
Kegagalan membayar komisen yang sepatutnya diperolehi oleh mereka adalah berpunca daripada sikap majikan yang sengaja melengah-lengahkan bayaran dan memberi 'seribu satu alasan'.
Salah seorang mangsa, Chong Huey Vern, 21, berkata, jumlah komisen yang sepatutnya dibayar oleh majikan hasil kejayaannya menjual produk kecantikan itu adalah sebanyak RM5,000.
“Saya berhenti menjadi jurujual sejak Oktober 2005, dan sehingga kini masih belum memperolehi komisen berkenaan walaupun majikan berjanji akan membayar dengan memaklumkan tarikh pembayaran. Namun, sehingga kini tiada sebarang bayaran yang diterima dan majikan memberikan pelbagai alasan,” katanya dalam sidang media di sini, semalam.
Difahamkan, produk kecantikan jenama luar negara yang menjual barangan kosmetik pelentik bulu mata ini menyewa ruang niaga pusat membeli-belah pada kadar masa tertentu dan lokasi yang berbeza.
:Sementara itu, penyelia produk kecantikan yang ingin dikenali dengan panggilan Chew berkata, majikan yang berumur awal 30-an itu sengaja memberi pelbagai alasan dan tarikh pembayaran yang sering ditunda hanya semata-mata untuk mengaut keuntungan peribadi.
“Ramai jurujual berjaya mencapai sasaran jualan namun kesemuanya menjadi mangsa apabila majikan enggan membayar komisen yang sepatutnya diperolehi.
“Kami pernah berjumpa dengan majikan untuk meminta bayaran gaji dan komisen yang sepatutnya kami perolehi, namun dihamburi pula dengan kata-kata kesat,” katanya.
Dalam pada itu, menurut salah seorang jurujual yang tidak mahu identitinya didedahkan berkata, majikannya itu sering mendesak mereka untuk melakukan jualan produk berkenaan di luar negara meskipun mereka tidak bersetuju.
“Sebelum ini terdapat ekspo kecantikan di Jakarta dan kesemua jurujual dikehendaki hadir ekspo berkenaan dan sekiranya gagal, mereka perlu membayar ganti rugi.
“Perbelanjaan ke luar negara dan segala kos adalah tanggungan sendiri dan atas dasar keselamatan, dua jurujual tidak mahu menghadiri ekspo berkenaan diminta membayar ganti rugi sebanyak RM1,000 seorang kepada majikan,” katanya.
Produk kecantikan yang beribu pejabat di ibu negara ini juga difahamkan tidak memberi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada kesemua jurujual dan aduan telah dilakukan di Mahkamah Industri untuk tindakan selanjutnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: