FARHAN bersama penonton yang 'didera' menari bersamanya.
PEMENANG tempat ketiga Akademi Fantasia (AF) musim keempat ini memang tidak dapat dinafikan kehebatan bakatnya meskipun popularitinya tidak sehebat bekas bintang AF yang lain.
Berbekalkan vokal mantap serta berbeza dengan penyanyi wanita yang sedia ada di negara ini, Nur Farhan Azizan atau lebih dikenali sebagai Farhan telah berjaya meletakkan dirinya sebagai bakat baru yang berjaya mencuri perhatian.
Bermula dengan lagu Aku Saja Yang Tahu yang berjaya meledakkan nama penyanyi ini, Farhan tidak duduk diam tetapi sebaliknya, dengan inisiatif dan atas nama cintanya kepada dunia seni, dia tampil dengan dua buah single berjudul Kelmarin dan Moga.
Walaupun kedua-dua single berkenaan sedikit sebanyak berjaya membuka mata serta memberi isyarat bahawa dia masih lagi bernafas dalam industri, namun, masih ramai lagi yang tidak sedar akan kehadirannya dalam dunia seni.
"Saya masih ada lagi dalam industri dan Alhamdulillah, tawaran persembahan masih lagi banyak saya terima. Mungkin juga kerana saya jarang keluar di televisyen menjadikan orang ramai berfikir saya ini tidak lagi aktif menyanyi," jelas Farhan membuka bicara.
Beliau ditemui sebaik sahaja tamat persembahannya, Time Out With Farhan sempena malam tahun baru di Hotel Federal, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Dalam kerancakan berbual dengan gadis peramah ini, tiba-tiba nada suaranya yang ceria itu bertukar tegas apabila diajukan tentang dua singlenya sebelum ini yang dilihat tidak mampu membawa namanya ke puncak populariti.
Hendak dikatakan lagu Kelmarin dan Moga tidak berkualiti sememangnya mustahil kerana kedua-dua lagu berkenaan mempunyai elemen yang cukup mesra radio.
Begitu juga dengan single ketiganya, Bukan Mimpi ciptaan Shamril Salleh atau lebih popular sebagai Sham Kamikaze yang kini mula dimainkan di sesetengah stesen radio.
"Saya bersyukur kerana lagu Kelmarin dan Moga dapat diterima dan menerima sambutan yang agak menggalakkan dari sesetengah stesen radio yang ternyata begitu menyokong anak tempatan.
"Cuma ingin saya persoalkan mengapa sesetengah radio yang lain seperti memandang sebelah mata sahaja kepada lagu tempatan yang saya fikir banyak yang berkualiti.
"Itu yang membuatkan saya pelik kerana sepatutnya stesen radio sendiri yang harus menyokong anak seni tempatan. Kalau tidak, ke manakah lagi lagu-lagu kita mahu disalurkan dalam usaha untuk memikat pendengar?" luah Farhan dalam nada yang kedengaran cukup kecewa.
Farhan juga bagaikan tidak mengerti dengan agenda yang mahu ditonjolkan oleh pihak stesen radio hanya kerana dia merupakan bekas bintang rancangan realiti terbitan Astro.
Bukan itu sahaja, dia juga mendedahkan sikap sesetengah stesen radio yang dilihat enggan memainkan singlenya atas alasan perlu menunggu giliran mahupun konsep muziknya yang tidak mampu memikat dan menangkap telinga pendengar.
"Apabila penyanyi tempatan mahukan memberikan sesuatu yang berbeza daripada muzik yang sedia ada, dikatakan tidak mampu memikat pendengar tempatan dan tidak berkualiti.
"Tetapi, apabila anak seni mula mengalih perhatian kepada komposer seberang, dikatakan pula kita ini tidak patriotik dan mengagungkan orang luar daripada anak tempatan. Siapa yang harus dipersalahkan?" katanya lagi.
Malah, Farhan turut memberitahu bahawa dia sendiri pernah mendengar sebuah stesen radio dari pukul lapan pagi hingga lapan malam dan mendapati lagu-lagu Indonesia memang cukup kerap dimainkan.
Walhal, tambahnya, ada sesetengah lagu Indonesia yang dimainkan itu bukanlah sehebat mana.
"Jadi, kalau lagu kita dimainkan setiap hari, saya percaya pendengar kita mampu terima dan menghargai karya tempatan. Muzik tiada batasan dan tidak perlu dikelaskan. Kalau beginilah, alamatnya, memang tidak akan ke mana industri muzik kita," jelasnya panjang lebar.
Luahan isi hati Farhan bukan untuk dirinya sahaja tetapi sebaliknya, ia mewakili teman-teman artis lain yang berdepan dengan nasib yang serupa.
Namun pun begitu, dia melahirkan kekagumannya terhadap perjuangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh rakan-rakan artis seperti Noryn Aziz, Atilia dan Sean Ghazi yang berani keluar daripada kepompong muzik sedia ada semata-mata memberikan nafas baru kepada industri muzik tempatan.
Diajak berbicara tentang album sulungnya yang sekian lama tertangguh, Farhan memberitahu bukan sikapnya mahu menghasilkan sesuatu terburu-buru.
"Saya mahu peminat mendapat kepuasan daripada album saya ini dan saya boleh ibaratkan diri saya bertuah kerana apa yang saya mahukan untuk album ini menjadi kenyataan.
"Tambahan pula, dengan komposer seperti Sharon Paul, Syaharani, Zul Mahat serta Shamril Salleh menjadikan saya puas dengan rakaman album sulung saya ini,"ceritanya tentang album yang akan dipasarkan tidak berapa lama lagi itu.
Mengalih bicara kepada persembahannya sempena malam tahun baru yang lalu pula, Farhan dengan penuh rendah diri menjelaskan, masih banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dalam usahanya untuk menjadi seorang penghibur.
Menjadikan Anita Sarawak dan Julie Sudiro sebagai rujukan mengadakan persembahan makan malam, Farhan lega apabila persembahannya mendapat respons yang baik daripada audiens pada malam itu.
"Apa yang penting mereka terhibur dan saya perlu memahami konsep majlis. Untuk itu juga, dari segi pemilihan lagu, saya perlu seimbangkan agar mereka tidak bosan dengan persembahan saya," jelasnya.
Malam berkenaan menyaksikan Farhan menyampaikan lapan buah lagu antaranya Route 66, If I Ain't Got You, I Will Survive, Objection (Tango), Kopi Dangdut, Yue Liang Dai Biao Wo De Xin serta sebuah lagu Sepanyol.
Secara keseluruhannya, memang kagum melihat Farhan diterima dengan baik oleh hadirin yang majoritinya bukan kaum Melayu menerusi persembahannya.
Tetapi, hakikatnya masih lagi banyak kelemahan yang perlu diperbaiki oleh Farhan untuk terus menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang baik terutama dari aspek komunikasi dan lontaran vokal.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: