Monday, January 19, 2009

Siti Suka, Datuk K Pun Suka......





Mengujakan. Bagi peminat yang sudah pun mendapatkan naskhah terbaru kontemporari tradisional Lentera Timur kepunyaan penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza, pasti mereka tertarik dengan kulit albumnya yang mempesonakan.

Jika hendak tahu, ada cerita di sebaliknya. Pemilihan gambar-gambar yang dimuatkan dalam album itu sebenarnya merupakan pilihan hati suami tersayang, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau terkenal dengan gelaran Datuk K.

Enggan berselindung, Siti sendiri 'membocorkan' rahsia itu sewaktu ditemui pada majlis pelancaran albumnya yang diadakan di Menara Yayasan Tun Razak, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Tampil anggun dalam busana rona hitam dan hijau tua rekaan Amir Luqman, Siti mengakui gambar yang dipotretkan oleh Ikram Ismail itu amat disukai oleh Datuk K.

"Suami saya sempat melihat himpunan gambar yang dirakam, malah dia amat berpuas hati dengan penghasilan gambar itu.

"Secara kebetulan, saya sendiri suka hingga mempengaruhi fikiran saya untuk memuatkan gambar-gambar yang diambil dalam album terbaru saya.

"Saya suka, Datuk K pun suka. Macam sehati sejiwa pula. Rangkaian gambar yang ada, memang menjadi kesukaan kami," jelas Siti terang-terangan memperlihatkan keharmonian yang dikecapi dalam berkongsi hidup bersama Datuk K.

Gagal berkolaborasi dengan Aidit Alfian

Sesuatu yang istimewa ialah lagu-lagu yang dimuatkan album itu dihasilkan daripada Bengkel Cipta Ekspres Berirama Malaysia Bersama Datuk Siti Nurhaliza menerusi kerjasama Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) yang diadakan setahun lalu di Port Dickson, Negeri Sembilan.


SEHATI SEJIWA. Impak kasih sayang yang bergabung menjadi satu, Datuk K turut sudi mengabadikan daya kreativitinya terhadap karya terbaru seni isteri tersayang.


Sebanyak 12 buah lagu idea komposer-komposer terkenal tanah air telah dihasilkan, tetapi hanya 10 dipilih Siti untuk album itu.

Siti tanpa berselindung mengaku menggemari semua lagu yang dihasilkan.

Membuat pilihan yang terbaik di antara yang terbaik memang menyukarkan Siti. Lantaran itu, ada beberapa lagu tidak dapat 'menembusi' tembok kukuh sekali gus tidak tersenarai dalam Lentera Timur.

Siti sepatutnya menyanyikan sebuah lagu gubahan komposer popular, Aidit Alfian. Namun harapan Siti bertukar menjadi kecewa kerana lagu yang diimpikan sudah tertulis untuk dilagukan penyanyi lain.

"Saya pernah bertanya kepada Aidit mengapa lagu miliknya tidak dapat dimasukkan ke dalam album Lentera Timur.

"Awal-awal lagi Aidit memohon maaf sambil menjelaskan bahawa dia telah memberikan lagu itu kepada orang lain.

"Saya pun tidak boleh hendak berbuat apa-apa. Saya anggap tiada rezeki untuk bekerjasama dengan Aidit," beritahu Siti pasrah.

Diberi suntikan baru

Tidak dinafikan, ritma dan alunan karya yang berkumandang dalam Lentera Timur pantas sahaja menarik perhatian telinga.

Bukan ibarat karya tradisional klise lain yang menampilkan sepenuh konsep tradisional asli, sebaliknya Lentera Timur dibikin dalam bentuk bervariasi agar peminat tidak mudah bosan tatkala mendengarnya.

Album terbaru Siti yang dipasarkan penghujung Disember lalu merupakan album studionya yang ke-13, manakala ia merupakan album kelima untuk diskografi tradisionalnya selepas penghasilan Cindai (1997), Seri Balas (bersama Noraniza Idris) (1999), Sahmura (2000) dan Sanggar Mustika (2002).

Setelah puas menanti penuh sabar selama enam tahun, maka tiada yang lebih menggembirakan Siti apabila album idaman berhasil muncul menemui khalayak seluruh negara. Pada awal Mac nanti, album itu bakal memasuki pasaran Indonesia.

Ada riak gembira yang sukar terbendung pada wajah Siti. Perkara itu memang tidak mampu disembunyikan lagi saat dirinya diwawancara pihak media.




Menyingkap sejarah sebelum kelahiran Lentera Timur, Siti berdepan dengan situasi yang cukup menyulitkan apabila dia sukar untuk mencari lagu-lagu berentak etnik tatkala industri seni kini menunjukkan situasi suram.

"Memang susah saya hendak mencari lagu-lagu yang ingin dimasukkan ke dalam album Lentera Timur.

"Saya harap album ini dapat memberi sinaran cerah untuk bidang muzik terutama lagu-lagu yang berjiwa tradisional.

"Ia menampilkan banyak kelainan berbanding album tradisional lain. Ia mempersembahkan pelbagai rentak bersesuaian dengan peredaran zaman hingga album ini mampu memikat hati semua pendengar tanpa mengira usia.

"Memang saya gembira tidak terhingga dapat melahirkan album Lentera Timur," jawab Siti penuh keyakinan.

Demi kepuasan untuk peminat tersayang yang tidak pernah berhenti menyokong Siti selama 13 tahun mengabdikan diri dalam lapangan seni, Siti turut menampilkan elemen strings menerusi semua lagu dalam album yang dipimpin oleh Eddie Marzuki itu.

"Suntikan baru yang diperkenalkan menerusi album ini bakal memberi nafas baru yang lebih segar dalam seni tradisional.

"Lagipun, sudah menjadi impian saya bagi memperdengarkan alunan strings dalam album sebelum ini, cuma saya belum lagi berpeluang.

"Album Lentera Timur akhirnya menunaikan cita-cita saya untuk muncul dengan sebuah album yang dihasilkan dengan bunyi-bunyian strings," kata Siti yang ingin muncul dengan muzik orkestra pula selepas ini jika berpeluang.

Komposer yang telah mewarnai album Lentera Timur dengan ilham kreatif mereka ialah Johari Teh untuk lagu Di Kayangan Kita, Johan Nawawi (Bintang Malam), Khairil Johari Johar (Bulan Yang Mesra dan Rasa Antara Kita).

Selain itu, Lentera Timur tidak terkecuali memuatkan lagu berjudul Ada Masa Mata yang merupakan ciptaan M. Nasir,

Senyum Minang Manis (Zul Mahat), Joget Menanti Kasih (S. Atan), Seloka Budi (Adnan Abu Hassan) dan Di Taman Teman (Fauzi Marzuki).

Lentera Timur juga menyaksikan kembalinya komposer yang cukup sinonim dengan pembabitan Siti melalui lagu-lagu etnik iaitu Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau terkenal dengan gelaran Pak Ngah yang menyumbangkan lagu Jelmakanlah Ayumu.

Siti juga menyelitkan sebuah lagu ciptaan komposer seberang, Katon Bagaskara berjudul Cinta Ini yang memberi nafas baru apabila muzik tradisional dan moden digabungkan oleh Aubrey Suwito yang bertindak sebagai penerbit untuk lagu tersebut.

Album bermutu yang diterbitkan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) dan diedarkan oleh Suria Records Sdn. Bhd. (SRC) itu sudah pun berada di pasaran sejak 29 Disember lalu dengan harga RM29.90.

Khusus buat individu yang 'berkiblatkan' Siti, jangan lupa untuk mendapatkan album Lentera Timur kerana anda pasti akan mendapat kepuasan melalui keindahan seni warisan tradisi Malaysia yang semakin jauh ditinggalkan hari demi hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: