|
|
PELAWAAN menjadi wanita penghias Pancaindera minggu ini disambut baik oleh Alyah. Ini kerana dia belum pernah menerima jemputan bagi memenuhi ruangan tersebut. Kalau dibilang tahun, pejam celik sudah sedekad Alyah tidak diberi peluang berkenaan. Alyah mengakui dia makan hati bila lihat Pancaindera dihiasi muka-muka baru. Sedangkan cerita penyanyi sepertinya paling kuat pun di bahagian tengah atau akhir muka surat. Tetapi Alyah tidak pernah berasa hati. Desah hatinya, mungkin belum rezeki lagi agaknya.
Jika diingat-ingat kembali kenangan lampau, Alyah bukan seorang yang mesra media. Dia juga bukan seorang yang peramah. Maknanya, bila satu soalan ditanya dia akan menjawab seringkas mungkin. Tidak tahulah mengapa anak kelahiran Gelang Patah, Johor Bharu ini takut melihat kelibat wartawan. Mungkin bimbang sekiranya ditanya soalan yang bukan-bukan. Khuatir juga jawapan tidak menepati piawaian.
“Ish.. malu lah kalau dikenang kembali cerita masa mula-mula menyanyi dulu. Kadang kala tertanya-tanya sendiri mengapalah Alyah bersikap sedemikian. Mungkin perbuatan Alyah itu menyebabkan Alyah lambat dikenali. Yelah, bila penyanyi itu sendiri tak mahu berjumpa dengan pemberita, publisiti pun lebih kurang juga,” katanya.
Alyah atau Noor Hasliah Abu Hasan ini menerima hakikat namanya semakin pudar selepas kemunculan beberapa artis baru yang lahir daripada program realiti televisyen. Walaupun bergelar juara Bintang HMI 2000, ia bukan jaminan Alyah mudah dikenali.
Begitu juga halnya apabila dia memiliki dua buah album, Permata pada 2001 dan Fantastik bersama kumpulan R&B Soul Hip Hop, The Fabulous Cats. Kedua-dua pasport itu tidak bernilai apabila nama Alyah itu sendiri tidak diingati. Kemudian Alyah mencuba resipi dengan menyertai pertandingan program realiti televisyen One In The Million anjuran 8TV pada 2006. Meskipun kecundang untuk ke peringkat akhir, Alyah nekad, mahu menjadikan platform itu untuk dikenali.
“Alyah nekad memberi fokus kepada bidang nyanyian sahaja. Alyah tahu bukan senang untuk seorang penyanyi itu bertahan lama. Bukan tidak mahu cuba cabang seni lain terutama lakonan. Sebabnya Alyah dah sebulat hati mahu susah senang kerana nyanyian sahaja,” katanya.
l Cercaan & Kutukan
Cubaan demi cubaan ditempuh anak kesembilan daripada 12 adik beradik ini dalam usaha menstabilkan namanya. Kutukan demi kutukan, kritikan pedas dan caci maki daripada orang ramai yang cemburu melihat kesungguhannya dalam bidang nyanyian segera ditepis.
Kalau diingat kembali, Alyah pernah dikutuk teruk kerana menyertai pertandingan realiti televisyen. Kata mereka, Alyah tidak layak sebab bergelar artis dan memiliki album sendiri. Cercaan yang diberikan itu tidak terhenti di situ. Malah ada yang mengatakan Alyah gagal untuk membuktikan kemampuan dirinya kerana belum pernah menyertai pertandingan nyanyian berprestij dapat mengukur bakatnya.
“Bayangkan dalam tempoh lebih 10 tahun, Alyah asyik mendengar cerita yang buruk sahaja tentang Alyah. Bermula selepas Alyah menjadi juara pertandingan nyanyian Wirawan EON pada tahun 1994, Bintang Pepsi 1996, Suara Johor 1997, Bintang Asli 1998 hinggalah Bintang HMI 2000, ada sahaja yang tidak kena. Lepas satu pertandingan, orang bertanya Alyah, lepas ini pertandingan mana lagi hendak disertai dengan nada memerli. Siapa yang tak sakit hati,” rungutnya.
Saat ditanya adakah Alyah sebenarnya mempunyai masalah disiplin, Alyah dengan perlahan menggelengkan kepala. Alyah berkata, dia tidak pernah bersikap kurang ajar dengan mana-mana pihak.
“Bohonglah kalau Alyah kata tidak pernah bertikam lidah dengan mana-mana artis. Alyah tahu, bila seseorang artis itu tidak terkenal pasti ada sahaja perkara buruk terkeluar. Masa itu, timbul isu Alyah tidak berdisiplin. Seperti cerita Alyah bersama kumpulan One Nation Emcees semasa menyertai Gangstarz musim kedua. Begitu juga ketika bersama The Fabulous Cats. Semuanya itu terjadi kerana terdapat jurang komunikasi antara kami,” jelasnya. Alyah juga meminta dimengertikan untuk tidak bercerita lanjut tentang perkara lepas kerana apa yang penting baginya adalah rancangan masa depannya.
Tuhan Maha Adil. Lagu Tak Mungkin Kerana Sayang ciptaan Ajai dan liriknya ditulis oleh Habsah Hassan membuka lembaran baru buat Alyah. Hampir setahun Alyah menyanyikan lagu yang sama dan akhirnya lagu itu meletup.
Ia bagaikan satu keajaiban. Alyah sendiri terperanjat apabila orang mengenali lagu itu lebih berbanding dirinya. Tidak keterlaluan, sekiranya Alyah mengatakan ia adalah antara kejayaan terbaik sepanjang karier nyanyiannya.
Apatah lagi selepas lagu berkenaan terpilih menjadi salah satu daripada 14 lagu terbaik dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu 24 yang berlangsung pada 10 Januari 2010.
“Untuk acara istimewa itu, Alyah mengambil berat tentang persediaan stamina dengan melakukan senaman dan berenang. Alyah mahu persembahan pada malam itu paling dramatik sekali. Alyah mahu audiens rasakan apa yang dialami Alyah menerusi bait liriknya. Paling teruja, lirik lagu ada sedikit kaitan dengan kehidupan Alyah sendiri,” ujarnya yang pernah mengalami kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawanya di Pagoh, Johor, awal tahun lalu.
Tidak kecewa
Sejak kisah perkahwinan impiannya musnah didedahkan kepada umum, Alyah pasrah. Dia meraih simpati dan sokongan daripada semua pihak yang mahu gadis berbintang Capricorn ini bangkit semula. Alyah perlu lupa segala kenangan silam bersama kekasihnya yang berasal daripada Medan, Indonesia itu.
“Alyah sudah lupakan cerita dengan bekas tunang itu. Orang tua pernah berkata, lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Mungkin ada hikmah di sebalik peristiwa itu. Sungguh, tiada kata yang boleh menggambarkan perasaan ketika putus tunang,” katanya.
Saat ditanya tentang peningkatan usia yang melewati pangkal siri tiga tidak lama lagi, Alyah hanya mampu tergelak. Seikhlasnya, Alyah mengatakan dia sudah bersedia untuk bergelar isteri. Bila-bila masa sahaja sekiranya ketemu jodoh. Tambahan pula, seringkali diperingatkan oleh ahli keluarganya tentang gelaran anak dara tua.
“Tidak banyak syarat untuk memiliki hati Alyah. Si dia perlu lelaki bujang yang belum dimiliki oleh mana-mana wanita. Alyah juga berharap ketemu jodoh yang bukan dari bidang Alyah. Pada masa yang sama, Alyah minta restu untuk meneruskan perjuangan dalam bidang nyanyian yang menjadi darah daging ini,” katanya.
Alyah juga tidak menetapkan sebarang jangka masa tertentu untuk mengakhiri zaman bujangnya. Apa yang penting adalah kesediaan si dia menerima apa juga kebaikan dan kelemahan anak campuran India, Portugis dan Kepulauan Riau itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: