DALAM kehidupan sehari-hari, walau sesibuk mana individu itu melayan kerja, pasti datang satu detik penuh kesunyian. Saat diri berasa segalanya terdiam seketika. Ia seperti jarum masa terhenti dan waktu menjadi terlalu panjang.
Inilah yang dilalui si duda Norman Hakim setiap pagi apabila bangun daripada tidur. Lima hingga ke sepuluh minit dirasakan panjang dan waktu itu segala rasa sunyi mencuit dirinya.
"Waktu terjaga itu saya selalu bertanya adakah saya bermimpi atau berada dalam realiti," ujar pemegang nama penuh Mohamed Nurhakim Zaidon ini.
Namun setiap kali itu juga dia lantas bangun dengan azam untuk menebarkan aura positif di mana-mana.
Islam bukan eskapisme
Norman tenang, dia banyak tersenyum dan ramai yang setuju bahawa dia lelaki yang senang ditemu ramah dan berbincang. Norman ditanya daripada manakah segala ketenangan itu hadir tatkala angin panas menderu menerpa jasad dan egonya.
Jelasnya dalam nada tegas, dia bukan menggunakan kata kunci Islam sebagai eskapisme. Sebaliknya itulah pegangannya sejak dahulu lagi. Dan itu diteruskan untuk seorang Norman pada 2009.
"Apa jua dugaan yang datang bagi saya ia sebuah pembelajaran kehidupan. Saya sedaya upaya melakukan yang terbaik.
"Bila orang menganggap saya membotakkan kepala kerana nazar, apa yang boleh saya katakan ini adalah anjakan paradigma dalam hidup saya.
"Botak boleh dianggap sebagai metafora saya kembali kepada asas seorang manusia. Itu yang saya lihat apabila memandang ke cermin," katanya.
Menegaskan bahawa dia sentiasa memegang erat konsep keagamaan, ketenangan itu terus hadir dalam hatinya kerana dia mahu mendekatkan lagi diri dengan Yang Maha Esa.
Saya tanya dia kembali secara umum, manusia sering lupa dan hanya akan mendekatkan diri kepada Allah apabila ditimpa musibah atau berdepan polemik. Mungkin bukan semua tetapi itulah kebiasaannya.
Sekali lagi Norman menegaskan bahawa bukan menggunakan Islam sebagai eskapisme, dia konsisten menjalani ibadah dan berpegang pada prinsip itu sejak awal lagi.
Yang penting juga ialah dia mengimplentasikan segala yang pernah diajar oleh ibu bapanya.
"Saya percaya pada apa yang tertulis di Loh Mahfuz dan tidak sekali-kali menyalahkan takdir. Orang luar mungkin nampak dari segi perilaku dan pakaian saya sahaja dan terus menghakimi saya.
"Namun yang penting adalah hubungan saya dengan Allah. Saya sering solat sunat dan itulah punca saya mendapat segala kekuatan," katanya dalam bersahaja.
Hormati sensitiviti feminisme
Realitinya lelaki ini dianggap romeo dan dibenci oleh segolongan isteri yang merasakan dia bersifat kejam. Bagaimanapun, Norman akur dan menjawab ringkas - dia berbalik kepada fitrah manusia yang sering menghakimi.
"Saya sedar saya telah mencetuskan sensitiviti di kalangan kaum hawa. Kontroversi ini membabitkan dua orang wanita sekali gus. Tapi itu adalah proses pembelajaran saya. Saya akan cuba perbaiki dan terpulang kepada sesiapa untuk membuat penilaian.
"Hidup ini mudah selagi kita tahu arah tuju kita. Saya bersyukur dengan apa yang terjadi dalam kehidupan saya. Tuhan terbitkan dugaan.
"Dan saya ibarat dicuit untuk diingatkan," ujar lelaki berbintang Capricorn ini yang banyak menghabiskan masa membaca buku perihal perniagaan.
Dalam nada canda tapi mahu melakukannya, dia selepas ini ingin lebih memahami isu wanita. "Saya mahu baca buku Men are from Mars, Women are from Venus pula. Mungkin daripada situ, saya akan banyak belajar."
Memey tidak sembunyi
Satu lagi hal yang Norman sedar sibuk diperkatakan adalah tentang 'perkahwinannya' dengan pelakon muda dan cantik, Memey Suhaiza. Namun, katanya, dia menganggap itu satu lagi spekulasi yang dilontarkan padanya.
"Saya belum terfikir mahu berkahwin. Belum ada perancangan. Kalau ramai mahu tahu dan terus bertanya, saya boleh katakan 'hubungan kami dalam bentuk profesional'. Bunyinya klise.
"Tapi saya kenal dia dan tidak mungkin saya akan terus putuskan perkenalan ini hanya kerana spekulasi dan kontroversi. Terpulang kepada orang luar untuk berkata apa."
Apabila saya tanyakan dia, adakah dia merupakan perancang Memey bersembunyi daripada khalayak terutama media, sekali lagi Norman tenang menjawab:
"Dia tidak hilangkan diri. Dia berada di kampung halaman. Kita kena hormati keluarga dia apabila mereka buat keputusan untuk Memey berdiam diri."
Kekuatan seorang wanita
Dalam temu ramah bersama lelaki tenang ini, dia sendiri mengakui bahawa lelaki memerlukan pemangkin untuk berjaya dan ia adalah wanita.
Sengaja ditanya tentang siapa pemangkin itu sekarang, kedengaran masih klise tapi dalam nada ikhlas Norman menjawab, Hajah Kamariah Kamat, ibu yang selalu memberi perangsang dan semangat kepadanya.
Masih dalam irama yang sama bercerita tentang kaum yang tercipta daripada rusuk Adam, Norman menjelaskan kekuatan seorang wanita itu adalah intelektualnya.
"Kalau mengikut saya, saya ini seorang yang suka bercakap. Jadi apabila bersembang, saya sukakan orang yang memberi respons dan lontaran yang baik sebagai input. Daripada situlah nampaknya kualiti seorang wanita.
"Lelaki memerlukan pemahaman dan penghargaan. Wanita pula perlukan kasih sayang serta perhatian. Itu saling melengkapi."
Apabila ditanya tentang seleranya terhadap wanita, tergelak Norman apabila saya teka yang dia cenderung kepada wanita berkulit putih.
"Saya kategorikan diri sebagai orang yang banyak menggunakan otak kanan. Golongan ini kreatif dan melihat daripada sudut seni serta sukakan yang indah.
"Indah bukan hanya luaran tetapi harus memasuki sudut intelektual. Fizikal hanya introduksi pertama tetapi langkah seterusnya adalah minda," katanya ringkas tanpa menjawab soalan secara spesifik.
Itulah Norman yang kini dianggap romeo dan juga duda panas oleh segolongan peminat gosip industri seni tanah air.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: