Thursday, December 10, 2009

Dasar Thai bawa keamanan - Najib


NAJIB ditemani Abhisit disambut meriah ribuan pelajar di perkarangan Maahad Attarkiah Al-Islami, Narathiwat.





NARATHIWAT - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau yakin langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Thailand akan membawa keamanan di selatan negara itu yang bergolak sejak beberapa tahun lepas.

Perdana Menteri berharap penduduk di wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani akan mengamalkan kehidupan secara aman supaya keadaan akan kembali pulih.

Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Narathiwat semalam pada hari terakhir lawatan tiga hari beliau ke Thailand. Beliau diiringi rakan sejawatannya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva.

Ketika berucap di Institut Islam Attarkiah di pusat bandar Narathiwat, Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan hasil rundingannya dengan Abhisit kelmarin khususnya berhubung perkara yang berkaitan dengan selatan Thailand.

"Saya diberitahu bahawa terdapat 3,400 masjid di Thailand, dan daripada jumlah ini, 2,300 adalah di Narathiwat, Yala dan Pattani. Ini menunjukkan bahawa kerajaan Thailand mengamalkan kebebasan beragama," kata Perdana Menteri.

Wilayah selatan Thailand sering menyaksikan serangan bom oleh puak pemisah yang tidak berpuas hati dengan dasar kerajaan Thailand yang lepas. Golongan pemisah juga menuntut kemerdekaan bagi tiga wilayah berkenaan.

Kata Najib, hakikatnya Institut Attarkiah mempunyai 4,500 pelajar dan 250 tenaga pengajar membuktikan bahawa kerajaan Thailand menggalakkan Islam diajar di sekolah agama.

Sementara itu, di Jeli, Kelantan, Najib memberitahu, Jambatan Persahabatan yang menghubungkan Bukit Bunga di Jeli dan Ban Buketa di selatan Thailand membuktikan hubungan persabahatan yang erat antara dua negara sejak 50 tahun lalu.

"Kedua-dua kerajaan telah menunjukkan mereka boleh bekerjasama untuk kepentingan rakyat kedua-dua negara," katanya ketika bersama-sama Abhisit merasmikan jambatan itu pada majlis menamakan semula jambatan berkenaan sebagai Jambatan Persahabatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: