
RATA-rata penampilan graduan lelaki yang hadir pada majlis MPG diinspirasi daripada gaya penyanyi Justin Timberlake.
Malam Pragraduan (MPG) Fakulti Pengurusan Pejabat dan Teknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Puncak Alam, Selangor baru-baru ini ternyata memberi pengalaman baru kepada para penuntut universiti tersebut.
Berlangsung di sebuah hotel di Bandar Sunway, Petaling Jaya dengan tema Celebrity Wannabe (tiru gaya artis), para tetamu mengatur langkah di atas karpet merah dan melemparkan senyuman manis.

Didandan, dirias dan disarungkan busana seperti selebriti buat pertama kali, penampilan mereka jelas berbeza.
Apa yang pasti, mereka kelihatan sungguh menawan. Selain meniru gaya selendang selebriti, ada juga yang menyarung dres labuh yang menampilkan teknik gelembung (puff) di bahagian pergelangan baju sama seperti konsep fesyen Datuk Siti Nurhaliza.
Sementara itu, elemen sut, bertali leher dan topi hitam pula sudah cukup menampakkan gaya penyanyi Justin Timberlake. Pemakaian mafla (selendang) yang dililit di bahagian leher bersama padanan baju T dan seluar denim pula tidak ubah seperti gaya penyanyi kulit hitam, Usher.

"Kami memilih tema majlis tiru gaya artis untuk memberi peluang kepada hadirin yang pastinya sudah sekian lama memendam hasrat untuk bergaya seperti selebriti.
"Namun begitu sebagai pelajar UiTM, kami masih memastikan pelajar tidak melanggar etika berpakaian, sahsiah dan rupa diri," jelas Pengarah Projek, Mohd. Muas Sazwan Mohammad Mazlan kepada Kosmo!.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: