkeluarga dan kemunculan ini pun atas restu suami. Seandainya, suami tidak memberi izin, mungkin saya takkan berlakon lagi. Oleh itu, kini saya berlakon kerana minat dan hobi. Bukan mengejar glamor atau populariti.

"Situasi itu sudah berlalu bagi saya. Jadi, terus-terang dikatakan keluarga adalah keutamaan dan setiap tawaran diterima mestilah sesuai.

"Bersandarkan status isteri dan ibu, saya akui tawaran diterima agak terhad kerana mengurus keluarga.

"Saya biasanya jarang mengambil tawaran berlakon di lokasi luar ibu kota kerana tidak boleh berjauhan dengan anak. Namun, seandainya memerlukan beberapa hari keluar dari Kuala Lumpur, saya senang membawa anak bersama. Itu lebih mudah," katanya.

Seperti Zarina, si manis Sheera juga tidak meletakkan harapan tinggi untuk menang.

Bagi Sheera, telefilem Halimah Jongang dilakonkan cukup susah memberi impak berkesan pada lakonannya. Ini kerana watak itu diakui sangat mencabar.

"Sebenarnya, saya sendiri tidak sangka akan melakonkan watak itu yang secara tidak langsung mengetengahkan bakat komedi dalam diri.

"Sebaik memakai 'gigi' (jongang) itu, rasa kelakar dan seronoknya orang ramai tidak mengenali siapa saya.

"Wajah saya nampak lain, apatah lagi ketika bertutur. Bukan senang untuk saya melontarkan dialog dan itu diakui memerlukan banyak latihan.

"Bahkan, sepanjang melakukan penggambaran saya dikehendaki memakainya (gigi) setiap masa untuk menjiwai karakter.

"Sekalipun, agak sukar pada mulanya, tetapi hasil cukup memuaskan. Tidaklah penonton hanya tahu bakat lakonan saya sebagai gadis baik atau beruniform seperti polis saja. Saya berhasrat menjadi pelakon serba boleh," katanya yang sibuk di set penggambaran.

Sheera kini berada di Bentong, Pahang menjayakan penggambaran drama Di Sebalik Tirai Besi.

Apapun, mengulas lanjut watak Halimah Jongang, anak dara kepada dramatis Aznah Hamid ini mengakui dirinya bagaikan mengenali siapa Halimah itu.

"Merasakan perasaannya yang cukup sensitif kerana siapa yang mahu bergigi jongang. Jujurnya, ketika diminta memakai gigi itu, saya sendiri mulanya malu. Apapun, bila sudah biasa perasaan itu hilang kerana berjaya menghidupkan watak.

"Malah, saya gembira Halimah Jongang juga sudah beralih ke siri sebanyak 13 episod. Lebih seronok dalam episod ini, turut diketengahkan ibu Halimah yang juga mama saya, Aznah. Kelakar sangat kerana kami sama-sama jongang," kata pelakon drama Si Capik ini.

Menurut Sheera, dia juga membantu ibunya bagaimana mahu bertutur dengan gigi itu.

Bukan itu saja, Sheera juga berlakon dalam drama Laroh yang berdasarkan kisah Raja Bersiong.

Katanya, dia teruja dengan wataknya yang akan berkasih dengan pontianak.

"Drama 24 episod ini akan mengisi slot Lagenda di TV3. Terus terang, saya jarang berlakon untuk TV3, tetapi bila mendapat peluang ia sesuatu yang baru. Jadi, saya akan berusaha melakonkan watak diberi dengan baik," katanya mula berlakon pada usia 4 tahun.

Anak sulung dalam keluarga, Sheera juga baru selesai berlakon filem Datin Ghaira arahan Sabree Fadzil. Katanya, walaupun Sabree bekas bapa tirinya, hubungan mereka baik dan profesional.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: