|
| MINAT nyanyian sudah lama berputik dalam hatinya. Tinggal lagi, peluang saja belum ada. |
Namun, impian pelakon jelita Diana Danielle Beeson (Danielle), 17, untuk bergelar artis rakaman semakin menjadi kenyataan apabila proses rakaman akan dijalankan beberapa bulan saja lagi.
Kelmarin, Diana mengunjungi Balai Berita bersama ibunya serta Pengarah Urusan Royal Prima Musikindo, Octav Panggabean yang bertindak sebagai penerbit merangkap komposer untuk album sulungnya.
“Sebenarnya,sudah lama saya menantikan peluang ini, sejak kecil lagi. Tapi rezeki lebih berpihak pada bidang lakonan.
“Akhirnya kami bertemu dengan orang yang mampu merealisasikan impian saya iaitu Octav. Saya mengenalinya melalui Bill Bora (Publisis Industri Fesyen dan Hiburan Tanahair) sewaktu ke Jakarta tidak lama dulu.
“Selepas berbincang dan mendengar suara saya dia bersetuju bekerjasama. Melihat ia sebagai satu peluang keemasan tambahan pula kerjaya lakonan di sini belum begitu menyerlah, eloklah saya memanfaatkannya,” katanya.
Danielle yang sepatutnya ke Jakarta April ini terpaksa menunda pemergiannya pada Mei kerana perlu mengikuti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bermula 11 Mac sehingga 10 Jun.
“Saya begitu teruja untuk mengikuti program berkenaan kerana itulah peluang untuk berehat. Selain tidak sabar berkenalan dengan rakan sebaya kerana selama ini saya lebih banyak dikelilingi mereka yang lebih dewasa.
“Melalui program itu nanti, peserta akan ditekankan mengenai disiplin dan saya melihat ia sebagai satu persediaan yang baik untuk diamalkan sebelum memulakan proses rakaman,” katanya.
Sementara itu, Octav yang mengambil kesempatan mengunjungi Kuala Lumpur untuk menyelesaikan beberapa perbincangan, memaklumkan kali pertama bertemu Danielle, dia tidak mengetahui gadis itu adalah pelakon remaja popular di negara ini.
“Saya tidak tahu dia pelakon. Paras rupa yang cantik juga bukan alasan mengapa saya bersetuju menerbitkan albumnya sebaliknya saya melihat gadis ini mempunyai potensi untuk diketengahkan.
“Orangnya cantik, tinggi, punya personaliti menarik dan suaranya bagus. Bagi saya Danielle mempunyai pakej lengkap untuk bergelar artis.
“Dalam bidang infotainment, memang memerlukan pakej. Bersandarkan bakat saja tidak mencukupi kerana rupa paras juga antara tarikan utama selain usia belasan tahun dilihat permulaan yang baik untuk membina karier dan paling lewat sekitar 25 tahun.
“Di Indonesia sekarang ini, susah untuk dapat artis wanita yang mempunyai semua elemen ini dan yang ada pun seperti Rossa, Citra Bunga Lestari, Agnes Monica dan Julia Parez. Sementara Kris Dayanti dan Ruth Sahanaya misalnya, mereka adalah artis senior,” katanya.
Octav berkata, sebagai produser album, mereka biasanya mempunyai gerak hati sama ada seseorang bakat baru itu boleh diketengahkan atau tidak.
Album sulung gadis campuran Melayu-Amerika (sebelah bapa) itu, membariskan nama besar seperti Pasha dari kumpulan Ungu, Yocky dan Tompi yang dikenali sebagai ikon Jazz Indonesia termasuk Octav sendiri.
Ia menelan belanja RN200,000 hingga RM300,000 merangkumi, pembikinan dan promosi memandangkan di Indonesia terdapat 600 stesen radio dan lebih 30 stesen televisyen.
“Saya jangkakan single pertamanya dapat disiapkan secepat yang mungkin sebelum dia mengikuti PLKN agar lagu itu boleh diputarkan di radio sekitar Mei. Kemudian disusuli rakaman sepenuhnya Jun nanti.
“Jika tiada halangan single pertamanya akan dijadikan lagu tema filem usaha sama produksi Indonesia dan Korea berjudul, My Soul Ecapes,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: