ONY JAA cuba menyuntik lakonan berkesan menerusi penampilannya kali ini. |
Filem box-office Thailand kurang dialog tetapi penuh dengan seni pertahanan diri
INFO:
Filem: Ong Bak 2
Pelakon: Tony Jaa, Somdet Kaew-Ler, Dan Chupong Sorapon Chatree, Soranyu Wongkrajang, Santisuk Promsiri dan Pattanma Patthong.
Pengarah: Tony Jaa
TARIKAN utama filem terbaru dari Thailand, Ong Bak 2, tentulah aksi tanpa henti yang dapat diikuti dalam filem penuh kelincahan seni bela diri itu. Dalam gambar yang kusam dan gelap, penuh dengan unsur mistik, serta aksi seni bela diri yang pelbagai, wujud sebuah cerita yang ringkas tetapi cukup untuk menghidupkan suasana.
Tony Jaa, si wira aksi yang sebelum ini meletup bersama Ong Bak, kembali semula sebagai lelaki tangkas bernama Tien. Dia memegang watak anak lelaki bangsawan dalam kerajaan Ayutthaya yang kehilangan segala-gala selepas ibu bapanya dibunuh. Dia diculik sekumpulan pedagang hamba, diselamatkan sekumpulan penyamun, diajar seni pertahanan diri dan seterusnya mengembara untuk membalas dendam.
Pada mulanya filem ini dirancang sebagai filem pertama Jaa sebagai penulis, produser, pengarah dan penyelaras seni bela diri, begitu juga sebagai bintangnya.
Namun produksi terhenti seketika awal tahun lalu apabila Jaa yang dikatakan berlagak sebagai diva berselisih faham mengenai pembiayaan bersama penerbit dari Sahamongkol Film International.
Mentornya, Panna Rittikrai, kemudian datang menyelamatkan keadaan sebagai pengarah bersama. Dia juga turut menulis naskhah itu bersama Jaa, manakala pereka produksi veteran, Ek Iemcheun, yang mencipta kampung penyamun untuk filem berkenaan menulis lakon layarnya bersama penulis, Nantakorn Taveesuk. Dengan begitu banyak drama di sebalik pembikinan, filem ini menelan belanja tiga kali ganda daripada peruntukan asal. Akhirnya ia disiapkan dengan harga 300 juta baht.
Untungnya, semua perbelanjaan itu bagai membuahkan hasil yang amat berbaloi. Ong Bak 2 muncul filem seni pertahanan diri yang dahsyat serta mendapat sambutan hangat. Ia memecahkan rekod kutipan filem Thai sedia ada.
Walaupun tumpuan tentunya diberikan kepada pelbagai jenis seni bela diri yang dimuatkan, namun penulisnya berjaya menyuntik elemen drama yang berkisar pada dendam dalam filem berkenaan. Ceritanya banyak digambarkan menerusi teknik imbas kembali ketika zaman kanak-kanak Tien, yang menyaksikan pembunuhan orang tuanya. Seterusnya dia menelan segala kepahitan itu untuk bangkit menuntut bela, beberapa tahun kemudian.
Kali ini, bukan hanya sejenis seni bela diri dipertontonkan Jaa kepada peminat. Malah, dalam usaha menjadi pemimpin kepada kumpulan penyamun terbabit, dia harus melepasi ujian permainan pedang Samurai, bertarung dengan pakar kung fu serta bergelut dalam perlawanan muay Thai.
Dari segi lakonan, Jaa cuba membuktikan dia juga mampu menghidupkan watak. Kali ini sebagai lelaki yang tidak banyak bercakap, namun pada wajahnya tergambar begitu banyak amarah dan dendam. Pada ketika kecilnya, Tien dilakonkan Natdanai Kongthong -- seorang aktor muda yang sebenarnya banyak memikul beban sebagai pengembang cerita.
Filem ini turut mengetengahkan beberapa pahlawan lain seperti Somdet Kaew-ler yang memegang watak ketua pedagang hamba abdi. Pada penghujung cerita pula Tien bertemu dengan penjahat yang berimejkan seekor gagak, Eka Dum, lakonan Dan Chupong. Kemunculannya memang mencuri perhatian.
Pelakon veteran, Sorapong Chatree, menghidupkan watak ketua penyamun yang menyelamatkan Tien, Chernang, manakala Saranyu Wongkrajang pula sebagai Raja Rajasena yang membunuh orang tua Tien. Aktor popular era 80-an dan 90-an, Santisuk Promsiri memegang watak si bapa sementara aktres veteran Patthama Panthong sebagai ibu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: