Wednesday, June 3, 2009

Serina mula rasa debaran 1 Januari 2010

Ceria...Serina bakal bergelar isteri 1 Januari depan

JIKA mengikut pada perancangan asal, anak gadis kepada selebriti chef terkenal, Chef Wan ini sepatutnya telah meraikan kebahagiaan berganda dalam dirinya pada tarikh 1 Jun iaitu kelmarin.

Bukan saja meraikan hari lahirnya yang ke-26, malah Serina Redzuawan juga sepatutnya turut melangsungkan majlis pernikahan dengan kekasih hatinya, Gavin atau nama Islamnya, Salahudin pada tarikh tersebut.

Malah, bapanya sebelum ini juga pernah melahirkan rasa teruja untuk melihat anak perempuan kesayangannya itu mengakhiri zaman solo dengan jejaka Inggeris yang mula dikenali Serina sejak setahun lalu.

Namun, disebabkan faktor-faktor tertentu, pelakon dan pengacara ini terpaksa menunda majlis pernikahannya itu ke tarikh baru iaitu 1 Januari 2010. Menurut Serina, faktor masa menjadi penyebab utama mengapa pernikahannya itu ditangguhkan.

"Saya memang ingin sangat buat majlis itu pada 1 Jun sebab tarikhnya sama dengan hari lahir saya. Tapi bila difikirkan semula, memang tidak sesuai pula memandangkan tarikh itu jatuh pada hari Isnin.

"Keluarga Gavin juga tidak mempunyai cuti yang panjang untuk hadir. Jadi, setelah berbincang semula, kami putuskan untuk langsungkan majlis itu pada 1 Januari tahun depan.

"Rasanya tarikh itu sangat sesuai kerana ia adalah hari pertama tahun baru dan sekaligus bermaksud fasa hidup yang baru dalam diri saya," kata Serina yang ditemui pada majlis pelancaran drama Akademi Polis di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Pasangan kekasih ini akan bernikah di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta manakala majlis persandingan pula akan diadakan keesokan harinya iaitu pada 2 Januari.

Meskipun masih ada lebih kurang tujuh bulan sebelum menjelangnya hari bersejarah itu, akui Serina, dia sudah mampu merasakan 'debaran' itu.

"Gementar itu memang ada, tapi saya tidak nafikan saya sebenarnya memang tidak sabar nak berkahwin. Bukannya apa, selama ini saya seronok melihat kehidupan pasangan yang sudah berkahwin...ada orang nak tolong jagakan kita.

Serina akui tertarik dengan sikap Gavin yang pandai membawa diri

"Tetapi buat masa ini, memang belum banyak persiapan dibuat. Saya banyak serahkan kepada Papa untuk uruskan sebab saya rasa dia lebih pandai hal-hal begini. Tapi saya bagi juga idea dan konsep yang bagaimana saya mahukan," kata Serina yang inginkan majlis perkahwinan berkonsepkan 'garden wedding'.

Mengimbas tentang perkenalannya dengan jejaka berusia 33 tahun yang mempunyai bisnes berkaitan bidang bola sepak itu, tutur Serina, dia sendiri tidak menyangka akan jatuh hati dengan lelaki 'mat saleh'.

"Sebenarnya ketika saya putus cinta dengan seorang jurutera tidak lama dulu, memang saya sudah putus asa dengan cinta. Tapi ada hikmah di sebalik semua itu.

"Saya bertemu Gavin pun di sebuah majlis. Dia tiba-tiba datang tegur saya dan bagi kadnya pada saya. Tapi ketika itu saya cakap saya adalah seorang pelajar. Dia minta nombor telefon bimbit saya, tapi saya cakap saya tak ada dan kalau nak juga, saya boleh berikan nombor Papa saya.

"Memang kelakarlah ketika itu. Dia tidak berani pula ambil nombor Papa saya. Nak dijadikan cerita, saya terjumpa semula kad yang dia berikan dalam 'jeans' saya tidak lama kemudian dan saya pun tidak tahu kenapa hati ini tergerak untuk hubungi dia," kata Serina menceritakan tentang awal perkenalan mereka.

Ujarnya lagi, Gavin akhirnya tahu dia merupakan seorang artis setelah melihat wajah Serina menghiasi iklan mempromosikan sebuah akhbar yang diletakkan di sebuah tempat menunggu bas.

"Sebab itu saya selesa dengan dia sebab dia tidak melihat saya sebagai seorang artis. Dia suka seorang perempuan yang selamba dan berdikari. Dia juga 'orang putih' yang tak banyak kerenah, mungkin sebab dia pun sudah lapan tahu menetap di sini.

"Apa yang paling saya gembira ialah melihat dia boleh sesuaikan diri dengan hidup kampung. Saya pernah bawa dia balik ke kampung di Sungai Koyan, Pahang dan dia tidak nampak kekok pun. Malah, Gavin cukup sukakan makanan Melayu terutamanya rendang daging.

"Dalam erti kata lain, dia memang pandai bawa diri. Sebab itu saya rasa Papa juga berkenan dengan dia sebab selain merupakan seorang yang terpelajar, dia juga seorang yang cukup sederhana," kata Serina sambil menunjukkan wajah jejaka kacak yang berjaya mencuri hatinya itu menerusi gambar yang disimpan di dalam telefon bimbitnya.

Kata Serina lagi, penerimaan ahli keluarga Gavin terhadap dirinya juga amat baik. Pelakon ini akui pernah bertemu keluarga Gavin ketika berkunjung ke London tidak lama dulu.

"Alhamdulillah, mereka 'ok'. Dan jika Allah benar-benar merestui jodoh kami ini, saya akan cuba sama-sama bimbing Gavin dengan agama kita. Saya pun sedar saya bukanlah hebat sangat, tetapi saya akan belajar bersama-samanya.

"Lagipun Gavin sendiri memang sudah lama peluk agama Islam, sebelum kenal dengan saya lagi. Dia memang tertarik dengan Islam dan sentiasa ingin tahu tentang agama ini. Jadi, tidak timbul banyak masalah," katanya.

Jadi penyanyi

Setelah Nabila Huda, Liyana Jasmay dan Diana Danielle 'mencuba' nasib melangkah ke bidang nyanyian, Serina juga bakal menyertai 'senarai' pelakon yang akan bergelar penyanyi.

Menurut aktres ini, dia telah ditawarkan oleh syarikat Metadome untuk menjadi artis rakaman mereka dan setakat ini, dia telah pun tampil dengan single, Dengar, ciptaan Shazy yang kini sudah mula dimainkan di beberapa stesen radio.

"Saya akui bakat nyanyian saya mungkin tak seberapa. Tapi saya rasa tidak salah untuk cuba memandangkan tawaran seperti ini bukan selalu akan dapat.

"Apapun, saya masih belum boleh dedahkan secara lanjut lagi. Saya rasa lebih tunggu syarikat rakaman yang umumkan kelak," kata Serina yang akan muncul di dalam drama bersiri Akademi Polis musim keempat bermula 10 Jun ini, setiap Rabu pukul 9.30 malam, di TV9.

Selain berlakon, Serina juga masih terlibat di dalam bidang pengacaraan termasuklah program pelancongan, Zoom Malaysia.

1 comment:

  1. Wow mana tak berdebar... batang besar nak masuk lobang... kalau i pon berdebar juga wow

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: