Friday, June 26, 2009

ORANG masih harapkan Radhi

Kumpulan ORANG mungkin agak janggal di kalangan peminat muzik , namun bila sebut kumpulan OAG pasti ramai yang kenal. Bukan sengaja mahu menukar nama kumpulan, namun sejak Radhi mengambil keputusan untuk bergerak solo awal tahun ini, ketika itulah kumpulan ini menggelar diri mereka sebagai ORANG.

“Nama OAG itu sudah serasi dengan Radhi sebab itulah kami tukar nama lain. Tapi nama ORANG itu pun tak jauh larinya dengan OAG di mana ketiga-tiga hurufnya masih berada dalam perkataan ORANG itu. Sementara Radhi meneruskan kariernya secara solo, selagi itulah kami akan menggunakan nama ini (ORANG) dan sekiranya Radhi kembali bersama, kami akan menggunakan nama OAG semula.

“Mungkin bunyinya macam pelik, tapi itulah hakikatnya kerana kami sememangnya masih mengharapkan Radhi untuk kembali bersama kami dan meneruskan OAG seperti dulu. Lagipun sudah 15 tahun kami bersama dan sepanjang tempoh itu terlalu banyak kenangan yang membuatkan kami semakin akrab dan serasi bersama” jelas Fizul yang masih gigih meneruskan perjuangan muzik secara berkumpulan bersama tiga anggota OAG yang lain iaitu, Nizam, Eric dan Zul.

Ditanya bagaimanapun mereka meneruskan perjuangan tanpa Radhi, Fizul berkata, memang pada mulanya mereka berasa janggal, namun lama-kelamaan mereka sudah terbiasa tanpa Radhi. Malah dialah yang mengambil tempat Radhi sebagai vokalis.

“Sebelum ini sayalah penyanyi latar untuk kumpulan OAG dan sepanjang Radhi bersama OAG, saya pernah menyanyi. Kalau dia tidak dapat buat show, sayalah penggantinya. Setakat ini, respon yang diterima dari peminat sangat baik,” kata Fizul.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: