Monday, January 19, 2009

Permulaan baik menjadi pengacara


PENCARIAN Gadis Melayu yang berlangsung sejak Julai tahun lalu sudahpun berakhir.

Ternyata malam gemilang peringkat akhir program realiti TV terbitan TV9 yang disiarkan secara langsung dari auditorium Dewan MajlIis Bandaraya Shah Alam itu menjadi milik finalis dari Kuantan, Pahang, Khairul Noormaidah Zali atau Aida, 23, apabila diangkat sebagai Ikon Gadis Melayu TV9.

Tuah nampaknya berpihak kepada penuntut tahun akhir jurusan komunikasi dan bahasa moden, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah ini kerana paling berketerampilan berbanding empat finalis lain.

Gadis manis ini juga berjaya meraih undian khidmat pesanan ringkas (SMS) tertinggi daripada barisan juri profesional dan penonton yang sepakat memilihnya sebagai pemenang.

Sempena kemenangannya itu, Aida berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 serta hadiah iringan lain, manakala empat finalis lain membawa pulang wang tunai, RM1,000 setiap seorang termasuk hadiah iringan.

Pada malam yang cukup bermakna itu juga, Aida yang tampil dengan gimik berkerusi roda berjaya meraih perhatian penonton ketika membaca puisi berjudul Kasih Sayang dengan penuh perasaan dan dramatik. Dia juga mengakhiri persembahannya dengan pantun empat kerat yang indah dengan penuh tertib seorang gadis timur.

Selain tampil dengan persembahan menarik dan kreatif, Aida juga dapat memberi jawapan yang tepat dan meyakinkan penonton dan juri ketika mengupas tiga ciri penting untuk menjadi Ikon Gadis Melayu.

Bagi Aida sendiri, kehadiran ibu bapa tercinta di majlis itu banyak memberi kekuatan kepadanya untuk menampilkan yang terbaik pada persembahan peringkat akhir pertandingan itu.

“Saya juga mengambil masa tiga minggu berlatih untuk memberikan yang terbaik pada persembahan. Saya cuba untuk menangis ketika menghayati watak, tetapi saya tetap ingat pesanan keluarga bahawa wajah saya pasti nampak hodoh jika menangis di pentas,” katanya.

Apapun, kata Aida, dia mengakui gelaran sebagai Ikon Gadis Melayu TV9 itu berat untuk digalasnya.



“Saya akan berusaha memilkulnya sebaik mungkin dan menggunakan sebaik mungkin ilmu yang dipelajari dalam program ini.



Terus terang, saya menimba pengalaman cukup berharga dalam pertandingan ini. Program ini benar-benar memberikan impak yang cukup positif dalam diri saya.

“Jika sebelum ini, saya mempunyai darah gemuruh apabila di pentas, kini tidak lagi. Sebaliknya, saya berasa lebih yakin dengan kebolehan diri sendiri dan menggilap potensi sedia ada dalam diri. Mengikut perancangan saya akan membuat latihan praktikal dan bertugas sebagai wartawan penyiaran di TV9 selepas ini.

“Saya berharap gelaran ini menjadi permulaan yang baik untuk saya merealisaikan impian menjadi pengacara berjaya nanti. Jika diberi peluang, saya lebih meminati program bercorak keagamaan,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Sultanah Kedah, Tuanku Sultanah Haminah Hamidun.

Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Abdul Mutalib Datuk Seri Mohamed Razak dan isteri, Datin Radziah Daud; Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan dan Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda.

Dua lagi finalis yang memberi saingan sengit pada Aida ialah peserta paling muda, Nurul Khusna Uma, 20, dari Kuantan, Pahang dan Nur Aishah Zainal, 27, dari Alor Gajah, Melaka.

Nurul Khusna yang juga finalis pilihan ramai ini memulakan persembahannya bermain alat muzik gamelan yang juga alat muzik tradisi negeri kelahirannya Pahang dengan diirigi kumpulan Mohram.

Penuntut berbakat ini membaca gurindam bersama seorang anggota Mohram, Ramli.

Persembahannya cukup bersemangat kerana selain bersajak dia juga bersilat.

Sayangnya, dia tidak dapat memberikan jawapan yang ringkas dan padat ketika menjawab soalan yang dikemukakan juri.

Nasib pula nampaknya tidak menyebelahi Nur Aishah yang sudah berusaha yang terbaik untuk peringkat akhir Gadis Melayu itu.

Keyakinan dirinya terserlah ketika menjayakan persembahan sebagai Puteri Hang Li Po dengan dibantu penampilan khas pelakon kacak Zally Hussain.

Selain mempunyai kelebihan bertutur dalam bahasa Mandarin, dia juga boleh menyanyi dan menari dengan baik.

Aishah yang tampil dengan imej bertudung pada peringkat akhir Gadis Melayu juga tampil dengan jawapan yang meyakinkan ketika menjawab soalan daripada juri, Stephen Rahman, tetapi nampaknya dia terpaksa akur dengan keputusan juri dan penonton yang tidak menyebelahinya pada malam itu.

Bagaimanapun, dua lagi finalis, Noor Afzan Mohd Khan, 27, dari Kota Kinabalu, Sabah dan Siti Nurashikin Mohd Noor, 22 dari Sungai Petani, Kedah sudahpun dijangka kekalahan mereka pada malam itu.

Noor Afzan, gadis tinggi lampai yang juga satu-satunya finalis tidak bertudung yang layak ke peringkat akhir program ini gementar dan teragak-agak ketika menjawab soalan berkaitan usaha memelihara warisan budaya Melayu.

Selain membaca puisi, Noor Afzan yang bertugas sebagai penolong perpustakaan juga menunjukkan kebolehannya menari tarian tradisional Sabah dengan iringan empat penari latar.

Begitu juga dengan Siti Nurashikin, finalis yang wajahnya dikatakan seiras dengan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin ini.

Dia juga tidak dapat menjawab soalan dengan baik ketika ditanya juri.

Apapun, peserta paling akhir ini bijak memilih persembahan kerana memilih isu kekejaman rejim Zionis di Palestin.

Sajaknya yang berjudul Tangisan Di Gaza itu begitu hiba dengan tiupan seruling dari Mohram dan dibantu dengan penampilan finalis Akademi Nasyid TV9, Cicik. Sementara itu, ketika ditanya kriteria pemilihan juara pada malam itu, Pakar Bahasa dan Karyawan Tamu di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Datuk Paduka Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim yang mewakili barisan juri pada malam itu berkata, semua lima finalis yang bertanding pada peringkat akhir itu memang menepati ciri yang dicari dalam pertandingan Gadis Melayu.

“Semua finalis tampil dengan kostum sesuai dan persembahan yang menarik bertepatan dengan konsep program Gadis Melayu. Bagaimanapun, barisan juri sepakat untuk memilih yang terbaik.

“Ternyata, Aida yang paling tepat untuk digelar Ikon Gadis Melayu yang dicari penganjur. Saya juga difahamkan penganjur (TV9), Aida juga menjadi pilihan penonton dengan meraih undian tertinggi sebanyak 14 peratus (18,000 undian),” katanya.

Empat lagi juri profesional yang menilai tugasan terakhir peserta Gadis Melayu ialah Toh Puan Seri Diraja Aini Datuk Abdullah, penceramah agama, Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood, penyanyi dan penceramah motivasi Dr Fazley Yaakob dan pelakon teater berpengalaman, Stephen Rahman Hughes.

Program yang mengetengahkan Ikon Gadis Melayu Idaman ini menampilkan gandingan artis serba boleh dan menghiburkan, Adlin Aman Ramli dan Afdlin Shauki.

Tidak ketinggalan, tetamu dihiburkan dengan persembahan nyanyian dari penyanyi popular, Jamal Abdillah dan Hazami.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: